Tanggal 11 Januari lepas genap setahun usia perkahwinan pasangan diraja Brunei iaitu Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam.
Meskipun sudah setahun berlalu namun perkahwinan yang diberi julukan Wedding of the Year ini masih segar di ingatan ramai termasuk rakyat Malaysia.
Kini, pasangan diraja berkenaan kian bahagia melayari alam rumah tangga dan menerusi perkongsian foto di Instagram rasmi Putera Mateen jelas terserlah kebahagiaan pasangan tersebut.
Lebih manis, pada 6 November lalu putera diraja kacak Brunei ini menzahirkan ucapan ulang tahun kelahiran ke-30 buat isteri tercinta.
Mengimbas kembali majlis perkahwinan gilang-gemilang itu, Istiadat Perkahwinan Diraja berlangsung selama beberapa hari dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari 2024 diikuti Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga pada 8 Januari, Majlis Istiadat Berbedak pada 10 Januari dan Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari.
Acara kemudian diteruskan dengan Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja pada 14 Januari, Majlis Persantapan Diraja pada 15 Januari dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari 2024
Sejak bergelar suri hati Putera Mateen, penampilan Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah menjadi tumpuan ramai kerana kejelitaan yang dimiliki.
Difahamkan wanita cantik ini ialah cucu penasihat negarawan Brunei dan pasangan diraja ini sudah mengenali sejak kecil. Malah, Putera Mateen bersahabat baik dengan abang Pengiran Anak Isteri Anisha iaitu Daniel Deen Isa.
Lebih tiga bulan mendirikan rumah tangga, Pengiran Muda Mateen dan isteri berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah. Turut menemani ialah ahli keluarga dan ibu Pengiran Muda Mateen.
Dalam hantaran di media sosial milik anakanda Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ini, Putera Mateen dan Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah menikmati percutian musim sejuk di benua Eropah.
This website uses cookies.