
Bermula dengan mengusahakan perniagaan hijab dan muslimah Citraida kira-kira enam tahun lalu, kini Khairul Noormaaidah Zali atau lebih mesra disapa Aida mampu tersenyum bangga selepas kerja kerasnya selama ini membuahkan hasil hingga berjaya membuka tiga bisnes sendiri.
Berusia 34 tahun, kejayaan yang dikecapi Aida hari ini sudah pasti ia satu pencapaian membanggakan apatah lagi dengan statusnya sebagai isteri dan ibu kepada dua anak. Bukan senang hendak membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya tapi Aida membuktikan semuanya tidak mustahil untuk digapai.
Aida yang merupakan bekas juara Gadis Melayu 2009 sebelum ini pernah menghiasi dunia penyiaran negara. Sebagai pemegang Ijazah Sarjana Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan gelaran juara Gadis Melayu musim pertama, Aida menggunakan peluang tersebut untuk menjadi pengacara TV.
Antara program yang dihoskan termasuk Apa Ke Halnya, Madinah Ya Rasulullah, Akademi Al-Quran, Nasi Lemak Kopi O dan banyak lagi.
Pun begitu, dia terpaksa memperlahankan kerjaya penyiaran selepas mendirikan rumah tangga bersama personaliti berita TV3, Mohd Saiful Nizam Ismail pada 4 Jun 2010. Seterusnya menjaga anak sulungnya, Aida Eirdeena yang kini berusia lapan tahun kerana mengalami masalah jantung kongenital sejak dilahirkan. Anak keduanya pula iaitu Saif Eirham berumur enam tahun.

Selepas melihat keadaan anak beransur baik, Aida kembali mengacara dalam program Nasi Lemak Kopi O namun mengambil keputusan untuk berniaga secara atas talian pada tahun 2014 menerusi perniagaan tudung, Citraida.
Tidak hanya menguruskan empayar muslimah berkenaan, anak ketiga daripada sembilan beradik ini turut membuka sebuah kafe makanan ala Jepun dikenali Succi Sushi yang menyediakan pelbagai pilihan sushi halal memandangkan dia ialah penggemar sushi.
https://www.instagram.com/p/CDpdviMAUgO/
Dalam kesibukan menjadi pengusaha fesyen dan kafe, Aida terus mengembangkan sayap sebagai usahawan dengan menceburi perniagaan berasaskan kosmetik. Menamakan legasi baharu ini ‘CaMour’, produk kosmetik sulung yang dihasilkan Aida ialah lipmatte. Memang kagum dengan kegigihan Aida untuk berjaya.
Semoga segala impian Aida dimakbulkan dan menjadi sumber inspirasi buat seluruh wanita.
Kredit foto: Instagram Aida Citra
Penyambung Warisan Arwah Faziani Dnars, Kenali Adik Lelakinya FAIZUL ROHBAN Yang Serba Berbakat!

Mengenali Faizul Rohban, seperti mengimbau kembali kenangan penulis saat bertemu kakaknya, Allahyarhamah Faziani Rohban. Kemesraan dan semangat pengasas kosmetik Dnars itu seakan mengalir semula, dari DNA yang sama, cuma melalui orang yang berbeza.
Tenang menyapa penulis, Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Rohban Ahmad tidak kekok bercerita pengalaman hidup beliau sebelum bergelar ahli perniagaan Beauty Kaseh.
Sejak dilancarkan sekitar 2013, nama produk minuman kesihatan, Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh mula hebat diperkatakan. Di sebalik kejayaan itu, inilah orangnya yang bertungkus-lumus memajukan bisnes yang diilhamkan oleh kakak sendiri, Hajah Faziani Rohban.

Lelaki segak asal Kelantan dan berusia 38 tahun itu kini merupakan Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
“Betul, bisnes Beauty Kaseh ditubuhkan hasil ilham dan kerja keras kakak saya yang pada waktu itu memerlukan seorang jurucakap untuk produk yang dilancarkan.
Arwah meminta isteri saya, Norbaizura Ibrahim untuk membantunya sebagai jurucakap kemudian mempelawa saya sekali untuk menjadi jurucakap bersama. Saya ingat lagi kata-katanya masa tu…


‘Joe, aku nak mu dengan Zura jadi jurucakap bersama. Aku yakin mu ada kelebihan untuk bercakap.’
