Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, menyasarkan pertumbuhan sehingga lima kali ganda pada Hari Membeli-belah Dalam Talian 9.9, yang dianjurkan selama satu hari iaitu 9 September ini.
Pengarah Urusan Serantaunya, Ian Ho berkata, Shopee optimis mencapai sasaran itu ekoran sambutan memberangsangkan diterima pada hari membeli-belah yang diperkenalkan tahun lalu, dengan mencatatkan jumlah jualan sehingga lima kali ganda dan tiga kali ganda jumlah trafik.
Katanya, pada tahun ini, Hari Membeli-belah dalam Talian 9.9 menjanjikan tawaran lebih besar dengan sokongan ribuan usahawan di bawah platform itu yang membariskan ribuan produk dipromosikan menerusi kempen Jualan Harga Terendah Shopee.
“Dalam satu kaji selidik yang kami jalankan baru-baru ini melibatkan lebih 7,500 responden, kami dapati rakyat Malaysia merancang pembelian dalam talian secara bijak dengan membandingkan harga sebelum mendapatkan sesuatu produk.
“Oleh itu, tahun ini, kami menawarkan ribuan produk daripada 20 kategori dan kami menjamin harga terendah di pasaran. Sekiranya pelanggan menemui tawaran lebih rendah di platform lain, kami akan memulangkan perbezaan harga tersebut pada kadar 120 peratus. Ini adalah komitmen kami kepada pelanggan,” katanya.
Menurutnya, Shopee turut menawarkan insentif berterusan termasuklah program penghantaran percuma seluruh negara dan bayar waktu terima (COD).
“Hari membeli-belah ini turut melibatkan banyak jenama terkemuka seperti Nivea, Unilever, ESH2U, Super, Watsons, L’Oreal dan banyak lagi dengan potongan harga sehingga 90 peratus,” katanya.
Sehingga kini, Shopee merekodkan lebih 50 juta muat turun di rantau ini merentasi tujuh negara melibatkan Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Taiwan, dengan anggaran nilai dagangan kasar tahunan lebih RM12.87 bilion (AS$3 bilion).
Hari Membeli-belah Dalam Talian 9.9 Shopee juga disokong oleh CIMB, Public Bank dan RHB Bank dengan potongan harga tambahan sehingga 10 peratus bagi semua pemegang kad kredit. Hamizatul Maizan Mohamed