Kehamilan sememangnya momen yang istimewa di hati setiap wanita. Ia sememangnya sukar digambarkan dengan kata-kata. Perasaan tersebut turut dikongsi oleh usahawan Eriyca Baiduri atau lebih mesra dengan panggilan Madammu yang menganjurkan sebuah majlis kesyukuran dan doa selamat baru-baru ini.
Bertemakan rona lavender yang dipenuhi bunga-bungaan bagaikan berada di taman, majlis yang dihadiri kira-kira 180 orang tetamu.
Majlis tersebut diserikan dengan bacaan Yaasin oleh para tetamu yang hadir yang turut mengambil peluang mendoakan kandungan Madammu dipermudahkan sehingga proses kelahiran kelak. Majlis yang sarat dihiasi dekorasi indah berlatarkan rona ungu diserikan dengan pengisian nurani yang istimewa buat para hadirin.
Penampilan Madammu dalam persalinan rona ungu dengan mengenakan abaya Muslimah, nyata memukau pandangan. Bukan sahaja terlihat sopan malah aura dan kelembutan wajah seorang ibu jelas terserlah keseriannya.
“Majils kesyukuran untuk Baby A,” tulis Madammu menerusi kapsyen di instagramnya sekali gus memberi isyarat bahawa anak yang dikandung berusia 3 bulan itu bakal diberi nama dengan pangkal huruf A.
Umum sedia maklum, Madammu berkongsi berita gembira apabila dia disahkan hamil selepas lima bulan menjalani rawatan in vitro fertilization (IVF) bermula daripada bulan April 2022 yang lalu.
Wanita berusia 32 tahun itu berkongsi perjalanannya dalam ikhtiar memiliki cahaya mata sendiri selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Memiliki tiga orang anak tiri dan mencurahkan kasih sayang tanpa berbelah bahagi buat ketiga-tiga anak-anak tersebut membawa rezeki buat Madammu bukan sahaja dalam bidang perniagaan, sekaligus dalam kehidupannya dalam perjalanannya bergelar ibu tidak lama lagi.
This website uses cookies.