Kesedihan hari ini hanya akan menjadi cerita masa depan. Selama kau tidak berhenti, terus berjalan, berusaha dan melalui semuanya…
Hampir dua tahun berlalu sejak kali terakhir Nona bertemu wanita jelita ini. Pertemuan merangkap sesi fotografi dan temu bual itu membibitkan persahabatan, sekaligus memberikan kami kesempatan yang luas untuk saling berbahagi pengalaman.
Ads
Cerita Murni Hafiza Mohd Zamri, 32, kanser payudara mengajarnya banyak perkara. Nasib kurang baik, dia menghidap kanser pada usia muda dan ketika kehidupan rumah tangga mereka baru bermula.
“Penyakit kanser yang saya hidapi mula dikesan pada tahun 2011. Setepatnya beberapa bulan selepas saya melahirkan anak, Athirah Najwa. Pada masa itu saya hanya bergelar suri rumah sambil berniaga kecil-kecilan secara online.
Awalnya, saya langsung tak sangka ketulan kecil di payudara kanan menandakan sesuatu yang berbahaya. Selepas dibiarkan, lama-kelamaan payudara kian membengkak dan menyakitkan.
Kami terus ke klinik dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Seremban untuk pemeriksaan lanjut sekitar awal tahun 2012. Dengan perasaan berdebar-debar, saya kuatkan hati untuk mengikut segala proses yang ditetapkan.”
Berita yang singgah ke telinga Murni sememangnya sesuatu yang telah dijangka. Benar, dia disahkan menghidap kanser payudara dan pembedahan perlu dilakukan segera.
“Dalam keluarga saya memang ada sejarah ahli keluarga yang meninggal dunia akibat kanser. Mulanya saya tak sangka akan mendapatnya tapi setelah berfikir panjang, saya yakin bahawa kanser itu boleh diwarisi,” ujarnya dengan tenang.
Sebaik peristiwa itu, Murni sekeluarga berikhtiar untuk berubat cara kampung dahulu. Antara yang dicuba ialah kaedah rawatan Islam dan mengambil ubat-ubatan berasaskan herba tradisional.
Pendek kata, semua yang dikhabarkan baik untuk sembuh, telah dicuba. Mereka sedaya upaya berusaha untuk merawat kanser Murni tanpa melibatkan pembedahan.
“Macam-macam usaha kami buat tapi semakin hari semakin merebak kanser di dalam tubuh saya. Seluruh payudara makin sakit membengkak sampai mengeluarkan darah. Pada suatu tahap, saya betul-betul tertekan.
Akhirnya saya tekad menyerahkan diri kepada pakar perubatan. Daripada Hospital Seremban, saya dikejarkan terus ke Hospital Putrajaya kerana kemudahan di sana yang jauh lebih lengkap.
Pembedahan membuang sebelah payudara atau mastektomi pun segera dijalankan. Doktor turut mengambil kulit di bahagian belakang tubuh saya untuk ‘menampal’ bahagian payudara yang dibuang. Parutnya hampir sebesar tapak tangan.”
Ikhtiar Untuk Sembuh
Riak wajah tenang yang terpamer di wajah Murni bukan bererti hatinya tidak bergelora. Mungkin, hanya suami tercinta, Shahizul Hafiz Ismail sahaja yang mengerti segala-galanya.
“Jujurnya saya sentiasa dalam situasi saspens, panik dan terkejut apabila memikirkan tentang Murni.
Hati saya gundah gulana, tapi apabila memandang wajahnya, saya jadi tenang sebab dia sendiri pun reda dengan takdir yang menimpa. Kami serahkan semua kepada Yang Maha Esa,” jawab Hafiz.
Ads
Selain Hafiz, ibu Murni juga merupakan individu yang paling banyak menghulurkan bantuan. “Ibu saya banyak membantu menguruskan diri saya. Dialah yang bersusah payah menjaga saya siang dan malam, begitu juga adik-beradik lain yang kerap membelikan pelbagai suplemen untuk dicuba.
Hafiz pula banyak menumpukan masa untuk menjaga Athirah. Maklumlah, sewaktu saya sakit, dia masih sangat kecil dan memerlukan perhatian serta kasih sayang ibu bapa.
Timbul juga rasa sedih kerana tidak dapat menjaganya sebaik ibu-ibu sihat yang lain,” tutur Murni yang kini hanya bekerja secara sambilan sebagai Yakult Lady.
