“Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.”
Tersentuh membaca luahan hati seorang ibu, merindui seorang anak yang sudah tiada. Di sebalik senyuman dan raut wajah tenang penyanyi era 80an yang tersohor dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu, Azian Mazwan Sapuwan tersimpan perasaan rindu yang tak tertanggung terhadap arwah anaknya, Mohammad Aqil Zulkarnain. Arwah maut kemalangan jalan raya sekitar Disember tahun lalu. Semestinya, rasa kehilangan itu adalah yang paling ‘sakit’ kerana kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya.
Ads
Arwah Mohammad Aqil anak keempat daripada tujuh beradik. Biarpun Allah SWT meminjamkan Mohammad Aqil selama 20 tahun sahaja namun setiap kenangan bersama arwah tersemat kemas di sanubari Azian lebih-lebih lagi detik mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Azian sekeluarga redha dengan takdir Ilahi dan yakin dengan hikmahnya. Kini genap 5 bulan pemergian arwah.
Jelas terlihat kuatnya semangat seorang ibu menghadapi kehidupan selepas ketiadaan arwah. Setiap anak memiliki sikap serta keistimewaan yang berbeza. Salah satu sikap arwah ialah ringan tulang dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Itulah yang dirindui oleh Azian.
Arwah Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 22 November 2019. Ekoran kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati serta limpanya.
Namun, setelah hampir sebulan dirawat serta berada dalam keadaan koma akhirnya Mohammad Aqil menemui ajal kira-kira pukul 11.30 pagi. Arwah turut meninggalkan seorang balu dan anak. Ketika meninggal dunia, arwah baru sahaja bergelar seorang bapa dan anaknya, Aryan Zahfran ketika itu baru berusia 11 hari.
Azian turut berkongsi di laman Instagramnya “Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah..kuatkan aku..” Ternyata, ibu yang berusia 45 tahun ini sangat tabah.
KONGSI DETIK TERAKHIR
“Pada siang hari kejadian, arwah ada datang makan tengah hari bersama kami sekeluarga. Arwah ada tegur saya, lama tak makan ayam memandangkan isterinya ketika itu masih dalam pantang. Saya kata petang nanti saya masakkan untuknya nasi ayam. Petang tu memang keraplah arwah datang. Dua minggu sebelum meninggal, arwah kerap bawa adiknya berjalan-jalan naik motor.
Saya selalu pesan kepadanya bawa motor baik-baik walaupun arwah memang bawa motor tak laju. Kadangkala saya ada juga terdetik rasa tak sedap hati bila berkata begitu. Takut terjatuh dan sebagainya. Malam sebelum kejadian, anak bongsu tiba-tiba demam dan menggigil. Dalam pukul 2 pagi saya mendapat panggilan daripada rakan arwah menyatakan dia kemalangan di Kajang dan terjatuh dari motor.
Anak ketiga (abang arwah) bergegas ke tempat kejadian dan menemainya menaiki ambulan. Ketika itu arwah masih sedar namun dalam keadaan kesakitan. Saya tak dapat pergi kerana kebetulan anak bongsu demam mengejut. Suami ke hospital untuk melihat keadaannya. Memandangkan arwah masih sedar ketika itu dia sempat bercerita bagaimana kemalangan boleh berlaku.
Menurut cerita, arwah keluar sebentar untuk berjumpa rakan memandangkan sudah lama dia tak keluar bertemu mereka sejak menjaga isterinya berpantang. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba ada dua kereta dipandu laju sehingga arwah hilang kawalan. Arwah terpaksa brek mengejut lalu terjatuh.
Mulanya saya kurang percaya sebab setahu saya, sejak isterinya sarat mengandung arwah kerap memandu kereta dan sudah lama tak menunggang motor terutama luar dari Putrajaya. Apabila anak sulung berkongsi gambar kejadian barulah saya percaya. Keesokannya baru saya berpeluang ke hospital. Dari luaran kecederaannya sedikit sahaja. Cuma kecederaan dalamannya sahaja agak serius. Selepas dibedah arwah ‘ditidurkan’.
