Bahang Pilihan Raya Negeri masih terasa walaupun keputusannya sudah diketahui Sabtu lepas. Calon Pakatan Harapan (PH), Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad dilihat menang bergaya di kerusi N.20 Lembah Jaya menewaskan saingannya Sharifah Haslizah Syed Arifin calon Perikatan Nasional (PN).
Syed Ahmad berjaya meraih 26,298 undi dengan majoriti 6,678 undi meninggalkan Sharifah Haslizah yang hanya meraih 19,620 undi.
Menariknya, menerusi laporan Sinar Harian, tak sampai 3 hari bergelar wakil rakyat, Altimet sudah pun menerima pelbagai permintaan daripada rakyat.
Menerusi laman X, beberapa hantaran telah dibalas oleh Altimet, antaranya, pertanyaan tentang masalah air yang berlaku di Taman Kosas, Ampang termasuk kekerapan bas awam ditambah.
Altimet membalas hantaran tersebut dengan berkata:”Siap. Diusahakan,” katanya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan yang Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 45, sedang membuat perancangan, mengumpul maklumat dan menyusun atur semula pasukan untuk bersiap sedia bekerja selepas majlis angkat sumpah sebagai wakil rakyat nanti.
Untuk makluman, Altimet menjadi selebriti kedua bergelar wakil rakyat selepas pelakon, Dira Abu Zahar. Dira mencipta sejarah sebagai selebriti pertama yang dipilih sebagai wakil rakyat apabila memenangi di DUN Rim ketika Pilihan raya negeri Melaka 2021 pada 20 November 2021.
Umur 19 Tahun, Dapat Berjuta Tontonan & Pujian Arwah Siti Sarah, Kejayaan IMAN TROYE Jadi Inspirasi
Video muzik nyanyian Iman Troye, Teman, meraih tontonan 45 juta di YouTube dalam tempoh setahun ditayangkan. Namanya masyhur di media sosial, punya followers tinggi seramai 1.8 juta di Instagram dan 1.1 juta di TikTok, namun gadis muda ini tetap ‘humble’ dan menjadikan keluarga keutamaannya.
Iman Troye atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin mula menempa nama sebagai model sambilan sebelum menyertai sebuah program realiti I Can See Your Voice Malaysia.
Lantunan vokal Iman pernah dikatakan mirip suara Nabila Razali. Tambah manis, bakat gadis muda itu pernah mendapat perhatian Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin apabila arwah datang sendiri ke sekolahnya di Rawang bagi memberikan kata-kata semangat sewaktu Iman menduduki peperiksaan SPM 2019.
Rentetan kejayaan lagu Teman serta Pejam Celik Hari Raya pada 2020, Iman Troye terus mengorak langkah dalam bidang seni dengan pelancaran single terbaharu berjudul Nang, baru-baru ini.
Ketika ditemui dalam majlis pelancaran ‘2 Juta Bangkit Belajar’, Iman turut menyangkal dirinya sudah bergelar jutawan meskipun berjaya meraih 4x Platinum bersamaan RM1 juta membabitkan talent management revenue.
Tonton Lensa Nona tentang pesanan ibu bapa Iman Troye kepada penyanyi berbakat besar ini…
Menjadikan keluarga sebagai keutamaan, Iman sebagai gadis muda sentiasa berpegang kepada nasihat ibu bapanya agar menjaga maruah keluarga.
Cantik, mesra dan menyenangkan, Iman juga mengakui dia lebih mengutamakan masa depannya dalam industri nyanyian berbanding pendapatan.
“Kalau ada yang menganggap saya jutawan berdasarkan jumlah pendapatan itu rasanya tidak. Apa yang saya nak utamakan dalam industri ini bukan pendapatan. Tapi, saya nak lebih fokus dan kukuhkan nama dalam industri.
