Hanya yang pernah mengalami saja tahu betapa peritnya kehilangan orang tersayang. Bagi Naib Juara Akademi Fantasia Musim Kedua, Linda Nanuwil… pemergian ayah tersayang pada tahun 2008 sudah cukup memeritkan. Belum sempat merawat duka kehilangan ayah, kelibat mak tersayang pula hilang dari pandangan buat selama-lamanya setahun selepas kematian ayahanda. Besar sungguh ujian yang diberikan kepada penyanyi kelahiran Sabah ini.
Sejak detik itu, fokusnya untuk mengembangkan bakat seni cukup terganggu. Linda sukar menerima hakikat kehilangan insan tersayang dua tahun berturut-turut hingga terpaksa mengambil keputusan menutup media sosial selain menyepikan diri dalam industri seni untuk beberapa ketika.
Ketika dihubungi pihak Nona baru-baru ini, pelantun lagu Jika Kau Kekasih tersebut tenang menyambut panggilan. “Perkembangan terkini, Linda sudah kembali aktif menyanyi dan tawaran nyanyian juga syukur semakin banyak. Tawaran berlakon pula memang ada dapat di Sabah cuma masa tidak mengizinkan.”
Tatkala ditanya penglibatan seni Linda sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selebriti bersuara lunak ini membuka rahsia hati. “Punca utama menyepikan diri sebenarnya sebab kedua-dua ibu bapa Linda meninggal dunia dalam masa dua tahun berturut-turut. Perkara ini sangat memberi kesan yang pedih dan sakit buat saya sehingga karier dan media sosial saya pun terpaksa shut down.
Waktu itu saya hanya mahu menjaga mak ayah. Saya cuma sempat menjaga dan melawat ayah lebih kurang enam bulan bapa terlantar di hospital. Memang selalu keluar masuk hospital sebelum dia meninggal. Kadang-kadang selepas selesai shooting, saya terus ke hospital untuk tunjukkan dia gambar-gambar diambil masa shooting.
Semasa ayah masih ada, kami sempat tulis lirik lagu bersama-sama dan terhasillah lagu Dusun, Upus Tolidang atau Cinta Sejati.
Selepas ayah meninggal dunia, saya kerap berada di Sabah untuk bersama mak. Pada masa itu saya masih menetap di Semenanjung. Berbeza dengan pemergian ayah, pemergian mak saya sangat mengejutkan kerana mak langsung tidak menunjukkan simptom yang dia sakit tenat.
Dia cuma pengsan waktu Subuh dan dihantar ke hospital di emergency dan meninggal dunia,” telus Linda sambal memberitahu punca kematian kedua-duanya adalah disebabkan masalah jantung.
Cuba mendapatkan kembali momentum kejayaan yang pernah diraih sebelum ini, Linda turut merancang untuk menghasilkan lebih banyak lagu-lagu ciptaan sendiri selain berhasrat menerbitkan single dan album di samping mengadakan kolaborasi bersama penyanyi dan pencipta lagu berbakat besar.
Bercerita tentang pesanan mak ayahnya yang diingati hingga ke saat ini, Linda mengakui nasihat mereka masih segar di kotak fikiran. “Terlalu banyak. Salah satunya, jangan memandu laju dan jangan bawa motorsikal. Sewaktu saya di Semenanjung, setiap hari terutama mak akan call saya. Dalam sehari, mak akan telefon berkali-kali.
Setiap kali mak tengok berita di TV dan kalau ada berita tentang jenayah, kemalangan atau lain-lain… mak akan call supaya jaga diri, berhati-hati dan jangan keluar rumah seorang,” ujar Linda yang patuh dengan pesanan itu sambil mengakhiri perbualan.
Kredit foto: Linda Nanuwil