Wah, walaupun namanya kurang jadi bualan di Malaysia tapi rupa-rupanya Shiha Zikir berjaya cipta kejayaan dalam kelas tersendiri. Bukan sahaja berbakat dalam bidang seni, tapi bekas peserta program realiti Mentor ini juga sedang ligat menceburi dunia perniagaan. Siap dah ada dua produk kecantikan, event organizer dan syarikat rakaman sendiri lagi. Murah rezeki Shiha!
Selain aktif dalam bidang nyanyian, Shiha turut mengambil peluang yang ada depan mata untuk melebarkan sayapnya ke arah perniagaan pula dengan menjual kanta lekap dan gincu bibir. Menariknya lagi, bisnes contact lens yang dijalankan olehnya turut mendapat sokongan daripada artis terkenal Indonesia seperti Inul Daratista dan Krisdayanti.
“Inul Daratista membeli berpuluh-puluh kotak contact lens daripada stokis tanpa pengetahuan saya. Alasannya, dia tidak mahu saya memberikan diskaun harga kerana mahu support bisnes. Malahan, Krisdayanti juga pernah menunggu saya sehingga terbaring di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk saya beri contact lens tersebut”, jelas wanita berusia 30 tahun ini.
“Contact lens Shiha Lens juga kini boleh didapati di SOGO, Kuala Lumpur dengan harga RM39.00 dan RM55.00, lens case diberi percuma. InsyaAllah, coming soon saya akan mula menjual lip matte pula yang kini dalam proses pemilihan kotak packaging”, jelas Shiha dengan teruja.
Terpancar kesungguhan dan keikhlasan Shiha dalam mengusahakan bisnesnya ini apabila mahu beri kepuasan terbaik kepada pelanggannya. Bahkan, Shiha turut mengeluarkan modal permulaan perniagaan dengan hasil titik peluhnya sendiri.
“Saya tidak membuat sebarang pinjaman dan semuanya hasil daripada titik peluh sendiri. Sewaktu ingin memulakan perniagaan contact lens sekitar dua tahun lepas, saya mengeluarkan hampir semua duit daripada akaun ASB. Alhamdulillah, dalam masa tiga bulan saya dapat pulangan duit modal kembali”, yang mempunyai sifat tidak suka berhutang.
Bukan itu sahaja, Shiha turut menubuhkan label musiknya sendiri iaitu SZ Entertainment yang mempunyai seorang artis berbakat Kay Khaidir, bekas peserta program realiti popular Akademi Fantasia.
Kesungguhannya dalam bidang nyanyian dan perniagaan membuahkan hasil yang memberangsangkan. Namun masih ada yang meragui kejayaanya itu sehingga boleh memiliki barangan berjenama seperti handbag dan kereta mewah.
Ada juga yang membuat andaian kehidupannya ‘ditaja’ atau ‘dibela’ teman lelaki yang bekerja sebagai kontraktor.
“Perkara seperti ini tidak seharusnya ada di pemikiran mereka. Mereka tak tahu macam mana saya struggle untuk berada di tahap ini. Untuk memiliki handbag berjenama idaman, saya akan mengumpul duit sedikit demi sedikit. Saya pernah hidup susah dan saya tahu betapa peritnya untuk mengumpul duit”,jelas Shiha yang setia ditemani ibunya, Rohana Ibrahim disisi sepanjang temubual.
Apabila berbicara tentang perkembangan terbaharu karier seninya, shiha Zikir berkata, “Saya kini sibuk mempromosikan single terbaharu Terdetik Rindu, lagu duet bersama Aman Aziz. Alhamdulillah rezeki, lagu ini juga terpilih untuk menjadi runut bunyi filem Langsuir yang akan berada di pawagam pada 20 September 2018”.
Siapa sangka, wanita bertubuh kecil molek ini sebenarnya mempunyai bakat besar dan berjaya merangkul tempat ketiga dalam pertandingan akhir D’Academy Asia 2015 di Jakarta, Indonesia dan menjadi satu-satunya wakil Malaysia di peringkat akhir itu. Susulan kejayaannya itu di Indonesia, Shiha sendiri mengakui mempunyai peminat fanatik di sana dan merasakan bakatnya lebih dihargai.
“Ada antara peminat di sana yang menangis dan memeluk dengan erat apabila dapat berjumpa dengan saya. Dan demi menghargai peminat tegar di Indonesia, saya akan ke sana sekitar Oktober nanti untuk buat arrangement music lagu baharu berentak dangdut”, jelas Shiha yang sudah memulakan perjalanan seninya sejak tahun 2010 lagi.