Kalau dulu-dulu orang selalu cakap wanita tak payah belajar tinggi-tinggi akhirnya akan ke ceruk dapur. Tapi bila sekarang wanita berjaya menempatkan diri ke menara gading kemudian memilih untuk berniaga dikatakan mensia-siakan masa dan ijazah yang diperoleh pula. Itu yang dirasakan oleh pemilik Flashmoon Jewellery ini.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Antropologi Alam Sekitar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), kejayaan Siti Nur Afifah Nazula memperoleh pendapatan 5 angka dalam tempoh 2 tahun berniaga sememangnya wajar dijadikan inspirasi. “Memang, ramai yang cakap saya belajar tinggi tapi jual emas tiruan atau emas Korea ni.
Walaupun saya tidak bekerja dalam bidang mengikut kelulusan tapi, setiap ilmu yang diperoleh ada manfaatnya. Sehingga kini saya tak pernah berhenti belajar terutama untuk menaikkan jualan dengan mengikut kelas di atas talian dan membaca buku-buku untuk menjadi usahawan berjaya. Usahawan yang berjaya pun selalu menuntut ilmu walaupun jualan mereka sudah capai juta-juta nilainya,” tutur anak kelahiran Kelantan ini membuka bicara.
Kagum dengan anak muda ini mengemudi hala tujunya dalam perniagaan. Lebih istimewa apabila anak ketiga daripada tiga orang adik-beradik ini mampu menyempurnakan perbelanjaan membawa ibunya menunaikan umrah hanya setelah lima bulan mengusahakan perniagaannya.
“Saya daripada keluarga yang sederhana. Mak buka kedai makan dan ayah pula kerja kerajaan. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dapat menokok-tambah keperluan perbelanjaan bawa mak pergi menunaikan umrah.
Walaupun tiada perkataan yang keluar dari mulut mak ketika saya nyatakan nak bawa pergi umrah namun daripada air mukanya saya tahu mak terharu dan bangga. Kemudian mak tak habis-habis cakap nak pergi lagi bawa ayah dan semua adik-beradik yang lain.
Memang itu azam saya nak bawa mak dan abah menunaikan umrah bersama-sama dengan hasil titik-peluh sendiri di masa akan datang,” ujar wanita yang mesra disapa Fifah ini.
JATUH BANGUN
Kejayaan milik wanita yang berusia 29 tahun ini bukan datang bergolek dan semudah yang disangka. “Saya mula berniaga sejak bergelar siswa lagi. Masa tu saya memberanikan diri buat produk sendiri hasilkan scrub madu kunyit tapi kerana kurang ilmu dalam perniagaan saya gagal cuma dapat pulang modal saja.
Walaupun gagal, saya tak putus asa cuba jual baju pula. Saya laburkan duit scrub madu kunyit untuk buat baju. Sekali lagi saya gagal kerana tukang jahit salah buat baju-baju tersebut dan saya terpaksa menanggung kerugian lebih RM7000. Sampai sekarang baju-baju tu ada lagi dan setengahnya dah disedekahkan kepada orang.
Saya juga pernah jual baju bundle namun akhirnya, saya dipertemukan dengan emas tiruan atau nama gelarannya emas Korea ketika berkunjung ke Perlis. Melihat permintaan yang tinggi saya cuba menjualnya dengan bermodalkan RM1000. Saya ingat lagi pendapatan pertama saya jual emas tiruan ini RM200 saja dan berjaya pulang modal hanya dalam masa sebulan.
Sudah menjadi rezeki saya tiba-tiba emas menjadi viral dan orang ramai mula mencari alternatif memakai emas. Bukan semua orang mampu nak beli emas tulen dan ada juga yang mampu beli emas tulen tapi mahu mempelbagaikan koleksi mereka. Saya memang tak sangka dapat sambutan luar biasa dan tak menang tangan.
Koleksi emas tiruan ini sama seperti emas tulen cuma memang tidak tahan lama, paling awal dua tahun mengikut kelasakan pemakai. Emas tiruan mudah pudar dengan penggunaan sabun dan peluh. Reka bentuk tetap sama, ada lipan, koko, daun ketum dan sebagainya.
Tahun pertama saya berniaga hanya melalui online dan kini sudah mempunyai sebuah kedai di Kota Bharu. Sepatutnya kedai ni dah mula beroperasi 1 Jun lalu tapi tertangguh kerana PKP 3.0. Saya menghabiskan lebih RM10 ribu untuk buat ubah-suai kedai tersebut,” tutur Fifah turut mempunyai agen menjual barangan kemasnya.
PENGURUSAN KEWANGAN
Tertarik mendengar Fifah berkongsi tentang pengurusan kewangannya. “Saya memang tak akan campur duit peribadi dan perniagaan. Saya mempunyai sebuah akaun khas untuk bisnes emas ini. Setiap bulan, saya akan asingkan kepada dua iaitu duit modal dan juga untung.
Duit modal saya akan ambil untuk rolling dan duit untung saya akan simpan. 10 peratus daripada duit untung saya akan ambil untuk simpanan syarikat. Saya juga mengambil gaji daripada keuntungan syarikat. Biasanya saya akan ambil RM3000 gaji sebulan dan mungkin lebih mengikut keuntungan setiap bulan,” katanya sambil tersenyum.
Setelah penat lelah mencari rezeki Fifah rewards diri dengan melancong. “Saya memang suka melancong dan kalau boleh nak pusing satu dunia. Sebelum dunia dilanda pandemik COVID-19 saya sempat melancong ke Guangzhou, China dan juga menjalani ibadah umrah hasil daripada pendapatan berniaga emas tiruan,” tutur Fifah yang merancang mempunyai runner sendiri untuk penghantaran barangan kemasnya tak lama lagi.