“Luka terdalam itu tak terlihat oleh mata dan tak bisa dijelaskan dengan kata-kata,” itulah luahan Datin Rina kala memulakan bicara.
Wanita cantik dalam usia muda awal 30an, memiliki 3 orang cahaya mata comel. Merenung jauh sepertinya membawa saya untuk menyelami kisah perkahwinannya sepanjang 5 tahun.
Ya! Ramai berkata, “Untung you Rina, muda-muda sudah punya gelaran Datin. Hidup mewah bersama teman-teman sosial yang berstatus tinggi. Usia masih muda pandai bergaya, pakai apa pun masih kelihatan cantik kalau ke majlis. Kami yang sudah berusia ni, nak bergaya macam mana la sangat! Itu pun nasib masih kekal sebagai bini pertama, kalau tidak mesti Dato’ nak bawa bini kedua atau ketiga yang muda jelita.
You boleh bangga, masih bergaya dan jarak usia dengan suami pun tidak jauh berbeza,” kata-kata salah seorang Puan Sri yang masih jelas dalam ingatan Datin Rina.
Memang pada dasar permukaan air biru itu kelihatannya sangat tenang kerana yang terlihat hanya keindahan bukan ke dalam dasarnya. Semua yang di kongsi di laman sosial pun hanya yang bahagia, cantik, stylo, manja dan terindah.
Segala duka tidak dipertontonkan, nanti dikatakan meraih simpati dan membuka aib sendiri. “I tak tahu, you perasan atau tidak sejak akhir-akhir ini, I tidak lagi post pic bersama suami. Travel solo atau dengan anak-anak sahaja.
Ada juga sis-sis bawang yang mula sedar keadaan ini dan bertanya. Malas memberi sebarang komen, biarlah hanya mereka yang rapat sahaja tahu peristiwa sebenar yang telah berlaku.”
Datin Rina terus mengatur bicara. “Jujur I kata, memang seronok dapat ‘title VIP’ di usia muda dan alhamdulillah di atas kurniaan rezeki yang Allah berikan. I mengaku keadaan ini telah banyak membawa me and my hubby hanyut.
I sendiri tenggelam dalam dunia glamor VIP, walaupun bukan selebriti tetapi perubahan hidup itu mula berbeza. Tas tangan perlu dari jenama mewah, percutian mesti hebat, sesekali perlu memenuhi permintaan fotografi majalah, coffee-coffee di Pavilion bukan lagi kedai mamak dan ada sahaja keramaian, parti yang perlu I hadir.
I dan hubby cuba mengikut rentak kehidupan sosial ini. Demi untuk mendapatkan projek perniagaan dan sentiasa berada di dalam golongan elit. Acara minum-minum menjadi kebiasaan dan kami mula mengambil ganja untuk kepuasan diri dan nafsu.
Seronok dengan arus kehidupan yang melalaikan daripada landasan sebenarnya. Kami bahagia, menikmati nikmat di usia muda dengan pangkat dan rezeki yang diberikan.
Sehinggalah kelahiran anak kedua, keadaan semakin berubah suasananya. Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil, my hubby bukannya semakin berusaha untuk bekerja keras tetapi terus leka dengan hidup sosialnya.
I pula yang semakin risau dengan keadaan itu, kembali fokus dengan perniagaan sendiri. Nasiblah I juga ada business, kalau harapkan dia sahaja pasti hanyut semuanya,” jelas Datin Rina dengan rasa penyesalan.
“I mula berfikir matang dalam menjalani kehidupan, tidak lagi hanya keseronokan yang ingin dikecap. Melihat keadaan suami yang semakin hanyut dengan dunianya, I risau. Walaupun cuba ditegur untuk lebih serius dalam pekerjaan dan kehidupan keluarga, pastinya suara tinggi yang dilepaskan.
Sering kali kami bergaduh, bertikam lidah dan semuanya serba tidak kena. Keadaan semakin genting selepas kelahiran anak ketiga, bila perniagaan hubby semuanya tidak menjadi dan kehilangan projek satu persatu. I yang mula menanggung semua kewangan keluarga, hutangnya pun I yang terpaksa bayar.
Sikap dinginnya terhadap I semakin ketara, jarang sekali menyentuh I untuk menunaikan nafkah batin yang sepatutnya. Bila ditanya, “You ada perempuan lain ke?” Tidak mengaku sampai ke sudah.
Situasi mula rumit bila campur tangan keluarga mertua yang tidak berapa berkenan perkahwinan ini dari mula dahulu. Ingatkan setelah lima tahun kami berkahwin, keluarga mertua boleh menerima dengan baik tetapi kecewa. Sepertinya layan tak layan sahaja menantunya ini.
Rupanya, selama ini keluarga mertua ingat suami yang tanggung hidup mewah I. Mereka tidak tahu yang sudah dua tahun I menanggung perbelanjaan rumah kami, bayar kereta dan sebagainya. Namun I masih sabar dengan semua keadaan ini, harapan tinggi untuk hubby berubah walaupun semakin hari semakin melampau panas barannya.
Orang luar tidak nampak keretakan yang mula ada dalam rumah tangga kami. Sebaik mungkin cuba dilindungi yang hanya kami paparkan kebahagiaan di mata umum.
Sehinggalah satu hari berlakunya pergaduhan, I dipukul dan dihempas ke dinding. Oh! Selama lima tahun berkahwin inilah kali pertama diperlakukan begitu. Hubby sepertinya hilang pertimbangan dan kemarahan seperti dirasuk.
I sangat kecewa dengan keadaan itu, kalau selama ini bergaduh dan bergaduh berulang kali, I boleh sabar. Kali ini rasanya sudah melampaui batas. Bila dicerita kepada keluarga mertua, i yang dipersalahkan, anaknya juga betul.
Hati ini sangat terluka, penat mencari rezeki dan penat sudah menjaga hatinya. Setelah berfikir panjang, I buat laporan polis dan hubby telah dipanggil untuk disoal jawab. Hubby minta maaf berulang kali dan memohon untuk kami berdamai.
Melihat tiga wajah anak yang masih kecil, I maafkan hubby. Cuma takut jika peristiwa ini akan berlaku lagi. Kalau sekali sudah naik tangan, lepas ni senang-senang akan terima habuan lagi. Paling penting, I baru dapat tahu my hubby memang ada skandal dengan perempuan lain juga. Selama ini teman rapat ada nampak kecurangan itu tetapi disimpan kerana tidak mahu melihat hubungan kami terjejas.
Setelah berlaku begini, satu persatu cerita dikeluarkan. Hati isteri mana tidak sakit bila dengar hubby sendiri tunggu masa untuk lepaskan bini kalau bini sudah tidak ada duit. Begitu sekali tergamaknya hubby I nak buat.
You rasa i tak mengamuk dengan semua ini. Tapi hubby i pandai pujuk hati I, guna anak-anak dan berpuluh kali merayu untuk berinya sekali lagi peluang, berjanji tidak akan buat lagi. Cair juga dibuatnya. Tapi, hati di dalam ini hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Jujur I cakap memang masih ada rasa sayang dan cinta terhadapnya, tapi dalam perasaan mencintai dia itu, ada luka. Bukan hanya bicara tentang pengorbanan tetapi soal hati ini dan mungkin pengorbanan itu perlu noktah di sini. I masih kebingungan memikirkannya…” Bicara Datin Rina yang masih kusut menentukan haluan hidupnya kini.
This website uses cookies.