Serba Boleh, NORA ASPADALILA Pernah Bergelar Anak Seni & Pengusaha Salun Kecantikan! Kini Sukses Sebagai Perunding Kewangan!

Sejak zaman universiti lagi, Nora Aspadalila Omar sudah mula mencungkil potensi diri sehingga berjaya menggondol Juara Pertandingan Pengacara Antara Universiti. Bersandarkan kepetahannya berbicara, isteri kepada Syazwan Hashim ini kemudian mencabar kemampuan diri untuk mendalami bidang kewangan pada tahun 2004.

“Jujurnya, saya berasal dari sebuah keluarga yang sederhana. Sejak kecil lagi saya seorang yang bercita-cita tinggi dan percaya dengan kemampuan diri. Memang dari kecil juga saya sudah meminati bidang keusahawanan. Mungkin kerana mengikut jejak langkah arwah ayah, Omar Jaafar yang dulunya pengusaha restoran,” cerita Nora.

“Semasa Tahun Akhir di UKM saya telah menjuarai Pertandingan Pengacara Antara Universiti dan ditawarkan sebagai pengacara TV di RTM1 untuk Rancangan Agro Pelancongan dan Anjung Budi pada tahun 2000-2003. Selain itu, saya juga pernah berkecimpung dalam bidang nyanyian dan menghasilkan album pertama berjudul Kisah Asmara terbitan Roslan Mamat dan lirik serta susunan lagu digubah komposer A. Ali dan Azmeer pada tahun yang sama.

Meskipun telah buat bermacam-macam pekerjaan namun bidang kewangan lebih menarik perhatian saya. Pendek kata, ia cukup dekat dengan peribadi saya sendiri. Tanpa berlengah, pada 2004 saya ambil keputusan untuk menjadi perunding kewangan atas galakan daripada keluarga terutamanya arwah ayah dan ibu. Mereka adalah sumber inspirasi saya dan sentiasa menyokong apa jua pekerjaan yang saya lakukan. Baik dalam bidang seni mahupun kewangan, mereka berdua tidak putus-putus beri kata semangat.”

Menyentuh cabaran paling getir yang pernah dilaluinya, usahawan yang berusia lingkungan 40an ini mengakui jatuh bangun dalam kerjaya merupakan asam garam yang harus dilalui setiap individu sebelum menemui kejayaan. “Apa jua pekerjaan yang dilakukan sekalipun pasti ada cabaran. Untuk saya, cabaran terbesar adalah apabila sudah berkahwin dan mempunyai keluarga.

Bukan mudah sebenarnya untuk membahagikan masa tapi saya harus bertindak bijak dan dalam masa sama tidak membelakangkan keluarga. Syukur sebab suami turut terlibat mengusahakan perniagaan ini dan dia juga perunding kewangan berjaya dan penerima Anugerah MDRT. Disebabkan jadual kerja kami yang sama ini memudahkan segala urusan termasuk aktiviti bersama keluarga setiap hujung minggu.

Tujuan saya menceburi bidang perniagaan ini kerana ingin meningkatkan taraf hidup keluarga dan membahagiakan ibu saya di samping melahirkan lebih ramai jutawan dan usahawan. Apa yang mampu saya katakan, saya berhasrat untuk menjadi insan berjaya dan seterusnya membantu orang lain untuk turut sama merasai manisnya sebuah kejayaan.

Saya percaya, if you help enough people to get what they want, you will get what you want. Bagi saya, kejayaan bersama insan di sekeliling saya adalah keutamaan dan matlamat ini juga seiring motto agensi saya iaitu Success Together. Dengan sukacita juga saya ingin memaklumkan sehingga hari ini saya telah berjaya menggabungkan lima orang Pengurus Agensi Kumpulan iaitu jawatan tertinggi dalam kerjaya ini yang membentuk KLNora Billionaire Partners,” terang Nora yang mengimpikan empayar niaganya mampu menjadi sebuah agensi terkemuka dalam sektor kewangan di Malaysia.

Share
Published by
Suzi