
Kehamilan sememangnya momen yang istimewa di hati setiap wanita. Ia sememangnya sukar digambarkan dengan kata-kata. Perasaan tersebut turut dikongsi oleh usahawan Eriyca Baiduri atau lebih mesra dengan panggilan Madammu yang menganjurkan sebuah majlis kesyukuran dan doa selamat baru-baru ini.
Bertemakan rona lavender yang dipenuhi bunga-bungaan bagaikan berada di taman, majlis yang dihadiri kira-kira 180 orang tetamu.
Majlis tersebut diserikan dengan bacaan Yaasin oleh para tetamu yang hadir yang turut mengambil peluang mendoakan kandungan Madammu dipermudahkan sehingga proses kelahiran kelak. Majlis yang sarat dihiasi dekorasi indah berlatarkan rona ungu diserikan dengan pengisian nurani yang istimewa buat para hadirin.
Penampilan Madammu dalam persalinan rona ungu dengan mengenakan abaya Muslimah, nyata memukau pandangan. Bukan sahaja terlihat sopan malah aura dan kelembutan wajah seorang ibu jelas terserlah keseriannya.
“Majils kesyukuran untuk Baby A,” tulis Madammu menerusi kapsyen di instagramnya sekali gus memberi isyarat bahawa anak yang dikandung berusia 3 bulan itu bakal diberi nama dengan pangkal huruf A.
Umum sedia maklum, Madammu berkongsi berita gembira apabila dia disahkan hamil selepas lima bulan menjalani rawatan in vitro fertilization (IVF) bermula daripada bulan April 2022 yang lalu.
Wanita berusia 32 tahun itu berkongsi perjalanannya dalam ikhtiar memiliki cahaya mata sendiri selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Memiliki tiga orang anak tiri dan mencurahkan kasih sayang tanpa berbelah bahagi buat ketiga-tiga anak-anak tersebut membawa rezeki buat Madammu bukan sahaja dalam bidang perniagaan, sekaligus dalam kehidupannya dalam perjalanannya bergelar ibu tidak lama lagi.
Makin Ada Anak 2 Ni, Makin Cantik ERIN MALEK… Mulusnya Kulit!

Macam anak daralah! Lama tak nampak kemunculan Erin Malek dalam drama atau filem tempatan. Teringat lagi lakonan Erin sewaktu membintangi filem kanak-kanak Tentang Bulan. Rasanya masa tu dia baru berusia belasan tahun. Dari zaman anak dara, sampailah sudah berumah tangga nampak makin cantik berseri. Walau sudah berkahwin… body maintain langsing. Hakikatnya, Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek ini sudah empat tahun bergelar mak. Ada dua orang anak pula tu!
Berkahwin dengan jejaka pilihan yang juga anak kepada usahawan automobil ketika usia baru mencecah 20 tahun pada tanggal 10 Oktober 2014, isteri kepada Farriz Fauzy ini selamat melahirkan anak sulung mereka setahun kemudian pada 1 Oktober 2015.
Kelahiran bayi lelaki yang diberi nama Mohamed Faliq Mohamed Farriz tersebut nyata menyentuh emosi ibu muda ini kerana dia sepatutnya melahirkan sepasang kembar… namun takdir Allah, hanya Mohamed Faliq selamat dilahirkan.

Difahamkan, seorang lagi anak mereka meninggal dunia akibat lebihan cecair di dalam perut sehingga badan membengkak.
Berkongsi momen indah itu di IG miliknya, “Bagaimanapun mungkin ramai tidak mengetahui adik kembar Faliq meninggal dunia ketika kandungan saya berusia 16 minggu. Perasaan saya bercampur baur apabila melihat wajah Faliq kerana dia mengingatkan saya kepada kembarnya. Saya dan suami sedih dengan kejadian itu namun kami percaya Allah mempunyai perancangan lebih baik untuk kami sekeluarga.”
Dua tahun kemudian, pasangan suami isteri ini kembali dikurniakan rezeki anak perempuan yang kini berusia dua tahun. Nur Aisha Mohamed Farriz dilahirkan pada 10 Februari 2017. Alhamdulillah, dah sepasang dah anak Erin dan Farriz.
Sejak berstatus isteri dan mak orang, Erin memperlahankan aktiviti seninya dan agak jarang muncul di majlis-majlis hiburan mahupun kaca TV. Fokusnya kini lebih tertumpu kepada keluarga dan menguruskan dua orang anak.
Pun begitu, kelibat Erin Malek tetap menjadi perhatian dan sumber inspirasi peminat khususnya kaum wanita kerana mampu sentiasa tampil cantik dan bergaya walaupun ada dua anak yang masih kecil.
Meskipun kedua-dua anak masih kecil, namun Erin dan suami akan tetap bawa anak-anak pergi bercuti bersama. Terbaru, Erin sekeluarga baru sahaja pulang melancong dari Australia. Seronok tengok anak-beranak ni pergi bercuti. Tak kisahlah macam mana struggle bawa anak bercuti, tapi Erin dan suami saling membantu menguruskan dua cahaya mata mereka dan sanggup angkut stroller sepanjang percutian.
Berbicara tentang penampilan wanita jelita ini pula… Erin mendedahkan dia ambil keputusan untuk berhijrah dan tampil berhijab pada tahun 2016 selepas hasrat ingin memakai tudung disokong suami tercinta dan keluarga tersayang. Memang terserlah keayuan Erin Malek sejak bertudung!
Kredit: Instagram Erin Malek
Mudanya! Dah Cecah 64, Tapi Terkesima Tengok Rupa Baru Madonna Macam Anak Dara