Tersentuh hati apabila Murni bercerita, Hafiz juga ada masanya akan membantu mengelap tubuh dan membuat urutan untuk melegakan kesakitan yang ditanggung. Sedikit sebanyak meringankan deritanya yang tidak lagi selincah dahulu.
Selepas pembedahan, Murni terpaksa melalui beberapa siri kemoterapi dan rawatan radioterapi. Dalam tempoh memeritkan ini, dia sukar untuk makan kerana asyik muntah sehingga berlarutan selama dua hari.
Terpaksa melalui enam pusingan kemoterapi (dua minggu sekali) dan 21 pusingan radioterapi pastinya satu kenangan pahit yang sukar dipadamkan daripada ingatan.
Ads
“Sakit waktu rawatan kemoterapi tu Tuhan sajalah yang tahu. Bukan saja muntah, tapi saya hilang selera makan, lidah rasa kosong, tekak payau dan rasa panas yang amat. Habis segala rambut dan bulu-bulu gugur masa jalani rawatan pertama,” kongsinya.
Pernah terjadi, kulit yang dibedah sukar bercantum sehingga menyukarkan pergerakan hariannya. Murni juga terpaksa menjaga pergerakannya sebaik mungkin kerana kesan pembedahan masih terasa sehingga ke hari ini.
“Sampai sekarang saya masih berjaga-jaga. Masih ada lagi rasa sejuk dan kebas di bahagian dada. Paling menyakitkan adalah sewaktu sesi radioterapi, masih teringat sakitnya bagai terbakar kulit. Panas sangat!” katanya terus-terang.
Enam tahun berlalu. Berkat kesabaran dan semangat yang kuat untuk sembuh, kini Murni disahkan bebas kanser. Ucapan syukur tak lepas-lepas dari bibirnya. Bagaikan orang mati hidup semula, begitulah perasaan Murni sekarang.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi kesembuhan kepada saya. Kanser mengajar saya banyak perkara dan salah satunya agar lebih menghargai suami, ibu bapa serta ahli keluarga dengan sebaik mungkin. Mereka sentiasa ada walaupun pada waktu paling teruk saya. Perhatian mereka terlalu berharga.
Saya juga tekad mahu berbakti pada masyarakat. Kini saya aktif menyertai Friends of Positive Imageyang dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang bagi menyeru kepada pesakit-pesakit kanser serta ahli keluarga mereka supaya sama-sama menyertai kelab ini.
KelabFriends of Positive Imageini juga mengadakan pelbagai aktiviti untuk pesakit kanser, contohnya dengan membantu keluarga pesakit dan mendapatkan kerja untuk menyara kehidupan mereka.
Saya sendiri berusaha melibatkan diri dalam setiap mesyuarat dan aktiviti yang dijalankan. Semoga pengalaman dan semangat ini sedikit sebanyak dapat membantu pesakit lain melalui tempoh-tempoh getir dalam hidup mereka,” azam Murni yang turut menyatakan penghargaannya kepada Yayasan Budi Penyayang kerana pernah memberi bantuan berupa coli payudara silikon atau coli mastektomi untuk kegunaan hariannya.
“Saya juga giat mengamalkan gaya hidup sihat secara sederhana. Pemakanan yang betul turut diutamakan kerana banyak penyakit kronik pada zaman sekarang bermula dengan gaya diet yang tidak betul. Yang penting makan makanan seimbang, elakkan makanan berlemak dan banyakkan pengambilan buah-buahan dan sayuran segar,” akhirinya. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai wanita sedar bahawa kanser payudara merupakan pembunuh nombor satu kaum wanita. Justeru, ramai yang telah melakukan langkah pencegahan seperti membuat pemeriksaan berkala dan pemeriksaan sendiri payudara (PSP).
Dalam langkah berjaga-jaga itu, sebagai manusia biasa siapa kita untuk menolak dugaan dijangkiti penyakit berbahaya ini. Siapa sangka, Wanita Nombor 1 Negara, Tun Dr Siti Hasmah juga pernah diduga dengan kanser payudara.