Ads
Arwah dipindahkan ke Hospital Selayang untuk tindakan susulan doktor pakar hati. Setiap hari saya akan ke sana walaupun arwah masih dalam ICU. Empat hari sebelum arwah pergi dia ada membuka mata. Fizikalnya juga semakin susut. Walaupun sedar tetapi arwah tidak mampu bercakap kerana masih lagi sakit dan terdapat banyak wayar di dalam mulut.
Hanya matanya sahaja mampu merenung ke arah saya. Dan setiap hari saya akan menyebut ‘Aqil, ini Mama..’ Terdetik juga, adakah dia buka mata hanya untuk seketika atau sebaliknya. Namun saya tetap positif dan yakin dia boleh sembuh. Anak sulung sentiasa berpesan agar kami terus berdoa kepada arwah. Setiap hari kami juga tidak lupa untuk mengaji di sisinya mohon kesembuhan.
SYAWAL
“Setiap kali raya arwah mesti nak saya sediakan baju Melayu. Saya pernah mengusiknya, dah kahwin belilah sendiri. Dia kata baju Melayu nak Mama yang sediakan. Sebelum pemergiannya kami hanya berkesempatan bercakap tentang baju raya sahaja. Itulah permintaan terakhir arwah yang paling saya terkesan kerana tidak dapat sediakan tahun ini. Menurut isterinya juga arwah sudah belikan siap-siap baju dan barangan bayi yang bersaiz besar. Mungkin dia pun dah tahu yang dia akan ‘pergi’ buat selamanya.
Sejak berkahwin arwah juga menjadi seorang yang lebih mengambil berat dan bertanggungjawab. Tahun ini pertama kali kami menyambut Syawal tanpa arwah. Selalunya arwahlah yang banyak cakap dan suka buat ‘bising’ di rumah. Jadi, ketiadaannya tahun ini memang cukup terasa. Kebetulan juga ibu saya tak sihat sejak tahun lalu. Memang dugaan buat saya.
Ads
Kalau diikutkan pemergian arwah masih lagi baru. Selepas pemergian arwah, apa yang saya lakukan ialah motivasikan diri dengan bercakap kepada diri sendiri agar sentiasa positif dan menjadi lebih kuat. Sebagai seorang Islam juga saya tidak pernah putus berdoa dalam solat lima waktu. Saya juga sentiasa memastikan mendekatkan diri kepadaNya. Itulah penawar paling mujarab buat saya, jiwa akan lebih tenang.
Bohonglah kalau saya kata tidak merasa sedih dan menangis terutama ketika merasa rindu. Ada juga situasi yang mengingatkan saya terhadap arwah. Contohnya, ketika memasak atau buat sesuatu perkara saya akan terasa ada sesuatu yang kurang. Selalunya saya akan hantar pesanan Whatsapp kepada arwah untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Selepas berkahwin arwah tinggal bersama keluarga mertuanya. Anak-anak yang lain masih tinggal bersama kami kerana masih belajar. Sejak arwah tiada saya rasa sesuatu yang kosong terutama pada setiap hujung minggu di mana arwah akan datang ke rumah menjenguk kami sekeluarga. Untuk tidak terlalu memikirkan rasa sedih saya akan sibukkan diri di tempat kerja dan keluar bersama rakan-rakan.
Setiap petang saya sering ke kubur arwah. Saya memang mahu arwah dikebumikan di Putrajaya kerana saya mahu dekat dengannya dan hendak berjumpa dengannya setiap hari. Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.
HIKMAH
Sejak pemergian arwah sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang datang. Banyak pengajaran yang kami dapat selain banyakkan bersedekah untuk arwah dan orang lain. Sumber kekuatan saya semestinya suami walaupun selepas kejadian dialah insan yang paling lemah walaupun luarannya nampak tenang.
