Dalam meraikan kejayaan manis ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, pasti peminat sukan gimnastik pernah mendengar nama Nadia Comaneci yang turut digelar wanita teragung sukan gimnastik abad ke-20.
Mana tidaknya, Nadia Comaneci merupakan gimnas pertama yang menerima markah sempurna sebanyak 10 markah dalam sukan gimnastik yang diperolehinya ketika menyertai Sukan Olimpik.
Nadia Elena Comaneci dilahirkan pada 12 November 1961. Dia merupakan seorang ahli gimnastik Romania yang memenangi lima pingat di Sukan Olimpik dan yang pertama menerima markah sempurna sebanyak 10 markah dalam sukan gimnastik di Sukan Olimpik.
Dia dianggap oleh sebahagian sebagai ahli sukan teragung bagi abad ke-20 dan salah seorang ahli gimnastik terbaik sepanjang masa.
Dilahirkan di Onesti, Romania, Comaneci merupakan anak kepada pasangan Gheorghe dan Stefania-Alexandrina. Dia dipanggil Nadya, singkatan dari ‘Nadyezhda’ yang bermaksud harapan, wirawati dalam filem Rusia.
Nadia Comaneci pertama kali bertanding pada peringkat kebangsaan Romania pada tahun 1970, sebagai ahli pasukan bandar tempatannya.
Dia kemudiannya dilatih oleh Bela Karolyi dan isterinya Marta, yang kemudian berpaling tadah ke Amerika Syarikat dan menjadi jurulatih kepada ramai ahli gimnastik Amerika Syarikat.
Setelah menjadi seorang remaja yang berumur 13 tahun, kejayaan pertama Comaneci adalah pada tahun 1975 di Pertandingan Eropah (European Championships) di Skien, Norway, memenangi tiga pingat emas dan satu perak.
Pada pertandingan Pra-Olimpik di Montréal pada tahun 1975, Nadia memenangi gelaran Keseluruhan (All-Around). Pada tahun yang sama Associated Press menamakannya sebagai Athlete of the Year.
Pada usia 14, Comaneci menjadi bintang pada Sukan Olimpik 1976 di Montréal, Québec. Bukan sahaja dia menjadi ahli gimnastik pertama di Sukan Olimpik yang menerima markah penuh 10 markah (yang diulanginya sebanyak 6 kali), dia juga memenangi tiga pingat emas keseluruhan, individu, tiang imbangan (balance beam) dan bar tidak selari, pingat perak untuk (pasukan keseluruhan) dan pingat gangsa untuk senam lantai.
Di negaranya, kejayaannya menjadikan dia dinamakan ‘Hero of Socialist Labor’, orang Romania termuda menerima pengiktirafan tersebut. Nadia mendapat 19 markah penuh sebelum ke Montreal.
Comaneci berjaya mempertahankan gelaran keseluruhan pada tahun 1977 tetapi pasukan Romania menarik diri dari bertanding dalam acara akhir apabila terlibat dengan kontroversi mengenai bantahan pemberian markah.
Comaneci hadir di Pertandingan Dunia 1978. Dia terjatuh pada acara bar tidak selari sekaligus beliau menduduki tangga keempat terakhir tetapi memenangi acara alang imbangan (beam title).
Pada tahun 1979, Comaneci memenangi gelaran keseluruhan Eropah ketiga berturut-turut menjadi ahli gimnastik pertama lelaki atau perempuan yang melakukannya.
Pada Pertandingan Dunia (World Championships) Disember berikut, Comaneci mendahului selepas pertandingan wajib diadakan tetapi dimasukkan ke dalam hospital akibat keracunan darah pada lengannya dari pengikat genggaman besinya.
Beliau mengingkari arahan doktor lalu dia meninggalkan hospital dan melengkapkan acara tiang alang di mana dia memungut 9.95 markah. Prestasinya memberikan Romania memenangi pingat emas berpasukan yang pertama.
Dia bertanding dalam Sukan Olimpik Musim Panas 1980 di Moscow, Rusia dan mendapat tempat kedua keseluruhan di belakang Yelena Davydova.
Comaneci mengekalkan gelarannya dalam alang imbangan yang seri untuk pingat emas. Dalam acara senam lantai (floor exercise) pasukan Romania menduduki tempat kedua.
Comaneci bersara dari bertanding sejurus selepas pertandingan ini. Pertandingan utama terakhirnya adalah di Perlawanan Universiti Dunia di Bucharest pada tahun 1981 di mana dia memenangi 5 pingat emas. Bagaimanapun terdapat tuduhan berat sebelah di kalangan hakim kerana Romania diwakili separuh daripada hakim di situ.
Antara 1984 dan 1989 dia merupakan ahli Persekutuan Gimnastik Romania – Romanian Gymnastics Federation dan membantu melatih ahli gimnastik muda Romania.
Pada November 1989, dia berpaling tadah ke Amerika Syarikat. Comaneci menghabiskan banyak masa melawat, mengiklankan pakaian dan peralatan gimnastik, mengiklankan pakaian dalam Jockey, peralatan aerobik, dan juga sebagai model pakaian perkahwinan.
Pada tahun 1994, dia bertunang dengan ahli gimnastik Amerika Syarikat, Bart Conner dan kembali ke Romania untuk kali pertama selepas berpaling tadah. Comaneci dan Conner berkahwin di Romania pada April 1996.
Dia kini sibuk dengan gimnastik dan kerja amal seluruh dunia. Dia dan suaminya memiliki Akademi Gimnastik Bart Conner, Syarikat Pengeluar Sempurna 10 dan beberapa kedai peralatan sukan dan merupakan editor majalah International Gymnast. Pada 29 Jun 2001, dia menjadi warganegara (naturalized citizen) Amerika Syarikat.
Comaneci merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Olimpik Khas (Special Olympics) Antarabangsa, Presiden Kehormat Persekutuan Giminastik Romania, Presiden Kehormat Jawatankuasa Olimpik Romania, Duta Sukan Romania, Timbalan Presiden Lembaga Pengarah Persatuan Distrofi Otot, dan Ahli bagi International Gymnastics Federation Foundation.
Dia menerima dua anugerah Olympic Order daripada IOC. Dia juga telah dimasukkan ke dalam International Gymnastics Hall of Fame.
Pada Disember 2003, buku pertamanya Letters To A Young Gymnast, diterbitkan. Buku ini merupakan riwayat hidup, menjawab persoalan yang diterimanya melalui surat peminat. Comaneci memulakan klinik amal di Bucharest untuk membantu anak-anak yatim di Romania.
Kini, pada usia 56 tahun, Nadia masih kelihatan menawan dan minat terhadap sukan gimnas masih mendalam dalam dirinya. Wanita ini merupakan sumber inspirasi gimnas seluruh dunia sehingga kisahnya difilemkan untuk menjadi inspirasi dalam sukan gimnastik! Rosmah Idayu Abu Samah
This website uses cookies.