Lagipun saya masih merangkak lagi. Sebolehnya, saya nak orang pandang saya berlari pula selepas ini. Malah, banyak lagi yang saya kena terokai. Sejujurnya, saya takut apabila berada pada tahap sekarang, sebab tak tahu lagi apa pandangan orang sebenarnya terhadap saya.” Iman Troye
Dalam masa sama, Iman juga melahirkan rasa teruja apabila single baharunya, Nang berjaya mencapai lebih satu juta tontonan selepas dilancarkan secara rasmi pada 15 Oktober lalu.
Selain itu, video muzik lagu berkenaan juga berada di kedudukan kelima carta trending YouTube dan Top 10 di aplikasi muzik Spotify.
Kejayaan yang luar biasa untuk seorang gadis muda dan cerah masa depannya! Semoga bintang Iman Troye terus bersinar serta menjadi inspirasi para millennials lain yang seusia.
BUNGA CITRA LESTARI Kecewa Isu Mempersenda Fizikal Jadi Bahan Di Media Sosial
Sejak akhir-akhir ini, isu mencemuh atau mempersenda penampilan fizikal seseorang semakin menjadi-jadi diperkatakan di laman sosial. Perlakuan ejekan tubuh tidak hanya berlaku secara lisan, tetapi juga melalui gajet dan aplikasi. Contohnya, melalui komen di media sosial yang semakin meluas dilakukan hari ini, sejajar perkembangan teknologi masa kini.
Ejekan tubuh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau diri sendiri melalui ejekan dan kritikan terhadap bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan dialami mereka.
Antara selebriti yang berhadapan dengan isu body shaming baru-baru ini ialah selebriti ternama Indonesia Bunga Citra Lestari atau BCL.
Tular di media sosial mengaitkan perubahan fizikal dan perutnya yang sedikit buncit sehingga isu ini menimbulkan fitnah dan diperbesar-besarkan sehingga mengheret dirinya mempunyai hubungan dengan rakan selebriti penyanyi Ariel Noah.
Mengakui terkilan dengan dakwaan tidak berasas tersebut, penyanyi berstatus ibu tunggal itu menjelaskan, isu ‘body shaming’ sebegitu memberi impak terhadapnya yang ternyata sedih dan tidak seharusnya tercetus. Bagi Bunga, andaian tersebut tidak adil terutama datangnya dari kalangan individu yang tidak mengenalinya secara peribadi.
“Sejujurnya saya sedih dan sakit hati apabila menjadi mangsa ‘body shaming’ hanya kerana perut kelihatan buncit daripada biasa.
“Sama seperti orang lain, saya juga makan. Semua ini normal terutama untuk orang yang suka makan tengah malam,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar penganjuran Konsert BCL Blossom Intimate di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) semalam.
Meskipun dirinya sering menjadi mangsa kecaman apatah setelah kehilangan suami tercinta, penyanyi yang popular menerusi lagu Wanita Terbahagia itu tetap sedar bahawa bukan semua pihak memahami ‘masalah tubuh badan’ yang sering dialami oleh kaum wanita.
“Tidak dinafikan setiap wanita akan berhadapan dengan masalah perut buncit apabila datang bulan dan saya juga tidak terkecuali dari berhadapan dengan situasi yang sama. Jadi, bila isu ini timbul, saya tidak boleh hendak salahkan sesiapa kerana mungkin sudut gambar itu diambil juga mempengaruhi keadaan postur tubuh.
Saya lebih selesa untuk berdiam diri dari menjawab pertanyaan yang tidak masuk akal,” ujar Bunga yang turut berkongsi dengan rakan media perasaannya tatkala dikaitkan dengan isu yang boleh menjatuhkan fitnah itu.
“Namun, saya kecewa apabila masalah perut buncit ini dikaitkan dengan hal tidak enak terutama bersama rakan baik iaitu Ariel.
