Shila Amzah ‘PECAH TRADISI’ PILIH TEMA Black & Elegant Rekaan Azura Couture Untuk Majlis Resepsi

Majlis raikan cinta pasangan Shila Azmah dan Haris Idraki berakhir dikemuncaknya. Resepsi pasangan romantis ini telah diadakan dengan gilang-gemilang di hotel JW Marriot, Putrajaya. Memilih busana hitam sebagai tema untuk ‘majlis besar,’ kedua pasangan raja dan ratu sehari berarak ‘megah’ menuju ke pentas singgahsana yang tersergam indah,

Pelamin berkonsepkan Zen ini benar-benar ‘serasi’ dengan busana yang digayakan oleh pasangan mempelai. Sentuhan pelamin Adiputra_decor yang ringkas dan tidak terlalu sarat menjadikan penampilan pengantin cukup menyerlah pada malam yang bersejarah ini.

Shila memecah tradisi dengan mencipta kelainan apabila ‘berani’ mengayakan persalinan rona hitam tidak seperti kelaziman raja sehari yang memilih rona putih. Untuk majlis resepsi, Shila menggayakan dua helai gaun rona hitam yang kedua-duanya direka oleh pereka terkenal, Azura Couture.

Penulis berkesempatan menemubual pereka terkenal ini untuk bertanyakan dengan lebih terperinci tentang busana yang dipakai oleh Shila dan pasangannya, Haris. Ikuti temu bual eksklusif ini.

Apakah perasaan Azura apabila diberi tanggungjawab untuk mereka busana perkahwinan Shila?
Tentulah gembira bukan kerana dia seorang artis yang popular.tetapi saya pandang daripada sudut kepercayaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Saya dan Shila sudah agak lama bekerjasama untuk baju show Shila dan sebagainya. Sebagai seorang artis yang popular sudah tentu terlalu ramai designer yang ingin bersama menghasilkan pakaian untuk Shila. Pendek kata saya sudah menghasilkan pakaian untuk Shila sejak awal kemunculannya lagi dalam pentas seni. Shila memang seorang pelanggan yang setia.

Kesetiaan Shila dengan saya itu saya anggap sebagai satu penghargaan yang besar. Apabila Shila memilih saya sebagai designer busana perkahwinannya, bukan 1 baju tetapi 5 helai baju Shila dan 2 helai baju Haris, saya rasa terharu dan gembira sekali atas hubungan dan kepercayaan yang dijalinkan dari dahulu sampailah sekarang. Hubungan itu sama sekali tidak pernah berubah.

Azura Couture dipertanggungjawabkan untuk menyediakan berapa persalinan untuk Shila dan pasangannya?
5 persalinan untuk pengantin perempuan dan 2 persalinan untuk pengantin lelaki. Untuk majlsi resepsi material custom made telah disuntik bagi memperindahkan lagi kedua-dua gaun hitam yang digayakan (bersanding dan upacara memotong kek).

Apakah fabrik dan pilihan warna yang digunakan?
Fabrik yang saya gunakan terdiri daripada chiffon, lace, chiffon silk, beaded lace, songket dan netting.

Berapa lamakah tempoh menyiapkan busana perkahwinan Shila
Tempoh menyiapkan pakaian perkahwinan Shila tidak sampai sebulan untuk kesemua baju. Mesti ramai tidak percaya tetapi itulah kenyataannya. 25 Mac 2018 material sampai dan 16 April majlis bermula (khatam al-Quran). Bayangkan bagaimana sibuknya.

 

Boleh ceritakan sedikit tema dan konsep busana perkahwinan Shila dan pasangannya?
Tema konsep untuk majlis khatam al-Quran
Sopan: Sebenarnya apa yang saya fikirkan untuk khatam al-Quran adalah sesuatu yang sopan dan feminin.tetapi tetap bermain dengan sedikit unsur glamour bagi menampakkan kelainan. Konsepnya lebih kepada Arabic.

