Menjelang musim perayaan, pastinya bajet kita untuk menyambut bulan Ramadan dan Syawal meningkat. Selain barangan keperluan asas seperti makanan, golongan wanita tentu nak beli juga kelengkapan raya macam baju kurung, kasut dan mekap baru, kan?
Inilah masanya untuk menggunakan kuasa pembeli dengan bijak. Memandangkan produk lokal juga setanding produk antarabangsa, Nona membariskan produk buatan Malaysia yang mesti dimiliki sempena Aidilfitri ini.
HELAIAN RAYA
Himpunan busana raya dari koleksi pereka tempatan membantu industri seni fesyen negara terus berdaya tahan. Kini kebanyakan pereka fesyen menawarkan koleksi berpatutan di platform online, antaranya Alia Bastamam, Rizman Ruzaini, Mimpi Kita dan banyak lagi.
Jenama hijab pun majoritinya keluaran Malaysia. Rambang mata nak pilih, cantik-cantik koleksi pereka tempatan ni.
Antara destinasi membeli-belah kegemaran Nona tentu sekali Jakel dan gedung pasar raya Mydin yang menawarkan banyak busana raya pada harga lebih murah. Tapi kalau bimbang bersesak-sesak, paling senang beli je secara online. Lagi selamat dan menjimatkan, maklumlah banyak yang berkenan di hati.
MEKAP
Kini banyak produk solekan tempatan yang berkualiti tinggi, selamat dan terjamin halal. Tidak perlu berhabis ratusan ringgit kalau ada pilihan lebih baik buatan anak Malaysia. Antara kegemaran Nona pastinya Alha Alfa Cosmetics, NR Cosmetics, Sobella, Obsess, CPG, Bihan Girly Makeup dan banyak lagi.
Paling penting adalah kemahiran dan teknik mengadun warna agar solekan menyerlah cantik. Kini banyak video tutorial percuma di media sosial untuk mengasah skil solekan anda di rumah.
SEPATU & TAS TANGAN
Siapa kata dua aksesori buatan Malaysia ini tak berkualiti tinggi? Himpunan terkini BONIA, Lewre dan Padini antara pilihan Nona sempena Aidilfitri nanti. Selain rekaan moden serta terbaharu di pasaran, harga yang ditawarkan juga jauh lebih berbaloi.
HIDANGAN LAZAT
Di antara jenama tempatan yang masyhur untuk juadah raya tentulah ADABI, Saji, Brahim’s, Baba’s dan Mamee. Kebanyakan jenama rempah-ratus, pek ketupat segera an makanan ringan kegemaran tetamu boleh didapati dari jenama-jenama ini di pasar raya berdekatan.
PILIHAN DI DEPAN MATA
Bertuahnya jadi rakyat Malaysia, kita boleh berbangga dengan pelbagai produk dan jenama tempatan yang berkualiti, dengan harga lebih berpatutan sambil kita membantu menggalakkan pemulihan ekonomi negara.
Sama-samalah kita menyahut seruan Kempen Beli Barangan Malaysia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada waktu ini.
Dengan mengutamakan dan menyokong barangan buatan tempatan, kita membantu negara bangkit daripada impak pandemik COVID-19 sekaligus memulihkan semula ekonomi.
Yang pentingnya, duit lebihan tu boleh dimanfaatkan untuk sedekah. Mengalir juga pahala amal jariah bila tabung masjid penuhkan? Selamat berbelanja dengan bijak!
This website uses cookies.