Sibuk Berebut Anak Orang, Anak Lain Pula Terus Terbiar…

Baru-baru ni heboh betul isu sepasang suami isteri pengasas kosmetik terkenal memulangkan semula anak angkatnya kepada mak kandung si bayi. Salah siapa sebenarnya?

Ramai yang menyalahkan ibu kandung, tak kurang juga yang menuding jari pada pasangan ini. Kalau diikutkan, ramai juga keluarga angkat yang terkena kes macam ni kan?

Hanya kerana ‘dia’ anak orang ternama, satu Malaya terus diserang kesayuan tatkala video si kecil dimainkan berkali-kali. Tetapi kita lupa, lebih ramai lagi anak-anak yatim piatu dan terbiar yang menghuni rumah-rumah kebajikan. Saban tahun, ruang rumah ini semakin padat, jarang-jarang sekali yang diambil menjadi anak angkat.

Paling sedih, bila ada di antara anak-anak yang sudah melalui proses pengangkatan dipulangkan semula gara-gara ‘tak dengar kata’ dan ‘sukar di didik’. Biar betul? Takkan baru sebulan dua si anak angkat tinggal sebumbung, anda harapkan dia menjadi setaat yang diarahkan? Lagi-lagi bagi pasangan yang mengambil anak angkat berusia dua tahun ke atas.

Apa yang berlaku kepada kanak-kanak di rumah kebajikan?

Rumah-rumah kebajikan kini tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Ada yang berdaftar, ada yang tidak. Semakin banyak rumah kebajikan dibuka, semakin ramai penghuni yang dihantar ke sini. Rata-rata anak-anak ini sudahpun menyimpan memori dan naluri kekecewaan. Mereka sudah ditanam dengan sifat dan fiil tersendiri.

90 peratus kanak-kanak  yang dihantar ke rumah kebajikan masih mempunyai keluarga manakala hanya 10 peratus sahaja anak yatim piatu. Masalah ekonomi keluarga menjadi penyebab utama anak-anak ini dihantar ke rumah kebajikan. Jangan salahkan si anak bila mereka memberontak kerana bagi mereka, kehadiran dalam keluarga bagai satu bebanan.

 

Penubuhan Yayasan OrphanCare, sebuah NGO yang menyatukan semula sebuah keluarga harus diberi perhatian. Usaha mereka adalah untuk mengeluarkan anak-anak yatim dari rumah kebajikan agar mereka mendapat kasih sayang sebenar sebuah keluarga agar keutuhan sebuah keluarga berkekalan.

Baki 10 peratus anak-anak di rumah kebajikan ini pula layak dijadikan anak angkat. Jabatan Kebajikan Masyarakat sudahpun mempunyai garis panduan dan syarat tetap untuk menjalankan proses pengangkatan dan pasti tidak akan timbul isu pemulangan semula.

Anak-anak yang membesar di rumah kebajikan cenderung untuk terlibat dengan gejala negatif kerana mereka hanya diterima untuk menginap di sana sehingga umur 18 tahun sahaja.

Apa yang berlaku selepas itu, hanya ditentukan oleh nasib dan usaha mereka sendiri. Ada yang berhati rapuh sehingga sanggup bergelumang dengan najis dadah, pelacuran dan jenayah berat lain kerana mereka tiada hala tuju.

‘Mengeluarkan’ mereka dari rumah kebajikan lebih awal mampu mencegah kegiatan ini dari berlaku. Namun, setiap kebahagiaan perlukan pengorbanan.

Berikan mereka masa untuk mengenali anda dengan lebih baik, bertutut Bahasa anda, bergerak senafas dengan anda kerana ada di antara mereka tidak pernah merasai nikmat kasih sayang.

Yayasan OrphanCare

Ramai yang masih tak tahu kewujudan yayasan ini. Moto mereka, ‘Setiap kanak-kanak memerlukan sebuah keluarga’ jelas menunjukkan usaha mereka untuk memberikan kasih sayang keluarga untuk anak-anak terabai.

Di sini, mereka juga mempunyai ‘kotak penyelamat bayi’ atau baby hatch di mana bayi yang tidak boleh dijaga ibu kandung diletakkan di sini untuk diberikan kepada keluarga angkat.

Proses pengangkatan yang dilakukan adalah mengikut garis panduan JKM. Terdapatnya persetujuan bertulis di antara mak kandung dan keluarga angkat untuk mengelakkan berlakunya isu perebutan di antara  mak kandung dan keluarga angkat.

Layari laman web mereka untuk info lebih lanjut ok!

 

Sumber foto: Facebook OrphanCare Foundation

Share
Published by
KR