Rezeki Allah Taala pasti ada apabila sampai waktunya. Berdepan pelbagai cabaran besar untuk menimang cahaya mata kira-kira tiga tahun lalu, kini Datin Zai Izatti merupakan ibu kepada dua orang anak.
Empunya badan sendiri pun tidak menyangka, aturan Allah untuk mengurniakan zuriat kepadanya semakin dipermudah. Hanya ungkapan alhamdulillah yang terpacul di bibir suri hati Dato’ Jamal Abdillah ini setiap kali berkongsi kisah perjalanannya menjadi seorang ibu.
11 November 2020, pasangan romantis ini cukup teruja menyambut kehadiran anak kedua mereka yang juga adik kepada Nur Azura Yamani. Bagi ibu muda yang meniti usia 28 tahun tersebut, dia sama sekali tidak menyangka rezeki untuk timang zuriat ketiga datang secepat ini.
Apatah lagi anak keduanya, El Issac Yamani baru berusia 9 bulan ketika mereka mendedahkan berita kehamilan anak ketiga sekitar Ogos tahun lalu.
Berpeluang bertentang mata dengan wanita cantik ini di majlis Nona Superhero Award pada 12 Januari lepas, memang terserlah seri ibu mengandung Datin Zai. Tampil menawan dalam persalinan serba hitam, Datin Zai setia menemani Dato’Jamal yang menerima penganugerahan Nona Legend Award.
Mengulas usia kandungan, ini jawapan Datin Zai. “Dah 7 bulan dah. InshaAllah, Februari ini bersalin.”
Masih ingat lagi dalam temu bual bersama Nona, Datin Zai memberitahu dia berhasrat memiliki sekurang-kurangnya empat orang anak. Namun perjalanan untuk mempunyai anak sendiri tidak semudah yang disangka. Akuinya, dia pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali sebelum melahirkan Azura.
“Awal kahwin dulu kami suami isteri tak rancang tapi direzekikan hamil. Bila dapat tahu gugur, sedih sangat. Saya rasa mungkin waktu tu saya terlalu excited
dan kandungan awal lagi tapi tak beritahu sesiapa pun.Bayangkan, saya pernah gugur 4 kali baru dapat Azura. Sebelum itu memang saya ada cuba ambil suntikan dan supplement untuk hamil. Bila banyak kali gugur, saya jumpa doktor sebab risau ada masalah berkaitan rahim atau sebagainya. Alhamdulillah, tak ada masalah.
Ketika dalam proses nak buat IVF, setengah tahun juga… tiga kali saya gugur. Sampai diri dah pasrah dan reda kalau ditakdirkan tak ada rezeki anak. Tapi waktu itulah, Allah ‘bagi’ Azura. Walaupun masa mengandungkan Azura saya alami banyak pendarahan tapi syukur semuanya dipermudahkan. El Issac pun saya hamil secara semula jadi.”
Uniknya nama anak kedua mereka El Issac Yamani atau singkatannya Zack ini diambil sempena filem Azura! Terus terbayang lakonan Dato’ Jamal sebagai Zack dalam filem popular era 1984 tu. Dato’ Jamal sebelum ini mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani dan Zaki Yamani.
“Sejak anak pertama lagi memang bapa dia yang pilih nama. Mula dulu Dato’ nak nama Azura sebab memori kenangan filem tu. Anak kedua ni pun sama juga. Kalau tanya saya, saya memang tak pandai sangat nak bagi nama anak. Saya serahkan dekat Dato’.
Issac tu diambil daripada nama Inggeris Ishak, Yamani pula sebab keturunan Yaman. Jadilah El Issac Yamani atau singkatan Zack,” jelas Datin Zai yang mengaku tidak cerewet dalam bab pemberian nama anak.
Semoga kecekalan isteri Dato’ Jamal menempuh ujian untuk bergelar ibu dapat dijadikan inspirasi buat seluruh wanita.
Kredit foto: Instagram Datin Zai Izatti
This website uses cookies.