Hari itu, saya lihat Azimah cukup cantik dalam lingkungan usianya yang menginjak 50-an. Berbaju kurung putih polos dan manis bertudung, sepertinya anak dara kembali. Azimah seorang ibu tunggal, suami telah lama pergi akibat kemalangan jalan raya sembilan tahun yang lalu.
Mendekati Azimah sepertinya seorang kakak yang cukup baik hati, peramah dan tinggi nilai kasih sayang. Nah! jika saya ini orang luar dicurahkan kasih sayang sejujurnya, inikan pula limpah cintanya buat kedua-dua anaknya, Remy dan Rina.
Majlis akad nikah yang cukup ringkas telah berlangsung di pejabat kadi. Adik-beradik dan sahabat terdekat sahaja menjadi tetamu jemputan. Azimah menemui cinta hatinya kali kedua bersama pasangannya, Abdul Rahman.
Biarpun Abdul Rahman telah berkahwin, namun isteri pertama telah merestui perkahwinan kedua ini dan sanggup bermadu. Biarpun pada awalnya, Azimah berkeras menolak perhubungan ini tetapi akhirnya beliau pasrah dengan ketentuan jodoh Tuhan.
Dengan sekali lafaz, Azimah kini menjadi isteri Abdul Rahman. Pada saat itu saya melihat air mata Azimah menitis tanpa berhenti. Pada anggapan saya mungkin ia air mata bahagia tetapi bila Azimah memeluk saya, suara sendu dan teresak-esak memberi tahu, “Akak menangis bukan kerana gembira dengan perkahwinan ini.
Tapi hati ini benar-benar terguris dengan sikap anak-anak yang tidak hadir bersama pada saat akak amat memerlukan mereka. Sembilan bulan akak kandung dan membesar mereka dengan sempurna. Tetapi hari ini, anak-anak sepertinya tidak merestui perkahwinan ini,” ujar Azimah.
Oh Tuhan! Tidak boleh bayangkan perasaan sayu dan sedihnya saya ketika itu. Perasaan ibu sepertinya hancur berkecai. Patutlah dari awal tadi saya tidak melihat batang hidung kedua-dua anaknya. Tetapi saya enggan bersuara kerana ingin meraikan hari bahagia Azimah. Rupanya, anak-anak masih berkeras hati, enggan mahu menerima keputusan ibu mereka untuk berkahwin lagi.
Setitik air mata ibu menitik, 10 kebajikan anak hilang. Biarlah ibu menangis kerana kejayaan anak-anak dan bukan menangis kerana angkara anak-anak. Sebenarnya, seorang ibu tidak perlu untuk meminta restu pun daripada anak-anak untuk menikah sekali lagi. Namun sebagai tanda menghormati hak anak, maka ibu perlu memberitahu keinginannya untuk mempunyai teman hidup. Sebagai anak, mungkin boleh dibawa berbincang baik-baik. Bertanyakan, benar itu pilihan ibu?
Dan anak juga boleh bertindak untuk menyelidik latar belakang bakal suami ibu, bukan maksudnya untuk memburuk sangka. Sekadar memastikan yang terbaik buat ibu. Andai kata segala-galanya sempurna, alhamdulillahlah.
Restuilah perkahwinan ibu untuk melengkapkan teman hidupnya sehingga ke akhir hayat di dunia. Usia ibu yang semakin meningkat dengan rasa emosi semakin sensitif, perasaan mereka terlalu halus untuk difahami.
Saya percaya setiap ibu tunggal yang ingin membina kebahagiaan untuk kali kedua, lebih matang memikir berulang kali mengenai kehidupan yang baru yang ingin dipilihnya. Tentu sekali bukan kerana nafsu tetapi ingin mencari teman pada kala kesunyian. Anak-anak janganlah terlalu pentingkan diri, nanti apabila anda sendiri sudah berumah tangga dan akan sampai satu masa ibu akan ditinggalkan kesunyian.
Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya berbeza dibandingkan rasa kasihnya kepada insan lain. Usah cemburu situasi itu kerana kasih seorang ibu terhadap anaknya amat mendalam, tiada setitik kurang, insya Allah sentiasa segar seperti saat mereka menyambut kehadiran zuriat comel yang dikandungnya selama sembilan bulan. Janganlah kita menjadi anak derhaka kerana jasa ibu tiada tandingannya, dunia akhirat.
NOTA kecil ku buat arwah IBU:
Ibu! I wish that you are here to share with you all the blessings I have. I know you are in a better place with Him and that I should not worry because you are now all right. I just pray that I could have been given more time with you. I made a lot of promises to you, and I know that at times I failed you which made you sad. I apologize for everything that I did and did not do. I always pray that you rest in peace. Amin
This website uses cookies.