Terkenal dengan nama-nama besar seperti Aleeza Kasim, Juliana Banos, Annahita Bakavoli, Scha Alyahya, Neelofa, Raysha Rizrose, Shaza Bae dan terkini, Tracie Sinidol, pertandingan Dewi Remaja yang mencipta ramai selebriti popular tanah air kini bakal kembali tidak lama lagi.
Mencecah hampir 4 dekad usia penganjuran, pertandingan Dewi Remaja kini kembali dengan edisi terbaharu yang lebih ‘mengancam’.
Kali ini, dua pertandingan disatukan serentak – Dewi Remaja dan Hero Remaja – menerusi Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 sebanyak 8 episod bermula 10 November ini di saluran Astro Ria.
Seramai 16 finalis telah pun diumumkan dalam sebuah sidang media eksklusif anjuran Majalah Remaja.
Menampilkan juara Dewi Remaja 2005/06, Scha Alyahya sebagai mentor serta juri tetap, pencarian kali ini buat julung kalinya disertai 8 finalis lelaki dan 8 finalis perempuan bagi mencari bakat paling menonjol serta berpotensi tinggi.
Kesemua finalis telah dipilih menerusi empat sesi uji bakat yang dilangsungkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Petaling Jaya.
Penganjuran uji bakat Hero Dewi Remaja 2023 telah menerima penyertaan lebih daripada 850 peserta. Menariknya, sepanjang empat minggu uji bakat berlangsung, siaran video di media sosial telah berjaya mencapai lebih 30 juta tontonan.
Menurut Fiezreen Ahmad selaku Ketua Bahagian New Gen dan Men & Hobbies, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, pencarian Hero Dewi Remaja 2023 dijangka akan memberi impak berbeza disebabkan kelainan yang dipersembahkan buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran jenama ini.
“Hero Remaja & Dewi Remaja merupakan sebuah legasi ulung yang dicetuskan oleh Majalah Remaja. Berevolusi dari dunia cetak ke dunia digital, dua pencarian ini terus berkembang seiring zaman.
Sepanjang penganjurannya selama lebih 38 tahun, ramai permata industri seni dilahirkan. Antara generasi baharu pertandingan ini yang kini menjadi bualan hangat seperti Nadhir Nasar, Meerqeen, Anna Jobling, Shaza Bae, Mierul Aiman, Amir Ahnaf dan Tracie Sinidol.
Meneruskan legasi ini, sepanjang uji bakat diadakan, para peserta telah diuji dari pelbagai aspek antaranya personaliti diri, bakat, pengetahuan am dan gaya komunikasi.” Fiezreen Ahmad
Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari pula berkata, “Berdiri teguh sebagai platform yang mampu melahirkan bakat baharu generasi muda, Astro Ria teruja untuk mempersembahkan ‘Hero Dewi Remaja 2023’, gabungan dua jenama pencarian Hero dan Dewi terkemuka yang diterjemah ke dalam edisi terbaharu menerusi kerjasama Astro dan Nu Ideaktiv ini.”
Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 bakal ditayangkan menerusi lapan (8) episod bermula 10 November, pada setiap hari Jumaat jam 10 malam di saluran Astro Ria.
Selain bertanding menerusi cabaran episod yang ditayangkan, 16 finalis terpilih juga bertanding dari aspek populariti serta duo terbaik menerusi undian peminat yang dibuka bermula 10 November sehingga ke malam finale kelak untuk mengetahui siapakah yang akan bergelar Hero dan Dewi Favourite 2023 serta Best Chemistry Duo.
Pertandingan Hero Dewi Remaja 2023 merupakan kerjasama di antara Nu Ideaktiv Sdn Bhd selaku penganjur dan Astro Ria selaku penyiar rasmi. Siapakah yang bakal meneruskan legasi HERO REMAJA dan DEWI REMAJA yang disandang oleh juara terdahulu? Sama-sama kita nantikan!
This website uses cookies.