Kami banyak berkongsi rasa kerana saya sendiri memerlukan sokongan yang kuat ketika meluahkan apa yang dirasa. Saya juga semakin rapat dengan anak perempuan kedua kerana saya sering berkongsi perasaan dengannya dan dia cukup faham dan matang dengan apa yang berlaku. Harapan saya agar kami sekeluarga tabah menghadapi kehidupan dan semakin akrab bersama,” akhiri Azian sebak. Al Fatihah (mohon dibacakan buat Allahyarham Mohammad Aqil Zulkarnain).
Kredit Foto: Instagram @azianmazwann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ibarat air tenang menghanyutkan, begitulah kredibiliti sosok lelaki bernama Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Semenjak negara dilanda wabak COVID-19, wajah Ketua Pengarah Kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini tiba-tiba popular, malah boleh disifatkan sebagai frontliner kerajaan yang terpenting pada waktu ini.
Kebolehan menggunakan media sosial dengan baik serta berinteraksi secara spontan menjadi antara kelebihan Datuk Dr Noor Hisham pada zaman Internet ini.
Memahami desakan rakyat Malaysia yang sentiasa dahagakan maklumat, beliau dan pasukan kendaliannya kerap mengemas kini data semasa berkaitan jangkitan COVID-19 di Facebook, Instagram dan Twitter selain di saluran televisyen.
A total of 130 new cases were reported today, pushing the total number of patients so far to 2,161. To date 54 patients…
Dengan riak wajah yang tenang, beliau mengatur ucapan dengan yakin dan profesional. Beliau meyakinkan kita semua bahawa negara sedang mencuba yang terbaik, dan sebagai ketua, beliau memperlihatkan ketegasan pemimpin yang sebenar.
Bayangkan ketika diasak bertubi-tubi soalan, Datuk Dr Noor Hisham bijak dan lancar menjawab setiap satunya sekalipun tanpa teks rasmi di tangan.
Berusia 57 tahun, lelaki yang lahir pada tarikh 21 April 1963 itu merupakan anak jati Sepang, Selangor. Beliau memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan kerajaan pada Ogos 1988 selepas menggenggam ijazah kedoktoran Masters in Surgery dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kini Datuk Dr. Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah. Beliau juga berperanan sebagai Ketua dan Konsultan Kanan Pakar Bedah Payudara dan Endokrin di hospital yang sama. Berbekalkan pengalaman dan latihan lanjutan berkaitan pembedahan endokrin di Australia, kepakaran perubatannya jelas bukan calang-calang.
Lelaki bijak ini pernah menerbitkan beberapa artikel dalam jurnal tempatan dan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin. Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Syabas hero kami! Semoga segala jasa dan pengorbanan Datuk Dr Noor Hisham di barisan depan sepanjang menangani wabak COVID-19 mendapat balasan setimpal dari kerajaan. Kami seluruh rakyat Malaysia turut mendoakan agar bencana ini segera berakhir dan situasi negara kembali pulih, aman dan makmur seperti sediakala… Aaminn.
Sumber: Facebook Datuk Dr Noor Hisham (@DGHisham) & NSTP
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila Mrs Malaysia World 2017 kongsi tip cantik, memang patut tiru ni! Iyalah, pertama kali bertemu dengan Datin Harveen Kaur.. terpesona tengok penampilannya. Puas dirisik, rupa-rupanya dia amalkan jus ubi bit yang dihasilkan sendiri di rumah. Jelas Datin Harveen, amalkan tiga kali seminggu dan hasilnya pasti tak mengecewakan.