Tambah Bunga yang gembira dapat pulang ke ‘rumah keduanya’ setelah hampir 2 tahun tidak kembali ke Kuala Lumpur, dia juga belajar untuk menerima bentuk tubuhnya seadanya dan enggan membiarkan perkara negatif membelenggu dirinya.
“Jika tiga tahun kebelakangan ini saya sangat kurus padahal makan banyak tetapi bila nampak berisi, orang lemparkan pula tuduhan lain pula. Saya belajar untuk menerima kelebihan dan kekurangan diri sendiri dan tidak mahu rasa murung kerana tekanan daripada pihak luar. Semua ini juga boleh terjadi kerana faktor umur yang semakin meningkat,” jelas Bunga yang menginjak usia 39 tahun.
“Harapnya isu ‘body shaming’ ini terhapus dan masyarakat akan menjadi lebih terbuka dan membuang sikap suka mencipta spekulasi sendiri berdasarkan perubahan bentuk fizikal seseorang,” katanya lagi.
BCL bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 27 Januari 2023 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Konsert Blossom-Bunga Citra Lestari merupakan konsert sulung Bunga selepas pandemik COVID-19 melanda dunia.
Bunga ternyata teruja untuk menghiburkan para peminat di Malaysia dan menganggap konsert ini sebagai hadiah dan apresiasi buat semua yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk dirinya sekeluarga terutamanya selepas suami tercinta, Ashraf Daniel Mohamad Sinclair kembali ke Rahmatullah pada Februari 2020.
Buat semua penggemar BCL, jangan lupa saksikan Konsert Blossom-Bunga Citra Lestari pada 27 Januari 2023 akan datang. Tiket boleh didapati di www.ticket2u.com.my mulai 11.11.22.
Untuk rekod, BCL mendirikan rumah tangga bersama Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamed Sinclair pada 8 November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Noah Aidan Sinclair, 11.
Namun bahtera rumah tangga mereka dikejutkan dengan pemergian Ashraf secara mengejut pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung sekitar pukul 4 pagi di rumahnya di Pejaten Barat, Jakarta Selatan, Indonesia. Sejak kematian suami, BCL kerap digosipkan menjalin hubungan istimewa dengan beberapa selebriti lelaki antaranya termasuklah Ariel, Afgan dan Reza Rahadian.
13 Tahun Jadi Presiden MERCY MALAYSIA, Dato’ Dr Ahmad Faizal Masih Setia Mencurah Jasa Sebagai Frontliner COVID-19!
Pengalaman 13 tahun menjadi Presiden MERCY Malaysia mengasuh jiwanya menjadi lebih sabar, lebih memahami dan bertolak ansur. Bersama Nona, Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus mencurahkan pengalaman hidupnya sebagai seorang pakar perunding perubatan, pekerja kemanusiaan dan presiden sebuah badan amal kesukarelawanan.
Biar tanpa publisiti kencang, takwim kerja Dato’ Dr Ahmad Faizal, 54 tahun begitu padat sekali. Ada-ada sahaja komitmen yang menanti hinggakan sukar menetapkan temu janji dengan Pakar Perunding Perubatan (Respiratori) itu.
Mujurlah di sebalik kesibukan, pengurusan MERCY Malaysia memberi kepercayaan untuk kami menyelit masa, menyelami lebih dalam jiwa lelaki kelahiran Kuala Lumpur yang kedua ibu bapanya berasal dari Perak itu.
Petang Ahad usai mempengerusikan retreat fizikal pertama MERCY Malaysia sejak bermula pandemik COVID-19, bapa kepada tiga cahaya mata ini bergegas bertemu kami.
“Sejak saya mengambil alih jawatan Presiden MERCY Malaysia daripada Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pada tahun 2009, tugas saya sebagai Presiden lebih menuntut komitmen masa dan fokus yang tinggi sebenarnya. Percaya tidak, tanggungjawab yang digalas seperti orang bekerja sepenuh masa.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MERCY Malaysia atau singkatan Malaysia Medical Relief Society ini telah ditubuhkan pada tahun 1999 untuk memberi bantuan kemanusiaan.
Banyak bantuan perubatan serta kemanusiaan telah disalurkan apabila berlaku krisis dan bencana di peringkat antarabangsa mahupun di dalam negara.
Di bawah pimpinan Dato’ Dr Ahmad Faizal, pelbagai misi besar berjaya dilaksanakan antaranya yang terbaru, bantuan memerangi COVID-19 menggunakan kepakaran sedia ada.
Sejak pandemik melanda pada awal 2020, MERCY Malaysia tampil memberi bantuan kecemasan serta jangka panjang kepada Kementerian Kesihatan dalam pelbagai cabang untuk memudahkan operasi memerangi wabak COVID-19.
Tumpuan mereka jelas dalam menyediakan keperluan penting seperti katil, alat ventilator, pakaian perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan dan sebagainya, serta meningkatkan aktiviti vaksinasi dan saringan.
Sebagai seorang mukmin, semua kerja yang dilakukan di dunia ini mestilah semuanya kerana Allah Taala. Tambah Dato’ Dr Ahmad Faizal, beliau juga memberi keutamaan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa, warna kulit atau fahaman politik.
Kerja kemanusiaan harus ikhlas, bukan saja kerana Allah tapi kerana tanggungjawab sesama manusia.
“Walaupun organisasi ini mengalami banyak pertumbuhan dari segi kapasiti, keupayaan, kemampuan kewangan serta sumbangan staf sepenuh masa, tapi kami masih melakukan kerja-kerja secara sukarela.
Selain turun ke lapangan untuk beri bantuan, saya kira kerja-kerja merancang, membuat strategi dan menyelesaikan masalah yang timbul terutamanya yang melibatkan ramai pemegang taruh (stakeholders) amat mengambil masa yang banyak.
Dalam waktu yang sama, saya masih lagi berkhidmat sebagai pakar perunding di Hospital KPJ Damansara.
Dua tahun kebelakangan ini pula, saya terpaksa bergelut dengan wabak dan pesakit COVID-19 secara langsung.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Sambungnya, beliau kini turut terlibat menangani pandemik di Malaysia sebagai seorang frontliner merawat pesakit COVID-19 sesuai dengan kepakaran sebagai pakar perunding respiratori.
Sebagai pemimpin MERCY Malaysia yang bergerak secara aktif membantu usaha-usaha mencegah COVID-19 di kalangan masyarakat, badan amal kebajikan ini juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak ketinggalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.
Ketokohan Dato’ Dr Ahmad Faizal turut terlihat apabila beliau terlibat dengan jawatankuasa peringkat nasional untuk membantu kerajaan dalam memberikan nasihat, idea atau buah fikiran, terutama sekali kepada NADMA.
Selain menjadi pengerusi kluster kesihatan dan bahaya baru muncul (emerging hazard) yang sinonim dengan COVID-19, beliau juga menjadi ahli jawatankuasa berkenaan kerjasama hospital awam dan swasta (private-public partnership) dalam menangani isu yang sama.
“Saya juga salah seorang penyelaras yang terlibat dalam proses penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta di Lembah Klang.
Di sini kita bernasib baik kerana ada banyak hospital swasta yang sudi membantu di peringkat operasi. Jadi saya kira tak ramai orang di negara ini seperti saya yang mempunyai pengalaman serupa di semua peringkat.”
AKTIVITI
Jasa beliau yang sangat besar dalam dunia kesukarelawanan dan kebajikan Malaysia membuatkan lelaki ini diiktiraf sebagai penerima Nona Men’s Charity Award di acara Nona Superhero.
Tonton video ini saat beliau mengimbau kembali pengalamannya dalam dunia kebajikan sejak 18 tahun lalu…
“Saya bermula sebagai ahli sukarelawan biasa pada 4 Januari 2003. Masa tu saya baru menjadi pakar perubatan, setepatnya selepas menamatkan latihan kepakaran sebagai pakar perubatan dalam sub-bidang respiratori.
Tiada siapa daripada MERCY Malaysia yang mengajak saya secara formal. Tapi kerana minat yang mendalam, mungkin sayalah yang mengajak kawan-kawan saya masa tu di HUKM.
Kebetulan ada program induksi untuk ahli sukarelawan baru, jadi saya pun masuk sebab jauh di sudut hati, saya yakin sudah masanya orang Malaysia buat kerja kemanusiaan secara terurus dan sistematik sebegini.”
Aktiviti kemanusiaan banyak membawa Dato’ Dr Ahmad Faizal ke serata ceruk dunia. Antaranya ke Sri Lanka sewaktu banjir besar, ke Iran membantu mangsa gempa bumi, ke Sudan ketika konflik Darfur, ke Aceh semasa tsunami, Pakistan, Myanmar, Filipina, sempadan Turki-Syria, Syria, serta banyak lagi.
Timbul pertanyaan, sepanjang beliau bergiat aktif dengan aktiviti MERCY Malaysia, bagaimanakah penerimaan isteri dan anak-anak, tidakkah terhalang masa berkualiti dengan mereka?
“Sebenarnya isteri juga adalah ahli sukarelawan MERCY Malaysia dan kini masih berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan am swasta.
Anak-anak saya sejak kecil lagi, mereka selalu ikut beri bantuan kepada warga emas, fakir miskin atau mangsa banjir. Saya kira jiwa kemanusiaan sudah disemai sejak dulu dan mereka pun memahami minat kami dalam bidang kebajikan.”
Tidak mahu meletakkan sebarang garis akhir dalam kerjaya kemanusiaannya, Dato’ Dr Ahmad Faizal menyerahkan segala ketentuan masa depan di tangan Yang Maha Kuasa.
“Sehingga kini saya sangat suka berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kebolehan yang saya ada dalam bidang kemanusiaan.
Cuma di MERCY Malaysia, mungkin akan tiba masanya nanti saya lepaskan jawatan ini supaya ada kesinambungan kepimpinan yang baru.
Menjadi harapan kami sejak 22 tahun usia MERCY Malaysia ditubuhkan, kami bukan saja mahu badan NGO ini berjaya di Malaysia tapi di peringkat serantau dan antarabangsa.”
IDOLA
Majoriti kerja kemanusiaan di luar negara bukan dilakukan secara sukarela, sebaliknya diuruskan secara profesional, umpamanya di Afrika dan Eropah.
Terdapat organisasi tertentu yang mendapat bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Persatuan Palang Merah Antarabangsa atau badan-badan NGO besar dari Barat untuk menjalankan misi-misi tertentu.
“Terdapat seorang tokoh yang saya kagumi iaitu mendiang William L. Swing yang merupakan seorang diplomat Amerika Syarikat.
Mendiang sampai ke umur 80 tahun pun masih berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di International Organization for Migration (IOM), sebuah agensi migrasi yang diletakkan di bawah PBB.
Mendiang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia dan baru saja menghembuskan nafas terakhir pada Jun 2021 lalu akibat komplikasi COVID-19.
Apa yang saya kagumi, jiwa kemanusiaan itu begitu besar dalam dirinya sehinggakan mendiang menolak untuk menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator) dan menyuruh ia diberikan kepada pesakit lain yang lebih muda dan memerlukan, walaupun beliau orang kenamaan.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Percaya bahawa kerja-kerja kemanusiaan mampu mengasuh nilai-nilai murni dalam jiwa manusia, Dato’ Dr Ahmad Faizal berpegang teguh kepada ajaran Islam bahawa setiap yang baik itu akan mendapat pembalasan yang baik juga di pengakhirannya.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Natrah Mat Jan
Solekan: Che Wann