Isteri Perdana Menteri Malaysia Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamed ini telah berkongsi tentang pengalamannya berjuang melawan kanser payudara ketika berucap sempena Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL Pink October 2019 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Rupanya Tun Dr Siti Hasmah mula menyedari perubahan pada dirinya sekitar bulan Mac lalu. Kongsinya, “Apabila saya berasa tidak sedap, saya terus jumpa doktor. Dalam seminggu, doktor sahkan saya mempunyai ketumbuhan kecil namun alhamdulillah ia (ketumbuhan) kecil,” kongsi Tun Dr Siti Hasmah.
Tindakan yang dilakukan oleh Tun Dr Siti Hasmah ini bertepatan dengan saranan doktor agar tidak melengahkan masa untuk mendapatkan pandangan atau rawatan daripada mereka yang pakar jika terdapat sebarang perubahan pada diri.
Walau bagaimanapun Tun Dr Siti Hasmah telah merahsiakan tentang ‘perubahan dirinya’ daripada suami, Tun Dr Mahathir. Tetapi, akhirnya memberitahu Tun Dr Mahathir setelah mendapat keputusan biopsi.
“Apabila dia (Tun Dr Mahathir) tahu pada hari keputusan biopsi keluar, dia tak bebel, cuma dia risau sampaikan suruh saya dibedah pada esoknya,” kongsi Tun Dr Siti Hasmah tentang keputusan biopsi tersebut mengesahkan ketumbuhan di payudara kirinya itu adalah kanser.
“Saya masuk wad selama empat hari selepas itu saya dibedah untuk keluarkan ketumbuhan kecil berkenaan dan keesokan harinya saya boleh keluar daripada wad dan kini saya menjadi pejuang yang berjuang untuk melawan kanser,” kongsi Tun Dr Siti Hasmah.
“I’m a survivor,” kata wanita berusia 93 tahun itu.
Tun Dr Siti Hasmah turut menasihatkan setiap wanita agar sentiasa peka dengan perubahan diri serta melakukan saringan awal bagi mengenal pasti potensi kanser payudara. Setiap wanita tidak perlu malu atau takut untuk melakukan pemeriksaan kesihatan terutama pemeriksaan payudara.
Tahukah anda, kanser serviks merupakan kanser ketiga paling banyak dihidapi oleh wanita Malaysia? Namun pencegahan terhadapnya masih lemah serta dianggap lewa. Rasa malu dan takut merupakan antara dua stigma yang membuatkan ramai wanita enggan membuat pemeriksaan, meskipun hakikatnya ia boleh menyelamatkan nyawa.
Pasti ramai yang tidak menyangka akan menjadi mangsa kanser. Walhal, kanser serviks boleh menyerang seorang wanita seawal usianya sembilan tahun. Benar, ia bukan sahaja menyerang golongan berusia malah golongan muda pun turut berisiko menghidapinya.
Kebanyakan kes yang dilaporkan berpunca daripada virus human papilloma (HPV) yang menyerang serviks, atau pangkal rahim yang menyambungkan organ rahim dengan faraj serta membentuk saluran kelahiran buat wanita.
Kanser serviks lazimnya berisiko tinggi terhadap wanita yang mempunyai pertahanan imunisasi yang rendah seperti pesakit HIV, buah pinggang dan pengguna steroid, perokok, mereka yang sering bertukar-tukar pasangan, memulakan hubungan seks dari awal dan penggunaan kontraseptif yang lama.
Dengan peningkatan kes yang membimbangkan, adalah penting bagi setiap wanita untuk mengambil tindakan segera terhadap penyakit yang boleh dicegah ini. Kanser serviks tidak pernah memilih siapa yang bakal menjadi mangsanya kerana setiap wanita berisiko. Ada kala bukan disebabkan oleh genetik tetapi amalan gaya hidup yang terlalu sosial juga boleh menyumbang ke arah ini seperti memulakan aktiviti seks sebelum berusia 18 tahun.
Kanser serviks disebabkan oleh virus HPA yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imunisasi badan selalunya dapat menangkis serangan virus ini daripada menjangkiti wanita. Malangnya bagi segelintir orang, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh daripada kanser ini terjadi kepada mereka yang berusia 35 hingga 55 tahun.