Sejujurnya, saat bertentang mata dengan Datin Harveen rasa macam bertemu selebriti Bollywood. Tidak hairanlah dia mampu memenangi pertandingan Ratu Cantik Mrs Malaysia World tahun lalu. Bersandarkan tubuh tinggi lampai dan langsing, kulit wajah gebu dan mulus serta kepetahannya berbicara.. sesiapa pun pasti tertawan dengan aura yang dimiliki. Tatkala berkongsi bagaimana dia mengekalkan tubuh badan yang sihat dan kecantikan wajah, Datin Harveen yang merupakan ibu kepada tiga orang anak tidak lokek berkongsi petua.
“Selain ambil tablet vitamin C 1000mg setiap hari, saya juga amalkan 3 liter air putih sehari. Jus ubi bit merah ini saya buat dengan campuran epal hijau, epal merah dan tanpa air.. minum seminggu tiga kali. Tak lupa juga lakukan senaman dua kali seminggu. Sebenarnya jus ubi bit mempunyai banyak kebaikan. Antaranya ia dapat mengurangkan kadar kolestrol, menaikkan seri muka dan dalam masa sama mampu menaikkan kadar hemoglobin dalam darah. Ini adalah inisiatif saya sendiri untuk menjaga kesihatan memandangkan usia yang semakin meningkat.
Semuanya bermula sejak 4 tahun lepas bila saya kerap sakit dan kandungan darah pun selalu kurang. Waktu itu, saya mengamalkan pengambilan asid folik untuk atasi masalah kesihatan. Tapi kesan sampingannya, saya susah hendak buang air besar. Dari situ, ada seorang kenalan yang sarankan untuk amalkan jus ubi bit. Selama enam bulan minum jus ini, memang saya rasa perubahan yang lebih baik.
Mudah je cara nak buat. Caranya, ambil sebiji ubi bit campurkan bersama tiga biji epal hijau dan sebiji epal merah untuk rasa manis. Tak perlu masukkan gula dan air. Kisar semua bahan ini dan minum begitu saja. Memang boleh kurus sebab lepas minum rasa kenyang. Best time to drink pukul 5 petang dan jangan minum ketika perut kosong. 3 jam lepas makan tengahari, boleh minum dan tak perlu makan malam dah sebab ia mengenyangkan. Lagi satu, elakkan minum waktu pagi sebab campuran jus ini agak kuat dan bimbang menjejaskan permulaan hari.”
Kongsinya lagi, “Untuk pastikan ubi bit yang dibeli dalam keadaan baik dan disimpan dalam peti sejuk, balut ketat setiap ubi bit ini dengan surat khabar kering. Pastikan betul-betul ketat sampai tak ada udara masuk. Kalau ikut tip ni, ia boleh tahan sehingga sebulan.”
Meniti usia 39 tahun, Datin Harveen juga merupakan seorang jururawat di Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur. Walaupun mempunyai kerjaya sendiri dan suaminya bertugas sebagai pakar bius, namun wanita cantik ini tetap mahu bekerja dan berdikari atas kaki sendiri. Sikap yang memang patut dicontohi ramai wanita dan isteri!
“Saya percaya setiap wanita tidak kira isteri atau ibu patut keluar bekerja. Tak boleh bergantung kepada suami seratus-peratus. Kalau apa-apa jadi, macam mana? Sekurang-kurangnya kita ada persediaan dari segi kewangan. Daripada berada di rumah 24 jam, ada baiknya luangkan masa 4 ke 6 jam di luar rumah dan bergaul dengan masyarakat. Pada pandangan saya, golongan isteri perlu bekerja untuk bantu ekonomi keluarga. Tak boleh harapkan suami saja sebab ekonomi sekarang pun makin tinggi.”