Bermula dari situlah penglibatan saya dan isteri menjadi jurucakap sepenuh masa. Namun pada tahun 2017, kira-kira dua tahun sebelum kematian arwah, dia membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan Beauty Kaseh dan menyerahkan syarikat ini sepenuhnya kepada saya tanpa perlu membayar apa-apa.
Hanya ambil dan uruskan saja.” Faizul Rohban
Sebagai seorang adik, pemergian kakak tersayang pastinya meninggalkan banyak kenangan. Faizul tidak terkecuali.
“Saya tak pernah rasa ralat bila orang kaitkan saya dengan perniagaan arwah. Memang betul asalnya bisnes ini adalah hak arwah, dan setiap kali orang bertanya, saya juga akan mengaitkan arwah kerana mana mungkin saya mahu melupakan orang yang membawa saya ke tahap ini.
Arwah banyak berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan doa untuk membawa kejayaan kepada saya. Setiap kali orang tengok saya dan tanya, ‘Adakah awak adik pengasas Dnars?’ maka jawapan saya adalah ‘Ya!’
Darah dan semangat arwah sentiasa mengalir dalam badan saya.” Faizul Rohban


Pencapaian Beauty Kaseh yang membanggakan turut mengangkat nama Faizul Rohban sebagai penerima Best Men’s Halal Beauty Award di acara Nona Superhero Award 2021.
Meskipun maju dan menerima pengiktirafan yang tinggi, namun tak sedikit pun wujud rasa riak, sebaliknya Faizul semakin berazam mahu membawa nama Beauty Kaseh ke peringkat global.
“Sebenarnya saya mula berbisnes selepas tamat SPM 2002. Masa tu saya ambil alih bisnes kedai makan arwah abah iaitu sebuah kedai menjual roti tempayan (roti nan) yang tak dikenali. Dengan jualan kedai yang bagaikan hidup segan mati tak mahu, saya ubah landskap bisnes itu ke arah yang lebih baik.
Percaya tak, saya pernah promosikan kedai saya tu dengan menyelit flyers di dalam akhbar-akhbar? Saya masih ingat saat tu, hanya ada sebuah motosikal saja. Itulah kenderaan saya untuk membawa segala bahan mentah.
Pernah saya bawa seguni gandum di atas motosikal dan tiba-tiba talinya putus lalu berteraburlah gandum di atas jalan. Tanpa rasa malu saya turun dan ambil balik gandum-gandum tu. Pernah juga guni bawang bocor, pun saya turun dan kutip bawang-bawang di atas jalan raya.
Dulu saya hanyalah seorang budak penebar roti canai. Arwah abah buat roti dan saya buat roti canai. Selepas abah meninggal dunia pada tahun 2010, tinggallah saya seorang menguruskan kedai sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik lelaki saya yang masih bersekolah waktu tu.
Pada masa tersebut, saya tiada impian nak usahakan bisnes produk lagi, sekadar fokus mempertahankan bisnes arwah abah saja.
Sehinggalah pada tahun 2013, arwah kakak telah membawa saya ke pentas perniagaan Beauty Kaseh ini.” Faizul Rohban
ARWAH KAKAK
Tekad mahu berjaya dan mengubah nasib dirinya, Faizul kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Perniagaan di sebuah IPT. Impiannya besar, mahu membawa jenama Beauty Kaseh ke tahap global!
“Segalanya memerlukan perancangan rapi termasuk dokumen yang lengkap. Kerana itu kami telah mula bergerak ke arah ini sejak dari tahun 2019 lagi. Selain itu, kami juga memiliki sebuah kilang kosmetik yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Menyedari betapa kuatnya persaingan dan cabaran pandemik yang melanda dunia, Faizul bingkas memperkasakan dirinya agar lebih dinamik dan berdaya saing.
“Hari ini media sosial bergerak pantas dan wujud ramai founder yang mencari ejen untuk produk mereka. Bersandarkan kekayaan yang dimiliki, segalanya ditayang dengan alasan supaya ejen lebih terangsang.
Tapi saya yakin untuk merangsang minda manusia agar berjaya, cara sebenar ialah dengan memberi ilmu perniagaan yang betul. Bukan beri khayalan.
Di Beauty Kaseh, saya lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti serta menjalani R&D yang mantap berbanding menghasilkan contents yang tidak bermanfaat.
