Siapa Huma Abedin, Wanita Islam Berprofil Tinggi, Dikhabarkan Menjalin Hubungan Dengan Bradley Cooper

Pelakon Bradley Cooper dilaporkan kembali menjalinkan hubungan cinta selepas hubungannya bersama model terkenal Irina Shayk selama empat tahun berakhir pada 2019. Dan kini Bradley digosipkan sedang mengenali rapat seorang wanita yang dikhabarkan bukan calang-calang, dan menjadi inspirasi kaum wanita di Hollywood, terutama sekali dari kalangan komuniti Muslim di sana.

Menurut media antarabangsa People.com, Huma Abedin yang berusia 45 tahun didakwa telah menjalin hubungan dengan Bradley sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas diperkenalkan oleh Editor in Chief Vogue, Anna Wintour. Khabarnya, Huma dan Anna dah lama bersahabat baik.

Menurut media antarabangsa, wanita tersebut adalah seorang wanita Muslim yang berprofil tinggi dalam bidang politik. Namun siapakah beliau, dan kenapa Huma Abedin menjadi bualan ramai walaupun beliau bukanlah seleberiti mahupun artis Hollywood terkenal.

Foto: Instagram (@humaabedin)

Untuk pengetahuan, Huma Abedin atau nama sebenarnya Huma Mahmood Abedin dilahirkan di Michigan dan kemudiannya dibesarkan di Arab Saudi. Dan sejurus selepas kelahirannya, ibu bapanya berhijrah dari India, kemudian Pakistan dan seterusnya Amerika Syarikat sebelum akhirnya berpindah ke Arab Saudi.

Foto: Instagram (@humaabedin)

Dalam satu temubual bersama media antarabangsa, Huma menjelaskan beliau sentiasa bangga dengan darah keturunanannya, sebagai seorang “Muslim American”.

Rupanya Huma Abedin adalah susuk terkenal yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia politik Amerika Syarikat. Ini selepas beliau dilantik menjadi pembantu peribadi kepada ahli politik terkenal Amerika Syarikat dan wakil ketua untuk pencalonan presiden Hillary Clinton tahun 2016. Huma juga merupakan Timbalan Ketua Kakitangan untuk Hillary dari tahun 2009 hingga 2013.

Foto: Getty Images

Kariernya juga dilihat berkembang selepas menjadi antara orang paling dipercayai Hillary Clinton di Jabaran Luar Negeri sebagai penasihat selama kempen presidensinya berlangsung.

“Saya telah mengenali Huma Abedin selama 25 tahun dan saya tidak dapat membayangkan kehidupan saya tanpa dirinya,” ciap Clinton dalam catatan Instagramnya yang didedikasikan untuk Abedin suatu ketika dahulu.

Hima Abedin pula mempunyai seorang anak lelaki, Jordan, 10, hasil perkongsian hidup bersama bekas suaminya, Anthony Weiner.

Wanita yang mahir berbahasa Arab ini berpisah dengan bekas ahli kongres Demokrat pada 2017 selepas lelaki tersebut terbabit dengan skandal seks politik dan mengaku mengalami trauma sehingga kes penceraian dan hak asuh anak selesai tahun lalu.

Berikutan dengan apa yang sudah berlaku dalam hidupnya, pada November 2021 Huma mendokumentasikan sebuah buku memoir yang bertajuk Both/And: A Life in Many Worlds, yang mengetengahkan pandangan terperinci tentang skandal seks Weiner dan bagaimana kontroversi itu menjejaskan kempen presiden Clinton 2016.

Foto: Instagram (@humaabedin)

Kisah kombinasi politik dan peribadi setebal 500 muka surat itu juga mengisahkan kehidupan awalnya di Kalamazoo, Michigan termasuklah kisah sepanjang dirinya dibesarkan dalam keluarga India-Pakistan di Arab Saudi.

Huma juga pernah mengakui pernah bergelut dengan serangan anxiety akibat dari skandal seks bekas suaminya. Namun keadaannya kini beransur pulih selepas menghadiri terapi, semua ini dikongsikan dalam buku memoirnya.

Foto: Instagram (@humaabedin)

Share
Published by
webadmin