Personaliti media sosial dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee menyertai Misi Untukmu Yaman anjuran Serantau Muslim bagi mengagihkan sumbangan dan bantuan di kepada pelarian yang berlindung di Marib, Yemen.
Antara sumbangan yang diagihkan adalah bantuan makanan, bekalan air bersih, projek ekonomi masyarakat, klinik bergerak, sedekah daging, bangunan sekolah, tajaan guru dan bantuan alat kelengkapan sekolah.
Menurut Farah atau nama penuhnya Norfarahin Romli turut menyeru orang ramai agar menyokong kempen tersebut.
Ia sebagai tanda kebersamaan kepada umat Islam Yemen yang sedang mengharungi cabaran penuh liku.
“Ramai yang mati bukan sahaja kerana peperangan tetapi kebuluran, penyakit berjangkit dan lain-lain masalah yang tak mampu dibendung.
“Saya mahu ambil keberkatan Yemen yang didoakan Rasulullah SAW, saya yakin setiap pengorbanan kita akan dinilai disisi Allah SWT,” katanya.
Menurut bekas isteri kepada pengacara Ally Iskandar ini, isu kemanusiaan di Yemen adalah yang terburuk di dalam dunia.
Kenyataan tersebut telah dikeluarkan sendiri oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Penduduk Yemen kini mengharapkan bantuan dan perhatian kita. Apa yang mereka alami sekarang adalah tanggungjawab kita.
“Ayuh sama-sama bersama Farah Lee menyokong usaha Serantau Muslim untuk membantu rakyat yang sengsara di sana menerusi untukmuyaman.com,” ujarnya.
Semoga segala usaha yang dilakukan Farah Lee dan team mendapat ganjaran serta pahala yang besar di sisi Allah SWT seterusnya dimudahkan segala urusannya di sana.
Sumber: Sinar Harian
Pengantin Letak 1001 Syarat, Kreativiti Jurusolek ‘DISEKAT’ Dan Tak Ada Kepuasan
Kelrina Hof, jurusolek professional yang sudah lama dalam dunia solekan. Seronok bila jari kidal Kelrina bermain-main pada wajah. Tetapi menurutnya, ramai client yang suka sekat kreativiti jurusolek.
Untuk menjadi seorang jurusolek bagus, mereka perlu memiliki kemahiran dalam bidang solekan serta kelebihan untuk menggayakan rambut. Barangkali, itulah yang dilihat dari perspektif kliennya, pakej untuk mendapat solekan yang cantik serta penggayaan rambut dan hijab yang kemas dan rapi. Kelrina,52, yang berasal dari Kluang Johor ini masih aktif dalam dunia solekan dan pada masa sama, menguruskan perniagaan sendiri.
Permulaan kerjaya anda dan berapa tahun berada dalam dunia solekan?
Saya mula berjinak-jinak dalam bidang solekan sejak berusia 12 tahun lagi. Ketika itu saya membantu ibu saudara menghias pengantin setiap kali cuti penggal persekolahan. Bermula dengan tugasan mengeringkan rambut pengantin sehinggalah saya memasuki pusat pengajian tinggi.
Saya masih meneruskan aktiviti menyolek rakan-rakan apabila mereka perlu menghadiri majlis dan mendapat upah. Malah, saya juga mengambil upah menggunting rambut mereka. Sehinggalah saya mula bergerak aktif untuk menata rias untuk majalah dan media massa sejak tahun 2000 sehingga kini.
Bagaimana minat bermula sebagai jurusolek?
Ketika saya melihat ibu saudara saya menatarias pengantin, ketika itulah minat saya bermula dan dari situ saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menyertai akademi kecantikan berserta hair coiffure.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Saya tidak mendapat halangan dari keluarga kerana mereka tahu minat saya. Saya suka berniaga sejak di bangku sekolah lagi. Saya jual kerepek yang dibungkus semula untuk dijual kepada rakan-rakan. Dari situ, saya teruskan pula dengan bidang solekan dan penggayaan rambut.