Penampilan baru Ratu Pop Madonna lewat beberapa bulan ini mengejutkan peminat. Bayangkan pada usia emas, beliau masih kelihatan remaja malah digelar jelmaan Kim Kardashian kerana kecantikannya.
Jika wanita lain seusia Madonna sudah ‘berdamai’ dengan kedutan, berbeza pula halnya dengan superstar yang bakal mencecah usia 64 tahun itu.
Meraikan ulang tahun ke-40 beliau dalam kerjaya muzik, Madonna dikhabarkan kembali membuat ‘comeback’ ke dalam industri. Kini beliau sibuk dengan penggambaran biopic serta merakamkan lagu dengan Katy Perry.
Pastinya kemunculan semula ini menjadi asbab ‘perubahan’ wajah baru Madonna, atau Madge.


Bagi peminat empunya nama Madonna Louise Ciccone dan ibu kepada 6 anak itu, ia bukanlah sesuatu yang asing kerana rupanya memang selalu berubah mengikut peredaran masa!
Meskipun berdepan pelbagai cemuhan haters di media sosial, Madonna mengambil langkah tidak peduli dengan kata-kata orang yang kurang senang dengan rupa parasnya sekarang.
Biarpun sering dikatakan membuat fillers, pembedahan plastik dan menggunakan teknik suntingan Photoshop yang keterlaluan, beliau jarang membalas balik sebaliknya membuktikan diri dengan pelbagai kejayaan luar biasa.
Semangat Madonna seharusnya menjadi contoh kepada wanita moden. Berani dan menjadi diri sendiri!
Rahsia muda Madonna sebenarnya terletak pada sifat positif beliau dan penataan gaya yang mengikut peredaran zaman. Jom intai perubahan lain pada wanita ini!




Nak RAMBUT SEGAR dan Subur, Kena Patuhi Langkah Trik Hebat Ini!

