Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyempurnakan nama bunga itu dengan menggantikan plak lama kepada plak baharu yang bertuliskan Dendrobium Queen Azizah of Malaysia.
Bunga ini adalah hibrid orkid yang teguh dan bebas berbunga yang menghasilkan perbungaan separa tegak kira-kira 50 sentimeter (sm) panjang yang mengandungi lebih daripada 20 bunga tersusun cantik dan setiap bunga berukuran kira-kira 4.5 sm lebar.
Orkid ini mempunyai kelopak dan sepal bergulung dengan warna kuning keemasan dan memiliki bibir berwarna ungu kemerahan yang menawan.
Singapura mempunyai tradisi menanam pokok spesies orkid, yang menjadi bunga kebangsaan Singapura, dan kebiasaannya dinamakan sempena lawatan rasmi pemimpin serta orang kenamaan ke republik itu.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Raja Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Idris Shah adalah antara pembesar negara yang pernah dipersembahkan orkid yang dinamakan sempena nama baginda berdua dalam lawatan rasmi ke Singapura pada Julai lepas.
Singapura juga pernah menamakan orkid bersempena nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada 2018.