Apakah cabaran pernah anda hadapi ketika menyolek bakal pengantin?
Sukar buat jurusolek seperti saya jika kami diberikan pelbagai syarat sebelum mula membuat solekan. Ia boleh menyekat kreativiti dan hasilnya sudah pasti kurang memberangsangkan.
Pendek kata, setiap jurusolek pasti akan melalui saat mencabar tidak kira dari segi kredibiliti kerja atau emosi yang berpunca dari faktor luaran dan pelanggan itu sendiri. Tetapi itu semua lumrah dan kita akan belajar cara untuk menanganinya.
Nama anda begitu dikenali dan sering menjadi pilihan bakal pengantin. Bagaimana anda mampu terus kekal menjadi jurusolek pilihan bakal pengantin?
Saya selalu mengikut peredaran masa, memperbaharui teknik solekan dan yang paling penting mempunyai pengetahuan produk yang tinggi
Siapakah idola anda dalam kehidupan?
Ibu saya sendiri kerana tanpa beliau saya tidak ada ditahap sekarang.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Sentiasa peka dengan alliran semasa. Begitu juga dari segi teknik dan produk.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Berpegang teguh pada solekan yang tidak keterlaluan. Natural dan tidak nampak fake, terutamanya ketika membuat alis kening dan based foundation adalah sangat penting dalam solekan.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan?
Tidak kira apa juga bidang pekerjaan di dunia ini, pasti wujud persaingan untuk menentukan siapa yang terbaik dalam kalangan yang berpotensi. Bagi saya, sekalipun bidang kecantikan mempunyai graf persaingan yang cukup tinggi, saya yakin dengan rezeki yang sudah ditentukan Allah SWT untuk saya.
Saya percaya kepada bertawakal dalam berusaha. Kalau kita mendahului kewajipan kepada Allah SWT, berserah diri kepada-Nya dengan semua urusan kita sebelum mulakan usaha, pastinya rezeki itu ada. Apa yang penting adalah usaha.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Selalu buat research tentang teknik dan produk. Sering bertanya dengan orang lebih berpengalaman dan solek pelbagai jenis kulit. Kita tidak akan dapat banyak pengalaman hanya dengan merias muka sendiri. Solekan orang yang berbeza memberi kita lebih pengalaman dari segi jenis kulit dan bagaimana mengatasi kekurangan mereka.
Nasihat kepada bakal pengantin bagaimana ingin memilih jurusolek untuk hari perkahwinan.
Biarlah solekan itu sederhana segar dan memberi seri diwajah anda serta kekal diterima sampai bila-bila. Tidak perlu ikut trend. Sebagai ratu sehari makeup tidak perlu tebal seperti topeng. Solekan akan terserlah dengan teknik solekan yang tepat. Less is more, jadi kuncinya buat research dan pilihlah jurusolek yang betul-betul berpengalaman.
13 Tahun Bertarung Kanser Mulut, MENANTU TUN ABDULLAH Ini Cekal Hadapi Hidup & Kekal Mempersona!
13 tahun lalu saat insan lain gentar untuk berbicara soal kanser, wanita hebat ini berazam menyediakan ruang khusus buat pesakit dan bekas pesakit kanser payu dara. Impiannya ketika itu hanya satu… menyuntik semangat kepada mereka yang terlibat agar cekal mendepani ujian hidup. Dalam keterujaan Puan Sri Dato’ Azrene Abdullah membantu para pesakit bergerak aktif dan kekal positif terhadap masa depan mereka melalui penubuhan Breast Cancer Foundation, dirinya pula diuji dengan perkhabaran mengejutkan.
Tanpa berselindung, ibu jelita kepada empat orang anak ini mengakui perjalanan untuk menubuhkan badan amal tersebut cukup dekat dan bermakna bagi dirinya. Bukan hanya kerana ia adalah terjemahan kepada niat murni ibu mentuanya, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood bahkan pada ketika itu jugalah dia didiagnosis menghidap kanser mulut.