Prinsip saya mudah. Biar lambat tetapi berkualiti. Sebagai ahli perniagaan, kita mesti bergerak seiring dengan realiti yang sebenar serta pengalaman yang mematangkan kita.” Faizul Rohban
Menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idola, Faizul juga tidak menafikan bahawa banyak sifat-sifat arwah kakaknya yang dicontohi untuk berjaya.
“Arwah adalah seorang yang tidak sekali-kali akan kalah pada keadaan. Apabila dia kata ya, maka tidak ada apa yang boleh mengatakan tidak. Dia akan berusaha sungguh-sungguh untuk mencapainya.
Satu hari kami berjumpa di airport, saya bagi kad bisnes saya yang baru kepada arwah. Dengan spontan arwah jawab, ‘Satu masa nanti mu akan berjaya sebab mu kreatif. Tapi dengan syarat jangan putus asa.’
Memang arwah kakak selalu berfikir untuk memajukan bisnes saya. Dua minggu sebelum nahas yang menimpa arwah, dia telefon isteri saya untuk berpesan, jagakan kelapan-lapan anaknya dengan sebaik mungkin.
Arwah mahu saya uruskan kilang dia kerana dah penat. Jarang dalam hidup dia yang dia katakan dia penat. Waktu tu kami tak perasan ini pesanan terakhirnya…” Faizul Rohban
Kenangan paling manis buat Majalah Nona, ketika bertamu ke mahligai indah Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan. Mesra dan amat menyenangkan, sebak pula tonton video ni…
IMPIAN
Tidak mahu terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kisah peribadi Faizul pula menjadi topik sembang kami. Agaknya bagaimanalah cara membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga di rumah?
“Sebenarnya dua perkara ini penting dalam hidup saya. Isteri dan anak-anak kerana itu saya akan pastikan setiap Jumaat kami berada di rumah bersama-sama. Kalau tidak outstation, saya sentiasa berada di rumah untuk makan, solat berjemaah dan beriadah sekeluarga.

Selain itu, ada beberapa hari yang saya akan pastikan hadir ke majlis pengajian kitab dan tafsir Al-Quran di masjid. Itulah cara saya melepaskan stres dalam hidup saya.
Biasanya bila saya lemah dan down, saya akan pujuk diri saya bahawa ini semua adalah ujian dan cabaran yang Allah berikan agar kita lebih kuat. Tanpa ujian, manusia sering akan merasa selesa tetapi dengan ujian, kita akan rasa lebih diperhatikan.” Faizul Rohban
Sama seperti tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar yang menjadi idolanya, lelaki berkulit cerah ini berkongsi hasrat yang sama iaitu mahu membangunkan ekonomi ummah tanpa menonjolkan kekayaan.
“Satu lagi impian yang belum tercapai ialah ingin melihat produk-produk Beauty Kaseh berada di dalam rumah setiap Keluarga Malaysia seperti minuman, bedak, kosmetik dan lain-lain. Saya yakin semua ini pasti akan berhasil suatu hari nanti, insya-Allah.”
Umur 30 Raih Jualan RM1 Juta Sebulan, Reen Ramzi Cetus Inspirasi Jadi Pemilik Kilang OEM & Hub Di US!

Terinspirasi dengan kejayaan wanita muda ini. Meniti usia 30 tahun, Nur Hazreen Mohd Ramzi atau mesra disapa Reen mampu tersenyum bangga apabila perniagaan yang diusahakan kira-kira enam tahun lalu mendatangkan hasil lumayan.
Dia yang mempunyai kelulusan Sarjana Muda Psikologi Kaunseling dari Universiti Malaya kini merupakan Pengarah Produklega Supplies Sdn Bhd.
Biarpun masih muda namun Reen matang mendepani dugaan bergelar usahawan dan mendapat kepercayaan kebanyakan pengasas produk di negara ini.
Dalam temu bual bersama Nona, dia dalam nada merendah diri sama sekali tidak menyangka anak kampung sepertinya yang membesar dengan suasana hulu kampung di Jeli, Kelantan berupaya memiliki aset dan syarikat berskala besar.
Lebih manis, hasrat untuk membangunkan empayar niaga sendiri mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa dan ahli keluarga.
