Masih ingat lagu popular, Awallah Dondang dan Dikir Puteri, nyanyian Noraniza Idris? Bagi generasi 90-an, dua lagu ini pasti berputar-putar di ingatan sambil teringatkan nostalgia zaman muda dulu. Antara kenangan terbaik, tentu sekali tradisi raya yang sudah dilupakan seperti memberi atau menerima kad raya.
Dalam hantaran terbaru Noraniza Idris atau nama sebenarnya Nor Aniza Haji Idris, wanita jelita berusia 54 tahun ini dilihat menandatangani kad raya untuk disampaikan pada peminat.
“Setahun sekali sain kad raya…” Noraniza Idris
Zaman sekolah dulu, bagi kad raya ni memang satu kewajipan, siap susun cantik-cantik dan gantung di dinding lagi! Kad raya komik dengan usikan bagaikan pengganti diri, belum lagi pantun raya yang kelakar-kelakar. Rindunya zaman tu.
Jadi bila terbaca kapsyen Noraniza Idris ni, terus teringatkan zaman ‘kegemilangan’ kad raya yang mungkin tidak pernah diketahui oleh generasi moden. Betul tak?
Sebenarnya penghibur Irama Malaysia ni mula mencipta fenomena tersendiri pada zaman 90-an. Suaranya yang lunak dengan lenggang-lenggok tarian tradisional membuatkan Noraniza Idris sering diangkat sebagai ikon serta meraih pelbagai anugerah berprestij.
Dalam perkembangan terbaru, wanita berusia 54 tahun ini baru saja meraikan 100 anak-anak asnaf dan usahawan IKS di majlis iftar ihya’ Ramadan 2022 di Putrajaya.
Di sebalik kesibukannya sebagai artis, beliau masih sempat memikirkan aktiviti tanggungjawab sosial bersama masyarakat.
“Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini untuk meraikan Ramadan bersama golongan kurang bernasib baik.” Noraniza Idris
Seramai 100 orang anak-anak asnaf dari SK Puchong Utama telah menerima sumbangan yang Sabtu, 23 April 2022 di Dataran Putrajaya. Acara selama 2 jam ini turut dihidangkan dengan persembahan nyanyian lagu Hari Raya oleh artis seperti Noraniza Idris, Ihab Ismail, Azmir Arif, Zul Arif dan Khairul Hamdi.
Acara ini adalah anjuran Bersama Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd, PIBG SK. Puchong Utama dan juga Musolla AR- Raudhah. Setiap usahawan juga berpeluang memperkenalkan produk menerusi khidmat kongsi rezeki dengan hanya menghantar produk mereka yang akan dijual dan dipromosikan di sepanjang Ramadan ini.
JUAL MURUKU
Berkat dari usaha ini, Noraniza Idris juga telah mengambil peluang untuk memperkenalkan produk makanan tradisional pertamanya iaitu Che Ani Muruku Premium berasaskan Muruku yang telah mula dipasarkan bermula 1 April lalu.
“Sepanjang diperkenalkan secara kecil-kecilan, produk Muruku premium Che Ani telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Ramai penggemar muruku berminat menjadi wakil jualan atau ejen seiring dengan kempen 1 Ejen : 1 Daerah yang Kak Ani perkenalkan.”
Seiring dengan itu, Noraniza Idris turun padang mempromosikan produk jualan mereka di booth Che Ani sambil berbuka puasa secara santai sebagai sebuah keluarga. Peluang berhimpun dalam sebuah program amal ini telah lama dinanti-nantikan.