Jelas Puan Sri Dato’ Azrene, beliau menerima berita berkenaan daripada seorang doktor di Amerika Syarikat setelah ujian biopsi yang diambil daripada lidahnya menunjukkan kehadiran sel kanser.
“Saya antara orang yang sering bersama Allahyarhamah Tun Endon waktu dirinya sedang menderita kanser payu dara. Apabila tiba waktu rawatan dan pemeriksaan kesihatan, saya akan membawanya ke hospital. Jadi, sementara menunggu prosedur rawatan selesai, saya turut ambil peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan doktor di sana memandangkan keadaan diri yang kerap mengalami gejala ulser di mulut.
Hasil biopsi pertama doktor tak temui sebarang masalah. Tapi selepas ujian biopsi seterusnya barulah mereka mendapati ia adalah kanser. Keadaan waktu itu memang mencabar. Saya menderita kanser mulut sementara ibu mentua pula sedang sakit kanser payu dara. Tapi pengalaman berada di samping Tun Endon cukup indah. Cara dia menjalani hidup dengan ceria dan gembira membuatkan saya kuat untuk bertarung menghadapi kesakitan.
Malah ketika saya beritahu tentang penyakit ini kepadanya, dia suruh saya lawan. Alhamdulillah, saya ingat pesanannya dan terus melawan penyakit ini sampai sekarang, sampaikan Breast Cancer Foundation pun sudah memasuki tahun yang ke-13,” tutur Puan Sri Dato’ Azrene dalam nada tenang.
Mengakui masih membuat rawatan untuk kanser mulut yang dialami, Puan Sri Dato’ Azrene berkata beliau tidak melakukan rawatan kemoterapi sebaliknya mencari alternatif lain yang disarankan pakar perubatan.
“Saya pergi mendapatkan kaedah rawatan komprehensif lain dengan seorang doktor di Australia yang menggunakan bahan-bahan daripada herba. Doktor menyarankan saya untuk mengamalkan minuman dan mandi herba secara berendam. Herba yang diberikan pula bukan sebarangan kerana ia bergantung pada kombinasi ramuan herba yang telah dideskripsi dan diajar oleh doktor. Kemudian saya perlu buat sendiri di rumah.
Setiap pagi saya akan buat seperti yang diajar dan mandi bersama ramuan herba tadi. Memang berkesan tapi dalam masa sama mencabar juga. Banyak benda yang harus dibuat dan sepanjang tempoh rawatan ini, doktor yang sama turut membekalkan segala ramuan herba yang diperlukan kepada saya. Pertama sekali kena mandi dan bersihkan badan seperti biasa. Kemudian baru berendam tapi tak boleh lebih 20 minit dengan suhu air 38.5 Celsius.
Dalam tab mandi, saya ada letak termometer untuk sukat suhu yang tepat. Tak boleh kurang dan tak boleh lebih sebab boleh memberi kesan tertentu. Tujuannya adalah untuk buang toksik di dalam badan. Sebenarnya mandian herba ini juga baik untuk semua. Kalau anda dapat buat seminggu sekali pun memadai. Inshaallah, kulit akan jadi lebih lembut dan cantik. Boleh juga menggunakan minyak camomile atau minyak bayi.”
Menyentuh rejim kecantikan yang dilakukan selama ini, jelas Puan Sri Dato’ Azrene lagi beliau hanya mengamalkan penjagaan asas kulit wajah seperti mencuci dan skrub muka, memakai penyegar dan pelembap wajah serta masker tanpa menjalani rawatan kulit yang lebih khusus.
Pernah Menderita Kerana Kanser, Kini MONTANA BROWN Bergelar Jururawat Di Hospital Yang Pernah Merawatnya
“Tidak pernah terlintas di fikiran pada usia 24 tahun saya akhirnya berjaya menggapai impian terbesar iaitu untuk berkhidmat di hospital yang pernah merawat saya ketika diserang kanser dahulu.”
