Khabar duka tentang penyanyi terkemuka, keluarga Celine Dion baru-baru ini berkongsi perkembangan terbaharu kesihatannya yang kini bertarung dengan penyakit kejang otot sukar dikawal atau Sindrom Orang Kaku (Stiff Person Syndrome).
Perkembangan terbaharu kesihatan Celine didedahkan kakaknya, Claudette dalam temu bual bersama majalah Hello! Canada.
Menurut Claudette, 74, sekalipun tidak banyak yang mampu dilakukan bagi mengurangkan penderitaan sakit beliau, namun keluarga tetap setia menemani penyanyi itu.
Claudette memaklumkan, penyanyi berusia 55 tahun itu sering mengalami kekejangan otot yang mustahil untuk dikawal. Kerana itu katanya, mereka sekeluarga berada di sisi Celine untuk memberi sokongan dan semangat kepadanya.
Claudette yang kini tinggal bersama Celine dan tiga anaknya berkata, adalah sukar untuk menyatakan jika ada atau tidak penawar bagi penyakit tersebut. Berita tentang penyakit Celine Dion diumumkan sendiri oleh selebriti tersebut pada Disember lepas.
Menurut sumber Awani, Celine juga terpaksa membatalkan semua konsert jelajah dunianya termasuk beberapa konsert di Eropah susulan penyakit yang dihidapinya.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/anak-bongsu-14-beradik-celine-dion-bukan-berasal-keluarga-kaya-berjaya-atas-kaki-sendiri/
10 Fakta Tentang Sindrom Orang Kaku
1) Sindrom Orang Kaku atau Stiff Person Syndrome
adalah gangguan neurologi yang jarang berlaku dengan ciri penyakit autoimun.2) Ia menjejaskan sistem saraf pusat dan boleh menyebabkan kekakuan seluruh badan serta kekejangan otot yang menyakitkan.
3) Ia pertama kali dikenali pada tahun 1920-an selepas doktor menggambarkan pesakit yang menghidap penyakit ini seperti ‘manusia kayu’.
4) Menurut pengarah di Institut Perubatan Johns Hopkins, Dr Scott Newsome, punca sebenar keadaan ini tidak jelas tetapi ia melibatkan sistem imun.
5) Sindrom ini tidak membawa maut, tetapi ia boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit dengan ketara. Dan seperti kebanyakan penyakit kronik, komplikasi yang berkaitan boleh menyebabkan jangka hayat pesakit menjadi pendek.
6) Dr Richard Nowak, pembantu profesor neurologi di Yale School of Medicine merumuskan, sindrom ini boleh menyerang sesiapa sahaja namun ia berisiko dihidap oleh mereka yang berusia antara 30 tahun hingga 60 tahun.
7) Sindrom ini dikaitkan dengan perkara yang boleh mengundang tekanan (stres).
8) Cenderung mengundang risiko kepada golongan wanita berbanding lelaki.
9) Tiada ubat untuk sindrom ini, justeru doktor memberi tumpuan kepada pengurusan gejala dan kesakitan.
10) Gejala yang lebih teruk dirawat dengan imunoterapi dan imunosupresan. Bagi rawatan kaedah alternatif, pesakit mungkin menjalani terapi tingkah laku kognitif dan psikoterapi lain.
This website uses cookies.