Sibuk Sangat Tengok Handphone Sampai Suami Pun Diabaikan! Kalau Sayang Rumah Tangga, Ingat Pesan Ustazah Sharifah Khasif Ni

Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman atau lebih dikenali sebagai Ustazah Sharifah Khasif menjawab persoalan tentang KONFLIK RUMAH TANGGA

Soalan: Dalam sebuah perkahwinan, konflik itu adalah lumrah. Konflik adakalanya memberi hikmah kesedaran buat pasangan untuk menyedarkan mereka tentang kepincangan yang wujud dalam rumah tangga seterusnya dapat bermuhasabah diri demi mencari redha Ilahi dan kebahagiaan bersama. Namun kini ramai pasangan yang mudah tewas dengan ujian lantas mengambil keputusan yang di luar jangkaan. Apakah punca pencetus konflik dan pendekatan yang boleh diambil untuk mempertahankan kerukunan rumah tangga?

Jawapan: Perkahwinan ialah fitrah yang menyatukan dua jiwa ke arah pembentukan sebuah keluarga yang harmoni. Di dalamnya terdapat berbagai hak dan kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh setiap pasangan. Justeru, perkahwinan mampu menjadi tempat berlindung dan berkongsi kesenangan serta kesusahan.

Ustazah Sharifah Khasif

Banyak faktor tercetusnya konflik dalam rumah tangga. Antaranya ialah kelemahan dalam komunikasi. Komunikasi adalah satu kemestian dalam perkahwinan. Komunikasi yang harmoni menjadikan perkahwinan tersebut lebih bahagia dan saling memahami. Namun begitu, kealpaan dalam komunikasi menjadikan perkahwinan hambar dan tiada roh. Komunikasi yang lemah boleh membuatkan pasangan salah sangka terhadap sesuatu isu yang menyebabkan perbalahan yang berpanjangan. Jika tidak terkawal boleh mencetuskan perceraian.

Kurangnya pengetahuan tentang ilmu perkahwinan turut menjadi punca. Ramai pasangan yang berkahwin hanya kerana mereka ingin berkahwin. Mereka tidak pernah mempelajari ilmu perkahwinan bagi melahirkan perkahwinan yang bahagia. Ini menyebabkan pasangan tersebut tidak mengetahui bagaimana untuk mengendalikan konflik yang berlaku dalam rumah tangga mereka.

Seterusnyaa ialah tidak memahami tanggungjawab dan peranan masing-masing. Ada pasangan yang berkahwin tetapi tidak mengetahui tanggungjawab mereka sebagai suami dan isteri. Mereka masih lagi mengamalkan cara hidup seperti masih bujang dan masih berfoya-foya dengan rakan-rakan tanpa memikirkan kehendak pasangan.

Antara pendekatan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan konflik dalam rumah tangga:-

HARGAI PASANGAN

Hargailah pasangan anda. Apa yang Allah SWT tetapkan untuk kita adalah yang terbaik buat kita. Jangan mencari-cari kelemahan pasangan. Bina keluarga dan cari jalan untuk sama-sama dalam melakukan amalan yang boleh mendekatkan diri dengan sang Pencipta.

SENTIASA BERSAMA

Bersama menjalani kehidupan berumahtangga walau dalam susah mahupun senang. Keraplah melakukan aktiviti seharian bersama seperti memasak dan mengemas rumah. Elakkan terlalu kerap dengan telefon bimbit sehingga pasangan depan mata pun diabaikan. Jika berkelapangan pergilah bercuti bagi menambahkan lagi kemesraan dan persefahaman.

TIDAK BERAHSIA

Jujur adalah segalanya dalam hubungan. Jangan suka berbohong. Katakan yang benar walaupun pahit kerana itu yang diajar oleh agama. Amalkan sikap berterus-terang antara satu sama lain dan jangan memendam perasaan contohnya tidak puas hati. Jujurlah demi kebahagiaan bersama serta saling mempercayai.

JANGAN MENYAKITI PASANGAN

Hormatilah pasangan dengan menjauhkan perkara yang menyakiti perasaannya. Jika pasangan  tidak menyukai sesuatu yang anda lakukan dan perbuatan itu tidak berfaedah belajarlah untuk meninggalkannya demi kebahagiaan bersama. Apa pun, pengorbanan dari setiap sudut perlu ada dalam mencapai matlamat hidup untuk mencari redha Allah SWT.

 

Share
Published by
KR