Gaya Hidup

Simbolik KUDA Dalam Perkahwinan Dato’ Mohd Roze dan Dato’ Norfaizah

Setiap pasangan pengantin baru pastinya mempunyai cerita tersendiri saat perkenalan yang menjadi kenangan abadi buat selama-lamanya.  Begitu juga buat pasangan Dato’ Mohd Roze Bin Mohd Shaari dan Dato’ Norfaizah Bt Hj Zainal. Kisah perkenalan mereka bermula melalui aktiviti bersukan.

“Perkenalan saya dengan Dato’ Roze adalah melalui seorang sahabat saya yang selalu bermain golf bersama saya di The Mines dimana beliau ketika itu adalah pegawai pemerintah sukan berkuda PDRM.

“Beliau selalu menyuruh saya bermain sukan berkuda untuk menemani boss beliau iaitu Dato’ Roze.  Dato’ Roze amat menggemari sukan ini dan beliau sangat cekap.  Selama 6 bulan, saya tidak mengendahkan langsung permintaannya itu kerana minat saya hanyalah bermain golf dan menunggang motor berkuasa tinggi,” ujar Dato’ Norfaizah memulakan bicara.

“Pada masa itu saya juga aktif menjalankan aktiviti amal seperti mengumpulkan dana untuk Yayasan Anak-Anak Yatim Tuanku Hajjah Haminah iaitu bekas permaisuri agong yang lalu. Saya dan Tuanku mempunyai hobi yang sama. Sekiranya tiada perlawanan golf,  saya dan Tuanku akan membuat latihan bersama bekas ADC Tuanku Permaisuri Agong iaitu SAC Dato’ Mastor bin Md Arif  yang bertugas sebagai juruiring polis,” ujar Dato’ Norfaizah lagi.

Bermula dengan menyahut cabaran bekas ADC Tuanku Permaisuri Agong  untuk mencuba sukan berkuda dengan beliau, Dato’ Norfaizah  menyahut cabarannya untuk belajar bermain kuda.

“Saya telah diperkenalkan kepada Dato’ Roze yang juga seorang yang mahir dalam  sukan berkuda. Suatu hari saya telah menyertai Kejohanan Piala ‘Endurance Ketua Polis Negara’ bersama Dato’ Roze dan rakan-rakan yang lain.  Saya menunggang kuda sangat perlahan sehingga menimbulkan kemarahannya. Dalam keadaan masih marah saya sempat bagitahunya ayat yang membuatkan dia terkejut.  “you nak kejar piala, you kejar laa, you dapat piala, tapi you tak dapat I”.

“Saya tetap meneruskan perjalanan namun kelibat Dato’ Roze sudah tidak kelihatan dari pandangan.  Masa inilah saya uji Dato’ Roze.  Bila saya hampir ke hadapan, saya ternampak Dato’ Roze masih menunggu saya.  Saya rasa terharu dan masa itulah bermulanya detik-detik saya menyayangi Dato’ Roze kerana dalam kejohanan ini  Dato’ Roze hampir ‘disqualified’ kerana saya. Keputusannya kumpulan saya telah mendapat tempat yang terakhir di dalam pertandingan,” ujar Dato’ Norfaizah panjang lebar bercerita mengenai perkenalan bersama suami tersayang  kira-kira tiga tahun yang lalu.

 

Enggan melepaskan wanita yang berjaya membuka pintu hati, Dato’ Roze telah melamar Dato’ Norfaizah ketika menyambut ulangtahun kelahirannya pada April 2017. Namun ketika itu, perasaan   ragu-ragu untuk menamatkan zaman bujang masih wujud di dalam diri Dato Norfaizah. Namun sikap Dato’ Roze  yang budiman,, penyabar, penyayang, romantik dan tidak pernah berkira membuka pintu hati Dato’ Norfaizah untuk menerima lamaran tersebut. Pada tanggal 10 Ogos 2018, rombongan merisik dihantar untuk menemui keluarga Dato’ Norfaizah yang ternyata tidak percaya wanita yang gemar berdikari seperti Dato’ Norfaizah bakal mendirikan rumahtangga.

“Pada mulanya mereka tidak percaya kerana mereka tahu bahawa saya sudah terbiasa hidup membujang dan terlalu ‘independent’.  Ibu dan kakak adalah orang yang memberi galakan sepenuhnya untuk saya teruskan hasrat berumahtangga manakala ayah dan abang-abang saya mengikut sahaja keputusan sepakat yang dibuat,. Acara merisik telah diadakan serentak bersama majlis pertunangan.   Majlis pertunangan telah diadakan di Tamingsari Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, ” ujar Dato’ Norfaizah yang ramah dan mudah didekati.

Pada majlis pertunangan, rombongan pihak lelaki membawa 9 dulang hantaran berupa cincin berjenama Cartier,sirih junjung, sepasang kasut berjenama Hermes, tas tangan Channel Boy, sepasang kain Lace, seutas jam tangan Frank Muller, alat solekan jenama Channel dan wangian Bond, senaskah al-Quran beserta sejadah serta manisan berupa kek. Manakala pihak wanita membalas dengan 11 dulang hantaran berupa cincin berjenama Cartier, sirih junjung, sepasang Baju Melayu & Songket, sepasang kasut LV, seutas jam tangan Frank Muller, persalinan Hermes, wangian jenama Channel, manisan kek, coklat serta al-Quran bersama sejadah.