Malam berinai
Morrocan Night: Saya menggabungkan elemen Morrocan dan Bollywood serta memberi sedikit sentuhan moden.

Bersanding sebelah lelaki
Tema tradisional: Kedua-duanya akan memakai busana rona burgandy. Saya menggabungkan sedikit songket pada pakaian mereka supaya Shila dan Haris dapat ‘look’ yang berbeza dalam setiap penampilan mereka.

Bersanding besar
Black theme: Saya sendiri yang memberi idea kepada Shila untuk cuba lari dari pastel dan putih. Jadi Shila bersetuju memakai busana rona hitam untuk sesuatu kelainan. Saya menyediakan dua persalinan pada malam itu di mana Shila menggayakan dua gaun yang sangat romantik.

Bagaimana boleh tercetusnya idea untuk mengilhamkan busana ini?
Setiap rekaan yang saya hasilkan, idea akan lahir daripada pengamatan saya kepada si bakal pemakai. Seperti Shila, terlalu banyak baju yang saya pernah buat untuk Shila jadi saya cuma ingin pastikan busana perkahwinan Shila adalah berbeza daripada pakaian-pakaian show tetapi sebagai designer juga saya akan pastikan setiap ilham saya tidak akan menenggelamkam si pemakai dan ‘tidak syok sendiri dalam berkarya.’

Adakah idea rekaan busana datangnya dari Shila atau gabungan Shila dan juga pihak Azura Couture?
Idea lahir daripada ilham bersama. Shila akan beritahu beberapa konsep yang dia suka dan saya sebagai designer akan pilih yang sesuai dan olah dalam bentuk fesyen.

Adakah Shila punya apa-apa permintaan untuk busana perkahwinannya? Mungkin busana idaman.
Saya agak bertuah sebenarnya.kerana Shila sentiasa memberi kebebasan untuk saya berkarya. Begitu juga untuk busana perkahwinannya. Mungkin sebab itu saya masih bersamanya sampai sekarang menghasilkan baju-baju Shila.

Adakah Shila seorang yang cerewet dalam membuat pilihan tema busana perkahwinannya?
Oh! tidak sekali. Dia sangat straight to the point. Dia seorang yang tahu apa dia mahu dan sangat percaya pada kerja saya sehinggakan tiada kesukaran langsung untuk menyiapkan baju Shila walaupun dalam masa yang singkat. Bila adanya rasa percaya dan yakin, semuanya jadi mudah.

Dalam keadaan berbadan dua, adakah ia satu cabaran yang besar untuk menyiapkan busana perkahwinan Shila?
Tidak sama sekali..mungkin ada sedikit letih kerana kali pertama mengandung tetapi saya boleh katakan saya enjoy buat kerja saya di samping team Azura Couture yang sangat cekap. Shila tidak langsung memeningkan kepala saya. Dia hanya datang berbincang, fitting bila saya panggil dan seterusnya pakai apabila tiba masanya. Tiada tekanan langsung. Shila sangat memahami yang kerja kreatif tidak boleh diganggu.

Adakah Azura mempunyai hubungan yang rapat dengan Shila secara peribadi?
Mungkin apabila sudah lama bekerjasama, hubungan rapat itu seperti ahli keluarga sendiri.

Sebagai pereka fesyen, apakah perasaan anda apabila dapat merealisasikan busana impian ratu sehari di hari bahagia mereka?
Tersangatlah bahagia.

Signature rekaan busana Azura Couture?
Sebenarnya apabila menyebut tentang signature, saya lebih dikenali dengan rekaan wedding ball gown.

Doa Azura buat Shila dan juga pasangannya.
Saya amat bersyukur Shila berjumpa dengan pasangan hidup yang sesuai. Secara peribadi saya senang melihat Shila di samping Haris yang sangat bersederhana. Sama seperti Shila juga yang tidak pernah berubah dari awal saya kenal dia sampailah sekarang. Semoga Shila bahagia hingga ke syurga.

 

Share
Published by
Hasliza