“Masa zaman universiti di tengah Kuala Lumpur, bagi anak kampung yang terbiasa dengan taraf hidup rendah, hidup di sini sangatlah mencabar. Serba-serbi mahal. Dorongan terbesar adalah asakan hidup dan keinginan untuk gapai tiap satu ‘bucket list’ kehidupan.
Minat dalam OEM bermula apabila keinginan untuk keluarkan produk sendiri terbantut dek kerana modal dan kos yang tinggi untuk marketing produk tersebut. Jadi pada tahun 2018, daripada ingin menjadi ‘founder’, saya tukar arah kepada melahirkan ‘founder’ sebab modalnya ialah kepercayaan.
Klien pertama saya ialah rakan sebilik masa matrikulasi yang mengeluarkan produk wax strip diambil dari China dan dibungkus semula di Malaysia. Alhamdulillah produk berhasil.”
Difahamkan modal permulaan Reen waktu itu ialah RM300 yang diberikan mak ayah kepadanya sebagai duit poket. Dedahnya, duit itulah digunakan untuk tambah nilai Paypal memandangkan pengedar dari China hanya menerima transaksi pembayaran itu.
“Dari situ, saya mula mencari ruang dan peluang melahirkan lebih ramai pengasas dengan cara menempah di China kerana lebih murah dan mendaftar produk import. Alhamdulillah pendapatan syarikat kini cecah lebih 1 juta sebulan dan sekarang kita dah ada 1 hub di US, 1 kilang OEM sendiri serta gudang di Kapar, Klang dan 1 showroom di Denai Alam, Shah Alam.
Sepanjang Produklega Supplies Sdn Bhd ditubuhkan kami berjaya menghasilkan lebih 300 jenis produk termasuklah supplemen, skincare dan kosmetik.”
Tambah Reen lagi, “Dari hanya pengantara antara kilang China dengan pengasas, kini saya pemilik kilang OEM jenama sendiri. Malah, dapat lahirkan jutawan muda dan paling penting
‘bucket list’ tercapai! Saya dapat bawa mak abah menunaikan umrah, pergi melancong dan belikan adik-adik kenderaan.”
Menceritakan cabaran terbesar menjadi usahawan, ini jawapan jujur Reen. “1000 hari pertama dalam hidup usahawan adalah satu ‘sumpahan’. Maka laluinya dengan tenang. Terus istiqamah dan fokus.
Ada kegagalan, terima dan baikinya. Tak ada kejayaan yang datang bergolek. Habis 1000 hari, tuailah hasil selaras usaha.
Kesalahan terbesar usahawan muda ialah nak nampak gah. Itu semua tak perlu. Sebaliknya, perlu bina hubungan baik dengan semua. Tak siapa tahu, rezeki datang dari sudut mana. Be humble. Jangan cepat melatah, tiap masalah ada jalannya.”
Mengulas lanjut keistimewaan syarikat miliknya, isteri juruterbang iaitu Muhammad Afiq Faisal yang juga ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, “Kami siapkan A to Z agar para pengasas tidak perlu fikir soal penghasilan produk.
Malah kami tawarkan sekali marketing bagi melariskan produk. Selain jalin usahasama dengan negara-negara luar seperti China, Indonesia, Singapura dan Brunei bagi memudahkan pengasas untuk import atau eksport produk termasuk bahan mentah dari negara-negara tersebut. Pendek kata all in! Tinggal jual dan jadi jutawan.”
Terbukti Reen seorang wanita berjiwa kental dan optimis. Moga kejayaan yang diraih usahawan ini menjadi sumber inspirasi dan semangat buat golongan wanita untuk mengejar impian!
Rupanya Nicol David Punya Bakat Melukis. Lakaran DOODLE Penuhi Masa Lapangnya!

SIRI kejayaan yang dikecapi oleh empunya nama Datuk Nicol Ann David selaku penakluk sukan skuasy dunia sememangnyamenjadi perhatian seantero dunia. Mana tidaknya, Nicol yang kini mencecah usia 36 tahun telah menjadi wanita Asia pertama memegang gelaran pemain nombor satu dunia! Terbaharu, Nicol tersenarai antara Top 10 All Time Unbroken Streak Ranked in The World selama 177 bulan atau 14 tahun bermula Januari 2004 hingga september 2018. Ia merupakan kejayaan peribadi buat dirinya, malah kejayaan istimewa untuk Malaysia khususnya.
