Kurang 10 hari lagi Syawal bakal tiba dan di dapur Istana Negara, bahang menyambut Aidilfitri semakin terasa apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah rancak menyiapkan pelbagai jenis biskut raya ketika ini. Kecur dibuatnya tengok aneka biskut raya air tangan Raja Permaisuri Agong!
Meninjau laman media sosial rasmi Baginda iaitu Air Tangan Tunku Azizah, setiap hari pasti ada perkongsian aktiviti memasak di dapur yang turut menunjukkan beberapa kakitangan Istana Negara sedang sibuk membantu Raja Permaisuri Agong menghasilkan biskut raya. Lebih meriah, sambil bergotong-royong membuat persiapan raya… kedengaran seleksi lagu raya klasik berkumandang di segenap ruang dapur. Memang seronok!
Sedikit sebanyak, dapatlah mengubat kerinduan staf-staf di Istana Negara tersebut merasai suasana lebaran meskipun perjalanan rentas negeri untuk pulang berhari raya di kampung halaman masih belum dibenarkan buat masa ini.
Selain dibantu kakitangan dan cef pastri Istana Negara, Raja Permaisuri Agong turut dibantu anakanda tersayang iaitu Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Ujar Baginda, “I’ve been in charge of baking Raya cookies and cakes since I was 12 years old. We have never bought or ordered Raya cookies, it has always been homemade using my mother’s recipe and I do give biscuits away to my favourite people by choice! And I do it every year because I love it and I bake with passion for those I love!”
Bakat dan minat KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong terhadap dunia masakan nyata bukan lagi rahsia. Tidak kira apa juga perayaan sekalipun, Baginda tetap rajin masuk dapur dan beberapa kali berkenan turun padang menyediakan masakan untuk rakyat.
Memulakan ‘Projek Biskut Raya’ tahun ini sejak 20 April lalu, Tunku Azizah sudah pun mempunyai senarai jenis biskut yang hendak dibuat setiap hari. Setakat ini, Baginda sudah menghasilkan 12 biskut raya antaranya termasuk Cornflakes, Milo, Biskut Kelapa, Oats Biscuit, Auzacs, Vanillin, Semperit dan Stardrop.
Istimewanya, pada 26 April lalu Raja Permaisuri Agong tidak melepaskan peluang membuat kek buat puteri kesayangan, Tengku Puteri Jihan sempena ulang tahun kelahiran. Sungguh besar kasih sayang seorang ibu!
Menerusi salah satu posting Air Tangan Tunku Azizah, Baginda turut memuat naik gambar bersama kakitangan yang terlibat dalam penghasilan biskut raya tahun ini berserta kapsyen menarik, “Bersama pastry chefs Istana Negara Projek Biskut Raya. Baju Kurung Telok Belanga pakaian rasmi saya.”
Ternyata, Raja Permaisuri Agong berjiwa klasik dan sangat mementingkan warisan tradisi. Tidak hanya terserlah melalui resipi masakan dan kuih raya, Baginda juga sangat menghargai busana tradisional masyarakat Melayu seperti Baju Kurung Telok Belanga.
Kredit: Instagram Air Tangan Tunku Azizah