Berseri-serinya! Pelakon terkenal Sharifah Amani Syed Zainal Rashid menamatkan zaman bujangnya di usia 36 tahun. Aktres terkenal filem ‘Sepet’ itu disatukan dengan pasangannya dalam majlis tertutup di sebuah premis acara sekitar pukul 10.15 pagi tadi.
Majlis dihadiri oleh 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan teman rapat. Pasagan pengantin tampil berseri dalam persalinan nikah rona putih. Terserlah keanggunan Sharifah Amani dalam persalinan serba putih rekaan Tangsi Tujuh yang ditatarias sendiri oleh adik bongsunya, Sharifah Aryana.
Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh. Pun begitu, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga kedua belah pihak.
Memetik kenyataan pelakon filem Sepet ini di portal Berita Harian, dia bersyukur kerana perancangan hari bahagianya itu berjalan lancar.
“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah.
“Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami, Insha-Allah,” luahnya.
DETIK PERKENALAN
Pasangan ini mula bertemu tiga tahun lalu ketika Sharifah Amani memikul tugas sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah organisasi diketuai Ahmed Faris Amir. Namun, ketika itu mereka bekerja atas dasar profesinal, belum ada bibit-bibit cinta.
KEISTIMEWAAN SUAMI
“Kebijaksanaan suami telah menawan hati saya. Selain itu, suami tangkas dalam setiap gerak geri. Dia pandai dan bijak ambil hati saya. Sering buat saya tergelak dan mudah terhibur. Apa yang buat kami serasi, dia adalah antara kawan lepak yang ‘sempoi’ dan terbaik,” katanya.
Berkongsi tentang bulan madu pula, pasangan ini belum merancang sementara berkenaan zuriat, mereka tidak menolak rezeki.
Selepas ini mereka sibuk dengan urusan berpindah rumah serta komitmen kerja. Kemungkinan mereka akan membuat perancangan spontan untuk menghabiskan masa berdua pada hujung tahun ini.
Untuk info, pasangan ini bertunang pada Jun 2022. Menerusi hantaran di akaun Instagram Sharifah Amani telah memaparkan satu foto cincin di jari manisnya bersama kelibat jejaka dipercayai Ahmed Faris Amir.
Kredit Foto: Instagram Sharifah Amani & Ahmed Faris Amir
This website uses cookies.