Itu antara ungkapan daripada bekas pesakit kanser, Montana Brown yang kini bertugas sebagai jururawat di hospital yang sama dia pernah dirawat sebagai pesakit kanser.
Seawal usianya dua tahun, Montana Brown disahkan menghidap Rhabdomyosarcoma iaitu sejenis kanser yang menyerang bahagian tisu dan otot badan. Bayangkan dalam usia yang sangat muda dan tidak mengerti apa-apa tentang kanser, Montana Brown sudah pun bergelar seorang ‘pejuang’!
Bermula dari saat itu kehidupan Montana Brown tidak seriang kanak-anak seusia dengannya. Setahun dia terpaksa menjalani rawatan kemoterapi di Aflac Cancer and Blood Disorders Center, Children’s Healthcare, Atlanta, Amerika. Namun kehidupan Montana Brown kembali cerah apabila rawatan itu berjaya dan dia sembuh seperti sedia kala.
KANSER KEMBALI MENYERANG
Disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Ketika usianya mencecah 15 tahun dan aktif sebagai cheerleader di sekolah, kanser itu kembali menyerang. Tanpa sebarang simptom, Montana Brown tidak menyedari bahawa kansernya kembali merebak.
“Saya langsung tidak menyedari kehadirannya kerana tiada sebarang simptom yang dirasai. Namun, ibu dan bapa saya memberitahu yang mereka merasai ada sesuatu yang tidak kena pada diri saya. Sekali lagi saya menjalani rawatan kemoterapi dan berjaya melawannya buat kali kedua.
Saya bersyukur kepada Tuhan dan sangat terhutang budi dengan jururawat-jururawat di Aflac Cancer and Blood Disorders Center kerana telah berusaha sedaya upaya mereka demi menyelamatkan nyawa saya. Ini cukup menyentuh hati saya. Jururawat di sini semuanya terbaik sejak daripada mula saya dirawat.
Mereka memiliki sifat penyayang, ambil berat dan belas kasihan yang tinggi terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Kasih sayang yang ditunjukkan buat saya dan keluarga itulah detik yang membantu saya untuk terus berjuang sebagai pesakit kanser.
Inilah yang menginspirasikan saya untuk bergelar jururawat. Saya ingin membantu pesakit-pesakit kanser seterusnya berbakti dan menyemai kasih sayang terhadap mereka sama seperti jururawat-jururawat yang pernah merawat saya dahulu.”
Montana Brown mula bertugas sebagai jururawat di bahagian Onkologi Pediatrik, Aflac Cancer and Blood Disorders Center sejak September 2017.
Kebetulan pula, September merupakan bulan kesedaran kanser kanak-kanak. Montana Brown menganggap detik itu adalah paling bermakna dalam hidupnya kerana impian untuk bergelar jururawat sudah menjadi kenyataan.
KONGSI KISAH
Bagi meluahkah keterujaannya, Montana Brown berkongsi kisah di Facebook dan mendapat respon yang sangat hebat daripada para netizen. Tidak kurang juga ada yang menjadikan kisahnya sebagai inspirasi khususnya buat wanita. Hospital tempatnya bertugas turut berkongsi kisahnya di page Facebook.
“Saya terharu kerana Tuhan telah memilih saya untuk menikmati kehidupan yang cukup menakjubkan ini. Saya sangat teruja untuk bertugas di hospital yang benar-benar memberikan inspirasi,” ungkap Montana Brown.
Antara petikan kata-kata netizen terhadap perkongsian kisah Montana Brown di Facebook.
“Saya berdoa semoga anak perempuan saya yang kini sedang melawan kanser otak mendapat peluang seperti ini! Kanser telah mengubah kehidupan anda dan mengajar anda tentang impian terhebat!”.
Semoga Montana Brown terus menjadi sumber inspirasi buat masyarakat. Sehingga kini Montana Brown masih lagi menjalani rawatan kemoterapi di hospital tersebut dan pada masa yang sama turut berkhidmat di situ.
Sumber: BuzzFeed News dan Facebook Montana Brown