Seri Paduka Berkenan Kongsi Nama, Gambar Cucunda – YM Tengku Nuh Muhammad Shah & YM Tengku Aleya Norlini!

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah hari ini berkenan berkongsi gambar dua cucunda Seri Paduka Berdua yang selamat diputerakan baru-baru ini.

Hanya bersela 2 hari dikurniakan sepasang cucunda hampir serentak, putera dan puteri. Pengkhabaran ini disiarkan dalam satu hantaran menerusi laman Instagram @Istana_Negara pada tengah hari tadi.

Kedua-dua bayi berkenaan didukung Seri Paduka menerusi gambar yang dimuat naik, diberi nama Tengku Nuh Muhammad Shah Ibni Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser yang diputerakan Isnin lepas, manakala Tengku Aleya Norlini Tengku Abu Bakar Ahmad, semalam.

Bersama dua cucunda yang selamat diputerakan

 

Yang di-Pertuan Agong disamping cucunda

 

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat dan inayah-Nya, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dikurniakan dua cucunda baru-baru ini.

Tengku Nuh Muhammad Shah Ibni Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser diputerakan pada 31 Januari, manakala Tengku Aleya Norlini Binti Tengku Abu Bakar Ahmad pada 2 Februari 2022.

YM Tengku Nuh Muhammad Shah merupakan anakanda ketiga YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan.

Manakala YM Tengku Aleya Norlini pula merupakan anakanda kedua YM Tengku Abu Bakar Ahmad dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan.

Bersama cucunda-cucunda

 

Selain berita menggembirakan ini, setinggi-tinggi kesyukuran juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT apabila tanggal 31 Januari lalu mencatat ulang tahun ke-3 Seri Paduka Baginda bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan sebagai Ketua Negara.

Marilah bersama-sama mendoakan agar Allah SWT terus menganugerahkan Seri Paduka Baginda keafiatan, kebijaksanaan dan keberkatan bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.

Semoga Malaysia, di bawah naungan dan pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara, sentiasa dilindungi dan diberkati Allah SWT.

 

Daulat Tuanku, Dirgahayu Tuanku.

Share
Published by
Norzalina