Tidur adalah cara tubuh beristirahat selepas seharian berjaga. Setiap orang disarankan supaya tidur sekitar lapan jam sehari untuk menyegarkan tubuh dan menajamkan fokus. Selain itu, tidur yang berkualiti juga boleh meremajakan kulit seseorang.
Tahukah anda, tidur yang secukupnya membantu organ-organ berfungsi dengan baik? Ketika tidur proses detoksifikasi (pengeluaran racun daripada tubuh) berlaku di bahagian hati, hempedu dan paru-paru.
Sedar atau tidak anda sering membuang air ketika tengah malam? Ini kerana proses detoks sudah berlaku dan berakhir di usus besar. Selain itu darah juga turut terhasil melalui sum sum tulang ketika sedang tidur.
Bahaya tidur lewat
Tidur lewat sering terjadi kepada penggemar media sosial ketika ini. Sebenarnya tidur lewat malam boleh mengundang kemerosotan kesihatan kepada seseorang. Amalan ini menjadi punca kerosakan hati dan mengganggu keseimbangan sistem tubuh yang lain. Tambah memburukkan keadaan jika makan lewat malam kemudian terus tidur.
Tidur tanpa bra
Tidur membantu tubuh untuk menghasilkan hormon imuniti. Tidur dengan bra atau pakaian dalam boleh menyekat proses pembaikan dan detoks tubuh. Menurut Penyelidik Sydney Singer, dalam bukunya Dressed To Kill: The Link Between Breast Cancer and Bras, menggunakan bra terlalu lama dapat meningkatkan suhu payudara dan wanita yang memakai bra memiliki kadar hormon prolaktin (hormon yang berfungsi merangsang kelenjar air susu) yang lebih tinggi. Kedua-dua faktor ini dapat meningkatkan risiko pembentukan kanser payudara.
Tidur dalam gelap?
Sebenarnya tidur di dalam bilik yang gelap memberi manfaat kepada tubuh. Ketika dalam gelap tubuh dapat menghasilkan hormon melatonin. Hormon melatonin ini sangat penting kepada tubuh kerana boleh membantu mencegah penyakit terutama kanser. Pengeluaran hormon ini tidak akan terhasil jika terdapat cahaya atau sinar yang menerangi.
Melatonin dan tidur
Melatonin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang terhasil di dalam otak. Ketika malam, paras melatonin ini mula meningkat. Peningkatan ini mempengaruhi rasa mengantuk dan memberi arahan supaya merehatkan tubuh dengan tidur. Kitaran melatonin ini penting kerana membantu tubuh menyeimbangi keperluan siang dan malam. Tubuh juga memerlukan zat kimia untuk mencegah kerosakan DNA dan ketiadaan zat melatonin akan menghentikan asid lemak menjadi tumor dan mencegah pertumbuhannya.
TRIVIA TIDUR
Apabila kita ke luar negara yang berbeza waktu, pasti kita akan sukar untuk menyesuaikan diri untuk tidur. Namun paras melatonin akan cepat berubah sehingga akhirnya kita boleh mengubah dengan cepat tabiat tidur kita mengikut waktu.
Kepentingan tidur
Tidur penting untuk melancarkan beberapa fungsi tubuh seperti menjana pembaikan otot, menguatkan daya ingatan, mengawal atur bahan-bahan kimia tubuh (terutama hormon yang berkait dengan tumbesaran dan selera makan) dan menguatkan sistem imun.
Tidur seimbang berat badan
Tidur yang cukup memaksa anda untuk tidur awal. Apabila tidur awal secara tidak langsung membantu bangun lebih awal. Memiliki kehidupan yang sihat dengan memulakan hari bersarapan awal mampu menyeimbangkan berat badan. Apatah lagi jika anda bersenam pada awal waktu, pasti berat badan tidak akan naik.
Bahaya tidur siang
Jika sekali-sekala tidur siang kerana kepenatan tidak mengapa. Tapi bagaimana jika tidur siang dijadikan rutin? Sebenarnya tidur siang meningkatkan perubahan negatif kepada hormon kerana meningkatkan stres kepada tubuh ketika bangun. Ada juga yang mengatakan tidur siang menyumbang kepada mimpi buruk. Justeru, kita memang tidak digalakkan tidur selepas waktu asar. Hamizatul Maizan Mohamed
This website uses cookies.