Siapa Kata Wanita TAK HEBAT? DR WAN WARDATUL AMANI Jadi SAINTIS Wanita Di NASA!

Malaysia sebenarnya sudahpun melahirkan ramai pakar bidang professional yang berkualiti. Dan mereka adalah antara wanita yang memikul pelbagai tanggungjawab termasuk sebagai isteri dan ibu. Dr. Wan Wardatul Amani adalah salah seorang saintis Malaysia bertaraf antarabangsa!

Tembok keselamatan yang menempatkan The National Aeronautics and Space Administration (NASA) di Amerika Syarikat dikawal ketat anggota tentera bertubuh sasa, lengkap berseragam kemas dengan senjata api di sisi. Bukan sebarangan individu yang diberi akses, kecuali pakar-pakar sains dunia dan pelawat tertentu untuk masuk ke dalamnya.

 

Namun seorang wanita Malaysia bernama Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim, beliau mendapat greenlight sama seperti kelebihan yang diterima warga Uncle Sam di sana. Kelebihan itu cukup membanggakan negara kerana perwakilan NASA sendiri yang memilih perkhidmatan dan kepakaran beliau, seorang warga negara Malaysia dalam salah satu kajian penting kelolaan NASA.

Sesekali terdengar jet-jet pejuang berdesup membelah langit, termasuklah si Apache yang dibanggakan rakyat Amerika. “Canggihnya peralatan ketenteraan yang dimiliki Amerika. Itulah suasana yang terhidang setiap kali saya melangkah masuk ke makmal NASA untuk memulakan tugasan. Pagi-pagi lagi boleh lihat helikopter yang senyap bunyinya melakukan latihan.

Sekembalinya saya ke Malaysia, ramai yang tanya adakah makmal NASA sebegitu hebat dan gah? Saya hanya mampu tersenyum, kerana peralatan mereka tidaklah fancy seperti yang kita sangkakan. Cuma setiap satu daripadanya berfungsi dengan baik dan ada tujuannya,” ujar wanita kelahiran Pulau Pinang tersebut.

PENERAJU PROJEK

Kelantangan suara anak kepada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor dan isteri ini mula menjadi tumpuan lensa media selepas beliau mendapat tawaran mengetuai projek penyelidikan SporeSat di angkasa. Kegigihan Dr. Amani merungkai kajian yang ‘tergantung’ selama dua tahun hanya dalam masa tiga bulan membuka mata saintis NASA akan kemahiran ajaib yang ada pada Dr. Amani.

 

“Bekerja dengan orang putih ini mudah sahaja. Asalkan kita ada brain dan skill, mereka akan meletakkan kita sebaris dengan saintis-saintis lain walaupun berlainan negara, bangsa dan agama. Di dalam projek tersebut, saya berjaya meraih kepercayaan mereka dalam mengendalikan kajian. Rasa berbaloi 16 jam saya dedikasikan waktu di dalam makmal hanya untuk melihat projek itu berjaya. Mereka nampak keupayaan kita untuk bekerja, bukan menilai kita dari warna kulit, darjat dan latar keluarga,” ujar Dr. Amani.

 

“Jelas terlihat wanita di Malaysia sebenarnya memikul banyak tanggungjawab dan they are wearing many hats. Saya sendiri kagum melihat saintis Malaysia, kawan-kawan saya yang boleh berjaya walaupun perlu menguruskan suami dan anak-anak. Pada masa sama, mereka juga bekerja untuk menambah pendapatan keluarga dan ada yang ingin meneruskan minat dalam bidang diceburi. It’s a standing ovation to all of them

!”

Menolak andaian ramai bahawa pakar sains adalah kerjaya membosankan, Dr. Amani menegaskan bahawa apa yang dilakukannya berawal daripada perasaan ingin tahu seorang wanita Islam dalam mengungkai keajaiban Allah.

“Saintis NASA adalah saintis yang mempunyai rasa ingin tahu yang cukup tinggi. Sepatutnya, kita sebagai orang Islam inilah yang patut tanam perasaan itu supaya kita tahu dan mensyukuri setiap nikmat yang Allah cipta di atas muka bumi ini. Saya kagum dengan salah seorang saintis Amerika yang sudahpun berusia 70 tahun tetapi masih dedikasi membuat kajian demi kajian untuk mendapatkan jawapan kepada persoalannya.

Dr. Amani tidak menolak kenyataan yang dia sering juga berselisih pendapat dengan ayahnya, seorang mufti yang berdiri di atas landasan agama lebih tinggi. “Kami berselisih pendapat tetapi lebih kepada perbincangan dua hala. Dunia sains dan agama secara kasarnya nampak berbeza tetapi ia merujuk maksud yang sama,” tegasnya.

CABARAN

“Apabila kita didorong minat mendalam terhadap apa yang kita lakukan, segalanya terlihat mudah dan indah. Bohong jika saya katakan ranjau di negara orang tidak pernah singgah dalam diari hidup saya. Namun, pesan ibu dan ayah saya tanam dalam hati malah doa kepada-Nya tidak pernah putus.

 

Saya tidak terkejut dengan tawaran NASA kerana saya tahu saya sudah mencuba sedaya upaya serta penuh dedikasi dalam dunia sains ini. Minat saya tidak pernah mati dan penat untuk mengkaji lebih mendalam lagi dunia yang tidak asing bagi saya. Di sana, saya tak pernah rasa tertekan kerana suasana bekerja yang seronok.

 

Jujurnya saya suka cara kerja yang diamalkan di sana. Walaupun bekerja dalam bidang yang ‘dikatakan’ sibuk dan ‘tidak kenal dunia’, tetapi hakikatnya kami sangat seronok. Di sana, mereka menekankan agar kakitangan dapat menguruskan keluarga dengan baik.

 

Ada di kalangan kami yang bekerja dari rumah kerana ingin menguruskan anak-anak dan keluarga tetapi hasil kerja mereka sangat menakjubkan! Saya percaya, majikan yang tahu mengimbangi antara kerjaya dan keluarga adalah majikan yang membuka ruang keselesaan dan kejayaan untuk kakitangan,” katanya.

 

 

Menceritakan momen tragis di Pantai Timur beberapa tahun lalu membuatkan Dr. Amani terpanggil untuk terus berbakti kepada negara.  “Pengalaman saya sewaktu banjir besar beberapa tahun lepas membuatkan saya rasa marah dan sangat sedih. Saya terkejut kerana ketika itu penduduk setempat tidak mempunyai bekalan air bersih untuk diminum walaupun sudah tahun 2014! Ia sungguh mendukacitakan.

 

Sebenarnya Malaysia tidak pernah surut dengan kejayaan anak muda tempatan yang berjaya dalam bidang sains di luar negara namun mereka kembali ke sini dengan diberikan helaian-helaian paperwork dan melakukan kerja-kerja clerical admin. Saya rasa peluang patut diberikan kepada mereka kerana mereka berada dalam situasi semasa, segar dan terkini. Idea mereka perlu didengari dan dana perlu disumbangkan secara berterusan, bukan separuh jalan,” akhiri Dr. Amani.

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
KR