Selepas dua tahun mengenali hati budi masing-masing, bekas peserta Drama Festival Kuala Lumpur 2014, Abdul Halim Radzi Sapari selamat bergelar suami kepada pelakon Sharifah Husna Syed Faizal dalam sebuah majlis pernikahan yang dihadiri oleh keluarga dan rakan kedua belah pihak.
Pada majlis tersebut yang diadakan di kediaman pengantin perempuan di Kajan , Halim atau nama sebenarnya Abdul Halim Radzi Sapari, 26, dinikahkan sendiri oleh bapa Husna, Syed Faizal Syed Mohd. dengan sekali lafaz.
Berkongsi perasaan selepas bergelar suami Husna, Halim berkata, awalnya dia sangat gementar selepas mendapat tahu acara akad nikah akan dikendalikan oleh bakal bapa mentua.
“Tak dinafikan, semakin dekat hari pernikahan, perasaan saya semakin gementar. Rasa gemuruh makin apabila Husna memaklumkan acara akad nikah akan dilakukan oleh bapanya.
“Husna adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, jadi sudah tentu bukan mudah untuk keluarga melepaskan anak perempuannya itu. Saya sangat memahami situasi ini.
Sharifah Husna, gadis kacukan Melayu, Pakistan, Afghanistan, Arab, British, Portugis, Belanda dan Indonesia ini anggun mengenakan persalinan serba putih rekaan @hydeedesign.offical manakala wajahnya mendapat sentuhan dari @fiqahhafizi.
Manakala, wang hantaran pula digantikan dengan sebentuk cincin dan barangan kemas.
Merancang majlis pernikahan sejak Januari lalu,pasangan ini bersyukur segalanya berjalan lancar dan mereka selamat disatukan sebagai suami isteri.
“Alhamdulillah, kami selamat bergelar suami isteri, semalam.
“Tidak tergambar perasaan gemuruh apabila dinikahkan sendiri oleh bapa mentua. Memang sangat gementar sehingga saya sebak dan mengalirkan air mata.
“Bukan tidak mahu berkongsi, tetapi kami memilih untuk lebih privasi selain risau ada perkara yang akan menganggu perjalanan majlis dan sebagainya,” katanya.
Menyingkap perkenalan pasangan ini, perkenalan di lokasi penggambaran menjadi titik tolak hubungan mereka sehingga mengikat tali pertunangan seterusnya mendirikan rumah tangga.
“Kami berkawan selepas berlakon bersama. Ketika itu, dia jadi heroin manakala saya bawa watak pembantu. Masa itulah kami mula berkawan.
“Kemudian kami digandingkan memegang teraju utama drama Dia Bidadari Dari Syurga. Dari situ, perkenalan kami jadi lebih dekat. Alhamdulillah, kami kini sudah selamat bergelar suami isteri,” katanya.
Sharifah Husna merupakan graduan dalam bidang perubatan di Perdana University-Royal College of Surgeons Ireland di Serdang, Selangor ini sepakat memilih Turki sebagai destinasi bulan madu tetapi terikat dengan jadual penggambaran dan akan mencari masa yang sesuai untuk menikmati saat bulan madu kelak.
Kongsinya lagi, majlis resepsi di sebelah pihak pengantin perempuan akan berlangsung pada 30 Oktober depan di Putrajaya.
This website uses cookies.