Dalam sehari, berapa banyak air yang perlu diminum sebenarnya? Inilah persoalan yang sering menjadi tanda tanya, khususnya golongan yang menjaga diet kepada pempengaruh kesihatan, Dr Malar Santhi Santherasegapan.
Nak tubuh sihat, penghadaman lancar dan dapatkan kulit yang cantik… Betul ke perlu minum hingga 3 liter air sehari? Penjelasan Dr Malar yang merupakan Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia menerusi satu rakaman video beri pencerahan.
“Sebenarnya jumlah air yang tubuh anda perlukan setiap hari bukan 2 liter, bukan 3 liter, bukan lapan gelas.” @celotehdrmalar
Menurut Dr Malar yang pernah diiktiraf Nona Health Influencer Award dalam Nona Superwoman Award 2022, kuantiti cecair yang seseorang itu perlu minum adalah berdasarkan formula pengiraan berat badan dalam kilogram (kg) dan didarabkan dengan 0.03.
Sifirnya jom tengok perkongsian video ini…
MINERAL
Selain daripada air, tubuh manusia juga memerlukan beberapa mineral untuk organ dan otot dalam tubuh kita. Orang ramai bagaimanapun sering terlepas pandang tentang keperluan mineral zat besi dan zink.
Jelasnya, individu yang mengalami kekurangan kedua-dua mineral tersebut berkemungkinan untuk mengalami anemia, keguguran rambut, kuku rapuh dan juga kulit yang kusam.
“Saya tak sarankan anda ambil suplemen zink atau zat besi. Melainkan doktor yang prescribe,” ujarnya.
Sebaliknya, beliau menyarankan orang ramai untuk mendapatkan mineral tersebut secara semula jadi melalui makanan seperti daging, ayam, telur, sayur-sayuran hijau dan kekacang.
Seterusnya, mineral lain yang diperlukan badan adalah magnesium. Kata Dr Malar, seseorang itu memerlukan sekurang-kurangnya 300 hingga 400 miligram (mg) magnesium setiap hari. Sekali lagi doktor itu tidak menyarankan orang ramai untuk mengambil supplemen.
Beliau telah menyenaraikan beberapa makanan yang boleh diambil untuk mendapatkan mineral itu. Antaranya adalah dark chocolate, peanut butter dan juga kacang badam.
Seseorang yang kekurangan magnesium akan selalu rasa sakit-sakit urat, tarik-tarik dekat betis, sukar tidur malam atau insomnia dan kesakitan semasa haid.
Beliau turut memberitahu bahawa orang ramai juga memerlukan silika yang merupakan mineral penting untuk pembinaan kolagen.
Adakah mereka yang sudah makan kolegen masih perlu mengambil silika?
Ujarnya, kolagen dianggap sebagai tulang rangka dan silika adalah sebuah komponen yang menguatkan rangka kolagen dan juga memberi keanjalan.
“Silika penting untuk kesihatan tulang, sendi, kulit, rambut dan juga kuku yang kukuh. Jadi, pastikan ambil jumlah silika yang cukup setiap hari sama ada daripada makanan ataupun minuman.”
Mineral tersebut disarankan untuk diambil kira-kira 10 hingga 25mg sehari. Ujarnya, silika boleh didapati di dalam air mineral atau sumber makanan seperti pisang, beras perang dan kacang hijau.
Justeru, bagi memastikan tubuh badan yang sihat, seseorang perlu minum air secukupnya dan memastikan pengambilan mineral-mineral berkenaan setiap hari.
“Sekali lagi saya tak sarankan ambil suplemen, sebaiknya kita boleh ambil sumber-sumber ini melalui makanan atau minuman semula jadi,” akhirinya.
This website uses cookies.