WANITA BERISIKO
Mempunyai lebih daripada seorang pasangan
Aktif hubungan seks sebelum berusia 18 tahun
Mengalami jangkitan seperti sifilis, genorea, chlamydia atau HIV
Kurang daya imuniti
Merokok
TANDA-TANDA
Sakit pada bahagian pelvis dan di bawah pinggang
Sakit ketika membuang air kecil
Pendarahan atau kepedihan ketika hubungan seks
Pendarahan tidak normal antara kitaran haid
Pendarahan selepas menopaus
Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj
PEMERIKSAAN AWAL
Benarkah kebanyakan wanita Malaysia lebih rela menjimatkan wang daripada menggunakannya untuk pemeriksaan kesihatan? Menerusi sebuah tinjauan membongkar sikap umum wanita yang sentiasa mengutamakan perkara lain melebihi kesihatan mereka.
Setiap gadis muda sehingga wanita berumur 45 tahun mengambil vaksin HPV sebagai langkah pencegahan primer terbaik untuk kanser serviks. Vaksinasi HPV bertindak sebagai satu imunisasi dan membina antibodi melawan HPV. Pap Smear juga perlu dilakukan setahun sekali, sebaik saja anda mempunyai pasangan daripada usia 21 tahun ke atas sehingga 65 tahun. Gabungan Pap Smear dan vaksin HPV adalah pencegahan terbaik di samping menjaga kebersihan diri dengan sempurna.
Bagi wanita yang telah menjalani rawatan kanser serviks, peluang untuk hamil sebenarnya masih ada namun sedikit tipis. Hubungan seks untuk pesakit juga tidak memudaratkan dirinya selepas menjalani rawatan selengkapnya, dan bukan sewaktu menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi.
Anda digalakkan mengambil diet yang bersesuaian, rehat yang cukup dan cuba jalani kehidupan harian seperti biasa. Kehidupan yang sihat bermakna jauhi rokok, minuman beralkohol, kerap bersenam, mengamalkan diet seimbang, seks yang selamat dan sentiasa positif dalam kehidupan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai wanita tahu dan sedar tentang bahaya kanser payudara. Namun, tidak ramai wanita yang tahu tentang kewujudan Kanser Payudara Metastatik. Kanser Payudara Metastatik (mBC) merupakan kanser payudara tahap tertinggi diakibatkan oleh sel kanser yang merebak dari payudara ke organ dalam tubuh lain.
Kanser jenis ini masih tergolong sebagai penyakit yang tidak boleh sembuh dan merupakan punca kematian akibat kanser kedua tertinggi dalam kalangan wanita hari ini.
Pfizer Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), menyasarkan untuk meningkatkan kefahaman orang awam terhadap Kanser Payudara Metastatik, mengubah persepsi, mengatasi stigma dan meluaskan topik perbincangan meliputi perihal Kanser Payudara Metastatik.
Presiden BCWA, Ranjit Kaur berkata, “Kami menjalankan bancian dengan responden dengan latar belakang yang berbeza bagi memahami dan mengurangkan jurang kefahaman Kanser Payudara Metastatik. Hasil bancian tersebut bukan sahaja membantu kami mengenalpasti punca kurang faham, malah menjadi panduan untuk tindakan seterusnya,” ujar Ranjit Kaur.
Berdasarkan keputusan bancian, 70 peratus responden kurang kesedaran terhadap pilihan rawatan antara punca utama mengekang pesakit Kanser Payudara Metastatik mendapatkan rawatan perubatan yang efektif. Tahap kemampuan pula mencatatkan peratusan tertinggi dalam bancian tersebut.
Sungguhpun Kanser Payudara Metastatik tidak boleh sembuh tapi tujuan utama rawatan Kanser Payudara Metastatik adalah bagi memperlahankan atau menghentikan tahap pertumbuhan kanser sekali gus mengekalkan kualiti hidup pesakit. Kebanyakan pesakit mampu meneruskan kehidupan untuk tempoh yang panjang dan produktif walaupun disahkan menghidap metastatik.
“Beban penyakit ini tidak seharusnya ditanggung pesakit sendirian. Berdasarkan pengalaman peribadi, saya memahami perasaan apabila disahkan menghidap kanser payudara. Ia situasi yang amat menakutkan terutama jika kita tidak pasti dengan apa yang akan berlaku selepas ini dan kepada siapa patut kita mengadu,” kongsi Ranjit lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahniah diucapkan kepada pelakon dan penyampai radio popular, Shiera dan suami atas kelahiran cucu sulung mereka baru-baru ini. Terhibur tengok gelagat lucu pasangan suami isteri ini yang menyambut kehadiran cucu mereka di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang ...