Bergiat secara aktif dalam bidang fesyen, pasti memberikan ruang yang lebih untuk Zeileen Yusnita Abd Jalil bereksperimen dengan fesyen yang sesuai untuk individu yang memiliki bentuk tubuh yang gempal. Walaupun negara sedang melalui arus kehidupan yang moden, namun stigma individu bertubuh gempal mempunyai limitasi terutama dari segi berfesyen masih terus diperkatakan.
Malah baru-baru ini kecoh apabila individu yang mempunyai berat badan 60kg ‘ditegah’ dari menghadiri majlis pertunjukkan fesyen, memberi pelbagai reaksi yang sedikit sebanyak menjadi sebutan dan perdebatan di kalangan netizen.
Walapun mempunyai tubuh yang gempal, ia tidak sesekali membuatkan Zeileen merasa rendah diri dan kurang berkeyakinan kerana apa yang lebih diutamakan oleh wanita berusia 31 tahun ini adalah keyakinan dirinya tatkala berhadapan dengan para pelanggan dalam mengetengahkan lagi jenama fesyen yang diusahakan.
Pemilik jenama fesyen Altelia Amani ini mempunyai pandangan tersendiri mengenai fesyen dan tubuh gempal kerana yakin tidak sah tanpa melibatkan elemen fesyen dalam kehidupan seharian.
“Industri fesyen terutamanya untuk wanita yang bertubuh gempal perlu bergerak selari dengan peredaran zaman. Atas kesedaran itu, setiap rekaan terutamanya yang dihasilkan di Altelia Amani diberi sentuhan yang bersesuaian dengan bentuk tubuh walaupun untuk si badan gempal,” ujar Zeileen yang mengasaskan jenama Altelia Amani bersama suami tersayang, Mohamad Farid Omardin.
Tambah Zeileen lagi, sebagai individu yang mempunyai bentuk tubuh yang gempal, sememangnya gaya fesyen yang ringkas menjadi pilihannya. Tetapi dalam mengutamakan soal fesyen, Zeileen lebih mementingkan potongan baju dan juga kualiti kain atau fabrik yang digunakan.
“Dengan susuk tubuh saya, sangat penting untuk saya mengenakan baju yang mempunyai silhouette yang ringkas dan straightforward . Sebolehnya, saya akan elak memakaia pakaian yang terlalu berlebihan atau mempunyai unsur ruffle yang sekaligus menampakkan susuk tubuh yang lebih berisi dan tidak sesuai untuk digayakan.
Selain itu, saya lebih mengutamakan pemilihan fabrik yang bersesuaian agar saya tampil lebih berkeyakinan diri serta selesa apabila berhadapan dengan pelanggan mahupun menghadiri majlis-majlis tertentu. Memandangkan kerjaya saya memerlukan saya sentiasa tampil menarik dan berjumpa dengan pelbagai jenis individu, amat penting untuk mengenakan pakaiaian yang selesa sekaligus memberikan saya keyakinan diri yang lebih tinggi,” ujar Zeileen yang sememangnya amat meminati dunia fesyen.
PERMINTAAN TERHADAP FESYEN PLUS SIZE
Berbalik soal fesyen untuk golongan plus size, Zeileen tidak menafikan kesukaran dirinya mencari fesyen yang sesuai untuk bentuk tubuhnya banyak mendorong dirinya untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan berasaskan fesyen.Bagi Zeileen, fesyen merupakan sesuatu yang dekat dengan personaliti dirinya yang gemar melihat sesuatu yang cantik untuk digayakan.
Namun begitu, faktor kesukaran mencari pakaian plus size sedikit sebanyak membantutkan penampilan dan gaya. Hanya kira-kira setahun yang lalu, Zeileen melancarkan jenama plus size di bawah label sendiri dikenali sebagai Aamani Curves.
“Jika melihat perkembangan fesyen plus size lima tahun yang lalu, tidak dinafikan agak sukar untuk mencari fesyen yang sesuai dengan bentuk tubuh. Namun begitu, saya amat bertuah kerana berpeluang melanjutkan pelajaran dan bekerja di luar negara di mana amat mudah untuk mendapatkan baju plus size. Melihat permintaan terhadap pakaian plus size semakin berkembang pesat di tanahair, saya lihat ia banyak memberi ruang wanita plus size tampil lebih bergaya sesuai dengan perkembangan fesyen terkini.
Atas inisiatif ingin membantu wanita plus size memperolehi fesyen dengan lebih mudah, saya memberanikan diri memperkenalkan label Aamani Curves untuk wanita bertubuh gempal. Kehadiran jenama ini memeriahkan lagi industri fesyen plus size yang semakin berkembang pesat di Malaysia,” ujar Zeileen yang sememangnya teruja apabila memperkatakan tentang jenama yang diusahakannya itu.
Menyentuh mengenai pereka fesyen kegemarannya, Zeileen yang mempunyai team pereka fesyen khas di bawah jenama Altelia Amani berkata dia amat berpuas hati dengan rekaan untuk plus size yang dihasilkan di bawah jenama tersebut memandangkan ia amat menepati citarasanya baik untuk kegunaan harian mahupun ketika menghadiri majlis-majlis tertentu.
“Bagi jenama fesyen antarabangsa pula, saya amat meminati hasil kerja pereka fesyen Monique Lhuillier kerana rekaan yang dihasilkan banyak mengetengahkan unsur romantis dan flowy
. Sisi lembut yang menjadi keistimewaan di kalangan wanita bertubuh gempal yang perlu diterokai untuk menghasilkan fesyen yang menarik,” ujar Zeileen yang sememangnya mudah mesra dan kaya dengan senyuman.Bercerita pula mengenai industri fesyen semasa, Zeileen tidak menafikan fesyen berubah dari semasa ke semasa dan sudah menjadi lumrah sebagai pemain dalam industri fesyen untuk mengikut trend agar tidak jauh ketinggalan. Namun begitu, Zeileen turut mempunyai pendirian tersendiri dalam perkara tersebut kerana enggan menjadi hamba fesyen.
“Pada pandangan saya, tidak dinafikan fesyen berubah dari semasa ke semasa. Tetapi sebagai individu, kita perlu mempunyai pendirian dalam sesuatu gaya yang ditampilkan. Usah jadi hamba fesyen dan pilih fesyen yang bersesuaian dengan personaliti. Kita boleh jatuh cinta dengan dunia fesyen tetapi apa yang penting perlu bijak memilih dan menggayakan fesyen yang bersesuaian,” ujar Zeileen seraya mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.