Umum sedia maklum, rambut sering diibaratkan mahkota yang perlu diberi penjagaan yang sebaiknya. Rambut yang sihat dan bersinar sememangnya bonus untuk seseorang jika pandai menjaga kesihatan rambut secara total.
Kini bukan saja wanita mempunyai kesedaran mengenai pentingnya penjagaan rambut, malah lelaki juga inginkan rambut mereka terus subur serta indah dipandang. Oleh itu, sebelum anda berhabis untuk membeli produk rawatan rambut, perkara asas yang perlu dilakukan ialah mencuci rambut. Pemilihan syampu sesuai untuk kulit kepala anda juga penting kerana syampu yang tepat adalah langkah pertama mendapatkan rambut sihat bersinar.
- Berapa kerap harus mencuci rambut?
Tidak salah mencuci rambut setiap hari, tetapi proses mencuci, mengering dan dandanan yang dibuat secara kerap akan menghilangkan kelembapan semula jadi rambut. Justeru, teliti jenis rambut dan lakukan mengikut tip yang diberikan.
- Cuci rambut setiap hari jika rambut anda jenis berminyak. Bekerja atau sentiasa berada di persekitaran berhabuk dan berdebu juga boleh menyebabkan rambut berminyak.
- Cuci rambut sekurang-kurangnya dua kali seminggu jika mempunyai rambut kering atau tinggal di kawasan tinggi kerana udara di kawasan itu terhindar daripada kelembapan atau pencemaran.
- Bolehkah syampu digunakan dalam kuantiti yang banyak?
Boleh. Bagaimanapun, pastikan selepas bersyampu, rambut dibersihkan sehingga ke akar rambut tanpa ada yang tertinggal. Malah, kuantiti syampu juga ditentukan oleh panjang dan ketebalan rambut. Bolehkah menggunakan air suam untuk membilas rambut? Adakah suhunya sesuai?
Air yang digunakan untuk membilas seelok-eloknya adalah air suam kerana ia dipercayai dapat membilas syampu dan kotoran lebih bersih. Bagaimanapun, air yang terlalu panas boleh menyebabkan rambut menjadi rapuh. Oleh itu, gunakan air dingin untuk cucian terakhir sebelum pelembap atau sebarang produk disapukan pada rambut bagi menghindarkan kandungan nutrien di dalam produk hilang. Ia juga dipercayai membuat rambut lebih bercahaya.
Lemon Untuk Rambut Beralun
Jika rambut anda jenis berminyak, ia akan kelihatan mudah leper dan tidak bermaya. Untuk mengembalikan sinaran rambut, perah dua biji lemon, dicampur dengan satu liter air. Gunakan jus berkenaan untuk membilas rambut selesai bersyampu. Kemudian bilas dengan air sehingga bersih
Jangan Abaikan Keindahan Rambut
Bertudung bukan alasan untuk anda mengabaikan kecantikan dan kebersihan diri. Seringkali juga ramai wanita yang bertudung tidak menitikberatkan aspek penjagaan rambut. Alasannya cukup mudah, tiada siapa mahu melihat dan tiada siapa yang tahu apa yang ada di sebalik tudung yang sentiasa melekat di kepala.Bagi yang bertudung, rambut merupakan anggota tubuh yang sering diabaikan. Sedangkan yang terselindung itu lebih indah jika dipelihara sebaik mungkin. Masalah seperti kegatalan kulit kepala, rambut berbau dan yang lebih serius berkelumumur sering dialami oleh wanita bertudung. Selain itu jika tidak dijaga dengan betul rambut juga akan menjadi cepat kering, rosak, kusam, kusut dan mudah putus.
- Pemilihan syampu yang sesuai dengan jenis rambut sangat penting. Oleh itu sebelum anda membeli syampu kenalpasti dahulu jenis rambut anda.
- Sekiranya anda hendak memakai tudung kepala, pastikan rambut anda betul-betul dalam keadaan kering sebelum memakai tudung. Rambut yang lembap atau basah boleh menyebabkan masalah kelumumur, rambut berbau hapak dan kepala terasa pening.
- Mungkin ramai di antara kita yang beranggapan rambut yang tidak terdedah kepada cahaya matahari akan mudah rosak. Tetapi tahukah anda bahawa rambut yang ditutupi dengan tudung kepala akan lebih terpelihara kerana ia terlindung daripada habuk yang berterbangan ketika anda berada di luar rumah
- Sewaktu mengeringkan rambut dengan tuala, pastikan anda tidak menggosok rambut dengan cara yang kasar. Sebaiknya lurutkan tuala secara perlahan-lahan dari atas hingga ke hujung rambut secara berulang kali dan biarkan ia kering sendiri.
- Pastikan anda sering menyikat rambut semasa tidak memakai tudung (di rumah) ini perlu supaya akar rambut dan kulit kepala mendapat udara yang secukupnya.
- Gunakan air sejuk sewaktu membasuh rambut supaya poripori kulit kepala mengecil.
- Amalkan pengambilan vitamin khusus untuk menstabilkan hormon dan membaiki akar rambut.
- Untuk rambut yang berkelumumur, ia boleh dihilangkan dengan cara menggosok kulit kepala dengan limau purut yang telah dihangatkan. Setelah kelemumur gugur, bersihkan rambut dan kulit kepala dengan syampu yang mengandungi bahan anti kelemumur ataupun syampu yang mempunyai campuran limau purut.
- Sementara bagi rambut yang berminyak pula, gunakan syampu yang boleh digunakan untuk cucian rambut setiap hari. Rambut berminyak mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti ketidakstabilan hormon yang mengakibatkan sebum dikeluarkan secara berlebihan, tekanan, cuaca yang panas atau banyak mengambil makanan yang berlemak.
- Perbuatan menyikat rambut yang terlalu kerap juga akan membuatkan kulit kepala menjadi panas dan boleh menyebabkan penghasilan minyak yang berlebihan. Oleh itu sikap rambut hanya apabila perlu sahaja dan jangan lakukannya dengan cara yang kasar.
- Sebaiknya elakkan daripada menggunakan alat pengering rambut kerana rambut mudah menjadi kusam. Tetapi jika anda tidak mempunyai masa dan ingin mengeringkannya dengan kadar yang segera, sebelum melakukan ‘blow’, letakkan ‘foam’, ‘setting lotion’ atau ‘volumizer’ pada rambut terlebih dahulu bagi memudahkan ia didandan. Bahan-bahan tersebut dapat menjadi penghadang antara rambut dan alat pengering rambut. Alat penghalang ini dapat mengelakkan rambut daripada mudah rosak akibat terkena bahang panas daripada alat pengering rambut tadi. Selain itu, ia juga membantu agar rambut mudah dibentuk.
- Gunakan pengering rambut pada suhu yang tinggi. Saranan agar menggunakan alat tersebut pada suhu yang rendah adalah salah kerana suhu yang rendah secara relatifnya mengambil masa yang lama untuk proses pengeringan sehingga menjadikan rambut lebih mudah rosak.
- Pastikan anak tudung atau cekak rambut yang anda pakai tidak terlalu ketat. Seeloknya pakailah jenis yang boleh membenarkan aliran udara masuk agar rambut tidak terlalu terperap. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH