Masalah gusi merupakan masalah oral yang lazim di Malaysia. Ia dikenali sebagai the silent tooth killer. Puncanya diketahui dan boleh dicegah dengan mudah.
Masalah gusi adalah perkara yang perlu diberi perhatian serius. Bagi mengatasi masalah gusi, kita perlu berjumpa dengan doktor gigi agar dapat mengenal pasti punca yang menyebabkan gusi berdarah.
Dalam mulut kita terdapat berbilion bakteria yang jika tidak dikawal, boleh menyebabkan keradangan gusi iaitu gusi menjadi warna merah, bengkak dan mudah berdarah.
Penyakit gusi yang berlarutan ini pula akan menyebabkan pinggir gusi mudah terhakis dan seterusnya boleh mengakibatkan kemusnahan tulang sekeliling leher dan akar gigi. Sebab itu akan mula perasan ada gigi yang sudah mula bergoyang.
Pada peringkat gusi begini, perlu segera rawat gusi supaya gigi dapat diselamatkan daripada terpaksa dicabut kerana sudah terlalu bergoyang dan tidak boleh digunakan untuk mengunyah.
Plak (selaput likat) pada permukaan gigi perlu dibersihkan dengan berkesan dengan mempelajari dan mempraktikkan cara yang betul:
- Gunakan berus gigi yang lembut, mempunyai kepala pendek dan lakukan gerakan berus ke atas ke bawah atau gerakan bulatan kecil.
- Pastikan kesemua permukaan gigi diberus.
- Guna ubat gigi yang sesuai untuk masalah gusi berdarah.
- Berus gigi perlu ditukar setiap 3 hingga 6 bulan.
- Seterusnya pelajari cara yang betul untuk flos, bersihkan lidah dan berkumur dengan betul.
Formula asas penjagaan gigi dan gusi secara amnya sudah diketahui ramai. Apa yang berkurangan adalah tata cara melakukannya secara berkesan.
Adalah dinasihatkan:
- Berus gigi dua kali sehari selama 2 minit menggunakan berus gigi manual atau jenis berus gigi elektrik. Guna ubat gigi fluorida untuk menguatkan struktur gigi.
- Jangan abaikan flos gigi anda. Cara yang betul flos gigi dapat mengeluarkan sisa makanan di celah gigi supaya masalah radang gusi dan karies gigi dapat dielakkan.
- Jika permukaan lidah kelihatan berselaput keputihan, sebaiknya gunakan alat pencuci lidah (tongue scraper) untuk menanggalkan lapisan kotoran tersebut dengan lebih berkesan.
- Langkah terakhir dalam penjagaan gigi adalah berkumur dengan ubat kumur yang boleh juga memberi bau nafas yang segar.
- Jika anda kurang pasti bagaimana melakukan langkah penjagaan gigi dan gusi jangan malu untuk minta penerangan dari doktor pergigian anda yang sedia membantu.
Harapnya gigi kita dapat dikekalkan sepanjang hayat. Hamizatul Maizan Mohamed