Terang Datin Harveen yang sudah 18 tahun mendirikan rumah tangga dan mempunyai sepasang anak kembar lelaki berusia 15 tahun dan anak perempuan berumur 12 tahun, dia baru saja selesai menjayakan Mrs Malaysia World 2018 pada 29 September lalu. Sebagai Pengarah pertandingan ratu cantik tersebut, Datin Harveen mengambil cuti selama 6 bulan untuk membantu para peserta di samping terlibat dengan aktiviti kebajikan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menyifatkan jodoh kali kedua ini ibarat perkahwinan pertama, kegembiraan selebriti Mas Idayu dalam membuat persiapan majlisnya dengan Penerbit Eksekutif, Muhammad Sufian Che Isa pada 16 September nanti, menarik perhatian. Dengan nilai tajaan mencecah RM7 juta, Nona bersama perancang perkahwinan ‘Wedding of the Year’ mereka iaitu Anas Abdullah.
Selama lebih 12 tahun berkecimpung dalam industri fesyen tempatan, busana pereka Anas Abdullah Kuala Lumpur sering tersarung di tubuh selebriti terkenal antaranya Dato’ Sri Siti Nurhaliza ke majlis-majlis berprestij.
Beliau juga menempa nama sebagai perancang perkahwinan Mas Idayu dan Sufian dimana kali ini, tema dongeng dan fantasi jadi pilihan.
“Sejujurnya, saya tidak menyangka perkahwinan kali kedua dikurniakan rezeki tajaan dianggarkan mencecah RM7 juta berbentuk barang kemas, tajaan lokasi dan busana perkahwinan.
Dulu saya tak pernah merasa majlis persandingan. Tapi sekarang saya dapat rasa sesuatu yang tak pernah dirasai sejak 15 tahun lalu, ibarat (debarannya) berkahwin buat kali pertama.” Mas Idayu
Nona: Apakah kelainan yang bakal ditampilkan? Anas Abdullah: Kalau diperhatikan trend terkini, banyak bakal mempelai yang mahukan majlis ringkas atau sekadar bernikah saja.
Tapi bila dapat peluang merancang perkahwinan ‘Mummy’ Mas Idayu, saya teringin nak ‘membalas dendam’ dengan menghasilkan fesyen yang lain dari yang lain. Walaupun Mummy bertudung namun dia masih ingin kelihatan fashionable pada hari bahagianya.
Nona: Beza uruskan majlis perkahwinan anak dara dengan pasangan yang sudah pernah berkahwin? Anas Abdullah: Selama dalam industri fesyen dan perkahwinan ni, sebenarnya perbezaan yang ketara hanyalah dari aspek bajet. Jumlah peruntukan pasangan yang baru berkahwin dengan yang pernah berkahwin selalunya ada sedikit jurangnya. Tapi bukan semua anak dara ‘kurang bajet’.
Macam Mummy ni, semua sedia maklum dia banyak rahsiakan tentang perkahwinan pertama dulu. Tapi sekarang, Mummy nak uar-uarkan pada semua, pihak wartawan dan peminat. Jadi saya pegang tanggungjawab ni untuk merealisasikan impiannya – Mummy teringin konsep fairytale dan Inggeris. Inilah pegangan saya dalam mereka busana bakal mempelai nanti.
PENGASAS PRODUK
Menariknya, pengalaman luas Anas Abdullah sebagai pereka fesyen membuat Mas Idayu selesa berkerjasama dengannya. Tak hairanlah lelaki ini turut dilantik sebagai pengurus beliau.
“Mummy ni seorang yang punctual dan profesional. Kalau appointment kita pukul 3, kena datang tepat pukul 3 atau 5-10 minit lebih awal. Saya rasa pucuk pangkalnya susun atur kerja agar memudahkan semua pihak.
Dan selepas menjadi fashion designer, sekarang manager Mummy dan alhamdulillah atas dasar kepercayaaan telah menjadi business partner juga untuk produk baharu Mummy, Twenty Skincare.
Saya dilantik sebagai CEO dalam Twenty Skincare sementara Mummy sebagai pengasasnya.” Anas Abdullah
Terdahulu, Mas Idayu juga penyanyi lagu Cintaku 100% pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor, Aman Graseka pada 1997, namun, bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Dayini Ashiqah, 25 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...