Setelah lima bulan mengikat tali pertunangan, tarikh 18 Januari 2019 menyaksikan pasangan ini diijabkabul sebagai pasangan suami isteri.  Taman Mahsuri Courtyard, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur menjadi saksi penyatuan dua jiwa ini sebagai pasangan suami isteri. Memilih tema fairytale, ia banyak berkisar kepada detik perkenalan merpati dua sejoli ini.

“Dato’ Roze memilih fairytale kerana ianya bersesuaian dengan sukan kuda yang amat diminatinya dan di situ jugalah kisah cinta kami bermula.  Kami juga mempunyai minat yang sama  membeli barangan berjenama ‘Hermes’ yang melambangkan kuda.  Hiasan pelamin, prop yang digunakan semuanya bertemakan kuda.  Kek perkahwinan dan sebahagian dari hantaran kami juga merupakan barangan berjenama ‘Hermes’.

Sebenarnya kami ingin merialisasikan simbolik cinta kami ini di hari pernikahan untuk kenangan kami selamanya,” ujar Dato’ Norfaizah lagi.

Busana pernikahan mendapat sentuhan eksklusif dari Calvin Thoo  dan Hengki Kawilarang di samping Majestic Décor Sdn Bhd bertindak sebagai pereka dekorasi untuk majlis pernikahan.

Pada majlis pernikahan, pasangan ini turut diraikan oleh tetamu VVIP yang terdiri daripada

YMM Che Puan Besar Tuanku Hjh Haminah Binti Haji Hamidun dan YBhg Toh Puan Noor Suzanna Abdullah.

Ditanya mengenai momen pernikahan yang menjadi ingatan abadi, menurut Dato’ Norfaizah, ssaat menyarungkan cincin perkahwinan merupakan detik yang bakal dikenang sehingga ke akhir hayat.

“Semasa hendak menyarung cincin akad nikah, Dato’ Roze sangat nervous, dia menggigil ketika hendak menyarungkan cincin ke jari saya. Seolah-olah cincin saya tidak boleh disarung sehingga saya terpaksa menegur supaya cincin itu ditolakkan lebih sedikit ke jari saya. Apabila skrin besar terpapar ketika cincin disarung, semua tetamu-tetamu ketawa melihat Dato’ Roze panik. Satu lagi peristiwa yang tak dapat saya lupakan iaitu ketika saya ingin memulakan upacara memotong kek pernikahan setinggi 8 tingkat yang berkonsepkan fairytale. Tiba-tiba terdengar letupan yang kuat sehingga terlepas pisau ditangan.  Ketika itu jantung saya terasa nak gugur apabila mercun yang dipasang sebagai  gimik ketika memotong kek,” ujarnya mengenang keindahan di majlis pernikahan.

Usai majlis pernikahan, pasangan ini diraikan pula di majlis resepsi bertempat di  Taming Sari Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. Kali ini, tema Classic Italian Dome menjadi pilihan. Ditanya mengapa tema ini menjadi pilihan, katanya tema ini juga mempunyai cerita tersendiri.

“Pada bulan April 2017, saya meraikan harijadi Dato’ Roze di Milan, Italy. Pada masa itu  saya sangat tertarik dengan ‘Dome Architecture Concept Milan’ dan saya memilih Dome ini sebagai tema simbolik sempena resepsi nanti. Saya telah merekacipta rekabentuk ‘dome’ sebagai hiasan pelamin saya.  Saya juga sengaja memilih konsep ‘Dome’ sebagai ‘door gift’ untuk kenangan para tetamu yang hadir ke majlis resepsi,” ujarnya mengimbas memori.

Kali ini, antara tetamu VVIP yang meraikan pasangan mempelai termasuklah  Yang Maha Mulia  Che Puan Besar Kedah Tuanku Hjh Haminah Binti Haji Hamidun, Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak, Tuanku Soraya Bt  Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah,

Yang Teramat Mulia Tengku Temenggong Kedah, Dato’ Sri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah, Yang Amat Mulia Tan Sri Dato’ Seri Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar , Yang Amat Mulia Tunku Puteri Puan Sri Dato’ Seri Jawahir Binti Almarhum Tuanku Ja’afar dan Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Dato Sri Mohamad Fuzi Harun.

Untuk majlis resepsi, Dato’ Roze dapat merialisasikan impian  untuk menaiki kereta kuda  sambil siaran lintas langsung serta disambut oleh Pegawai Berpasukan Sword Bearer serta Bag Pipe.  Ini adalah istiadat polis yang menjadi lambang dan keinginan yang diimpikan oleh Dato’ Roze.  Persiapan Pegawai PDRM seramai 30 orang ini memerlukan  berlatih selama 2 minggu. Usai majlis meraikan tetamu, pasangan ini bakal menikmati bulan madu di  Switzerland kerana terpikat dengan keindahan negara tersebut di samping keduanya pernah berjanji untuk ke sana  sekiranya dipertemukan jodoh

Share
Published by
Rosmah Idayu