Tiba-tiba sahaja nama ‘Makcik Kiah’ trending di Malaysia. Semuanya gara-gara kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat petang semalam. Tertanya-tanya siapakah ‘Makcik Kiah’ yang heboh diperkatakan, sebenarnya nama tersebut diberi sebagai analogi seorang penjual pisang goreng yang menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan. Ringkasnya, kisah ‘Makcik Kiah’ ini sengaja direka bagi memudahkan rakyat memahami bentuk bantuan menerusi pakej rangsangan tersebut. Kreatif sungguh Tan Sri Muhyiddin menyampaikan agenda kerajaan dalam cara yang mudah difahami!
Bagi meyakinkan para usahawan bahawa nasib mereka akan tetap terbela meskipun perniagaan terjejas susulan wabak Covid-19, Nona mendapatkan reaksi salah seorang pemimpin yang terlibat dalam pembangunan usahawan termasuk bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin. Selaku Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau menzahirkan rasa gembira atas usaha murni yang dibuat Perdana Menteri.
Apatah lagi, peruntukan berskala besar turut diberikan kepada golongan ini sebagai suntikan semangat agar mereka terus berusaha gigih menjana ekonomi. Ujar Datuk Emy, “Saya menyambut baik pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin yang dikira sebagai menyeluruh dan tiada golongan akan tercicir tanpa mengira siapa anda. Pakej rangsangan ini dikira sebagai hadiah untuk rakyat Malaysia seluruhnya dalam membantu mereka di saat yang sukar ini.
Terlalu banyak inisiatif yang telah diumumkan dan tidak perlu disebut satu persatu, kerana semuanya telah jelas bahawa selagi anda rakyat Malaysia, anda akan dibantu di bawah pakej rangsangan ini, sama ada anda seorang yang sudah berkeluarga atau bujang, majikan mahupun pekerja, individu atau syarikat, sektor kerajaan atau sektor korporat, rata-ratanya mendapat manfaat bagi menghadapi kesukaran akibat Covic-19.
Dalam kesukaran yang dihadapi oleh Kerajaan, saya yakin dan percaya YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pakej rangsangan ini bersandarkan denyut nadi rakyat dan setelah menyelami kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat dari pelbagai sudut dan ini dibuktikan melalui pengkisahan keluarga Makcik Kiah sebagai simulasi sudut kesusahan yang dihadapi oleh rakyat.”
Menyedari ramai usahawan di negara ini bimbang bakal kehilangan punca pendapatan ekoran pandemik Covid-19, kenyataan Datuk Emy yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka ini sekurang-kurangnya memberi kelegaan buat mereka. “Sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya amat menyambut baik inisiatif-inisiatif yang menyentuh para usahawan sama ada PKS dan juga Usahawan Mikro dengan penyediaan dana tambahan sebanyak RM4.5 Bilion.
Diharapkan menerusi 5 inisiatif utama yang diumumkan, para usahawan PKS dan Mikro terus berdaya maju dalam menghadapi cabaran ekonomi yang serba suram ini. Akhirnya, bagi menjayakan pakej rangsangan ini, kami memerlukan sokongan dan usaha Kerajaan ini hanya akan membuahkan hasil yang diharapkan hanya dengan sokongan seluruh rakyat Malaysia.”
Sementara itu, ditanya mengenai reaksinya berhubung pemotongan gaji 2 bulan bagi Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri, Datuk Emy berkata beliau menerima perkara tersebut dengan hati terbuka. “Ini memunjukkan kebersamaan dan betapa perlunya keberadaan untuk sama-sama rasa apa yang rakyat rasa. Terutamanya bagi yang sudah berkeluarga kerana dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit kesengsaraan.
Kita (menteri dan timbalan menteri) kena main peranan sama. Potong gaji plus kena kerja kuat untuk pastikan rakyat terus dilindungi. Bagaimana pun saya akui, menjadi menteri mahupun timbalan menteri bukan kerja yang mudah kerana ia menuntut komitmen yang sangat tinggi. Pun begitu saya bersyukur kerana keluarga terutamanya suami dan anak-anak cukup memahami tugas saya. Walau dalam keadaan Covid-19 sekarang, mereka tetap benarkan saya keluar bekerja untuk membantu rakyat,” ungkap Datuk Emy yang dikurniakan lima orang cahaya mata.
This website uses cookies.