Tidak hairanlah, Nicol turut disayangi oleh seluruh rakyat Malaysia yang kagum dengan kejayaan beliau dalam sukan skuasy yang diceburinya itu. Mana tidaknya, melihat ketangkasan yang ditunjukkan di gelanggang skuasy membuktikan beliau berusaha keras untuk berjaya di dalam setiap kejohanan bertaraf dunia yang disertainya. Tetapi apa yang lebih manis, tidak kira samada menang atau kalah, beliau tetap bersahaja dan terus menguntum senyuman untuk para peminatnya. Sikap cool dan matang dalam corak permainannya di gelanggang skuasy menjadi inspirasi buat pelapis sukan skuasy tanahair.
Banyak pengorbanan yang dilakukan oleh Nicol yang hanya sempat pulang ke tanahair dua atau tiga kali sahaja dalam setahun.Selebihnya, dia terikat dengan jadual latihan. Sejak mengambil keputusan untuk menjalani latihan di Amsterdam di bawah jurulatih Liv Irving pada tahun 2003 lagi, Nicol terpaksa berjauhan dari keluarga yang menetap di Pulau Pinang. Berpisah jauh tidak sekalipun membataskan hubungan kekeluargaan malah Nicol menjadikan ia sebagai perangsang untuk kekal fokus dan membawa nama keluarga sebaik mungkin.
Itulah Datuk Nicol David yang bukan sahaja dikenali sebagai ratu skuasy negara, malah generasi muda berjiwa besar yang telah beberapa kali menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.
Ujar Nicol, walaupun telah sedekad bergelar pemain profesional dan sudah menyambar lebih 40 kejuaraan baik di dalam mahupun luar negara, masih banyak impian yang dirancang belum terlaksana dan Nicol sedang berusaha menuju ke arah itu.
“Sukan skuasy sudah menjadi sebahagian dari kehidupan saya dan saya masih belum puas menikmati momen indah di dalam sukan ini. Jika kita bersungguh-sungguh dan minat dengan apa yang dilakukan, sudah tentu tidak terdetik pun rasa untuk mudah berpuas hati.
Begitu juga dengan diri saya. Saya ingin melihat Yayasan Nicol David dibentuk tidak lama lagi dan inilah masanya untuk saya menyumbang kembali kepada masyarakat dengan melihat lebih ramai bakat muda dalam sukan ini,” ujar Nicol yang sedang merangka mewujudkan akademinya sendiri tidak lama lagi.
Walapun jadual hariannya dipenuhi dengan menjalani latihan dua kali sehari iaitu selama dua hingga empat jam selama enam hari seminggu, Nicol bijak mengatur kehidupan hariannya dengan aktiviti-aktiviti kegemarannya seperti melukis atau bersantai dengan mendengar muzik mahupun menonton televisyen. Melihat beberapa keping lukisan doodle hasil kerja tangannya yang terdapat di instagram miliknya, Nicol menjadikan kehidupan seharian sebagai elemen utama lukisan doodlenya itu. Tepi gelanggang menjadi tempat Nicol meluahkan tekanan dengan melukis sejak usianya 5 tahun lagi.
Jangan tak tahu Nicol sebenarnya seorang yang gemar makan. Malah dia tidak mengamalkan sebarang ‘pantang’ apabila berkaitan soal makanan. Selain itu, bakat melukis turut menyerlah di dalam dirinya kerana ia merupakan antara cara untuk dirinya melepaskan tekanan serta sebagai terapi minda.
Anak kepada jurutera yang juga bekas penjaga gol Pulau Pinang, Desmond David dan Ann Marie kini boleh berbangga dengan pelbagai kejayaan yang dikecapinya sepanjang sedekad menjadi pemain skuasy professional. Namanya turut diabadikan di gelanggang utama di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil sebagai Arena Nicol David. Bagi Nicol, perjuangannya dalam arena sukan skuasy belum bernoktah lantaran masih banyak kejohanan yang bakal disertainya di samping ingin membalas jasa serta mencurah bakti kepada generasi baharu mengenai bidang sukan yang amat dicintainya ini.
Masih banyak perancangan yang diatur untuk dirinya laksanakan sebaik mungkin. Harapan dan cita-cita dalam sukan skuasy terlalu mendalam dalam dirinya dan berharap lebih ramai bakat muda dapat dicungkil dan mengharumkan lagi nama negara di mata dunia.
Foto: instagram nicolsquash