Anak perempuan kepada ahli politik terkenal tanah air, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ini sememangnya memiliki aura luar biasa. Selain petah berbicara, Nurul Izzah juga merupakan antara muslimah yang menjadi inspirasi dan ikutan ramai kerana keperibadian yang menarik serta dikurniakan rupa paras yang cantik.
Sejak awal pembabitannya dalam arena politik hingga ke hari ini, Nurul Izzah dilihat selesa dengan gaya sederhana dan tidak keterlaluan. Walau ringkas tapi penampilannya tetap memukau pandangan.
Aktif turun padang mendalami nasib masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga menjadi inspirasi golongan wanita bukan hanya kerana kejayaannya bahkan penampilan Nurul Izzah yang sopan dan sejuk mata memandang.
Dari awal pembabitan hingga sekarang, dia tetap setia menggayakan tudung jenis bawal atau square.
Malah, ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut gemar memakai tudung polos berbanding yang bercorak. Mengintai laman media sosial milik Nurul Izzah, kebanyakan koleksi hijab bawal miliknya adalah dari rona lembut dan pastel. Antaranya warna nude, ungu, peach, pink dan kelabu.
Tengok lilitan tudung Nurul Izzah pun sangat mudah dan senang. Tak perlu pakai banyak jarum dan kerongsang. Dalam masa kurang lima minit pun dah siap. Paling penting, Nurul Izzah akan memastikan tudung yang dipakai labuh menutupi dada dan kemas.
Ketika menjadi penghias Majalah Nona bersama adik-beradik perempuannya, Nurul Izzah mengakui kebanyakan gaya hijabnya ditata rias oleh adik perempuan sendiri, Nurul Nuha Anwar.
Pun begitu, dia disifatkan seorang kakak yang penyayang dan menjadi tempat mengadu serta rujukan adik-beradik. Lebih menarik, dalam kalangan adik-beradik dia juga antara yang paling aktif dalam media sosial.
Tahun ini, Nurul Izzah bakal berusia 42 tahun. Meskipun aktif mengembangkan kerjaya politik namun dia tetap memberi sepenuh perhatian dan mengutamakan dua permata hatinya iaitu Raja Nur Safiyah dan Raja Harith.
Nurul Izzah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.
Kredit foto: Instagram Nurul Izzah
Runsing Ketiak Masih Berbau & Bertambah Gelap Selepas Pakai Deodoran, Apa Silapnya
Kebersihan bawah lengan sudah dipelihara dan deodoran juga sudah disapu tetapi, kenapa bawah lengan masih berbau? Peluh berlebihan di bawah ketiak mungkin menjadi punca bau yang tidak menyenangkan itu. Ternyata deodoran tidak sepenuhnya menghalang peluh, bau dan gatal agar terus melanda.
Kerap juga terjadi masalah sekitar kulit bawah lengan menjadi gelap. Memakai deodoran dikatakan menjadi punca kulit gelap ini. Sebenarnya secara fizik, kulit di kawasan bawah lengan memiliki pigmen yang berbeza daripada kulit sekitarnya.
Ini merupakan punca sebenar timbul warna gelap itu dan ditambah pula dengan ketidakseimbangan hormon juga merupakan salah satu sebab kulit menjadi hitam di bawah lengan.
3 Kesalahan Umum Menggunakan Deodoran
(a) Menggunakan produk yang salah
Ramai yang masih keliru dengan deodoran dan anti-perspirasi. Kedua-duanya memiliki fungsi yang berbeza. Bila ingin menghilangkan bau, deodoran adalah pilihan yang tepat. Deodoran berfungsi umpama pewangi untuk bawah lengan.
Manakala untuk mendapatkan kesan kelembapan sepanjang masa dan menghapuskan bau serta menyekat peluh berlebihan, boleh menggunakan anti-perspirasi. Anti-perspirasi ini mempunyai rumusan istimewa seperti aluminium klorida yang membantu menghalang pengeluaran peluh setiap hari.
(b) Mengandungi pewangi
Pewangi dan alkohol pada deodoran atau anti-perspirasi yang berlebihan dapat meningkatkan iritasi pada kulit sehingga terjadi hiperpigmentasi. Ini yang menjadi punca kulit bawah lengan menjadi gelap.
Jika anda gemar menanggalkan rambut di bawah lengan dengan mencabutnya juga menjadi punca iritasi kulit dan menjadikan kulit permukaan bawah lengan menjadi nipis. Bila mencukur bawah lengan pula berhati-hati jangan sampai menggores kulit bawah lengan. Ini hanya akan membuat kulit menjadi kering dan berpeluh.
(c) Rawat dengan lemon
Jika sudah ternampak tanda awal iritasi kulit di bawah lengan, anda boleh rawat menggunakan bahan-bahan semula jadi. Ambil jus lemon dan campurkan bersama buah timun yang sudah diparut. Gaul sempurna dan campurkan parutan kunyit pula di dalamnya.
Sapu adunan ini di bawah lengan dan biarkan selama 20 minit. Kemudian bilas dengan air suam agar bawah lengan kekal bersih, harum dan tetap kering.
Digelar ‘Makcik Pondesyen’, Ain Fatin Liyana Angkat Kehebatan Mekap 1Minute Miracle Hingga Terpampang Di Billboards!
Tagline ‘1 Minit Dah Lentik?’ cukup melekat di fikiran, apatah lagi ia kerap terpampang di dada-dada billboard utama di Malaysia. Iklan ikonik 1Minute Miracle itu juga mencetus fenomena, sekaligus mengangkat kehebatan produk maskara tempatan yang diasaskan oleh Ain Fatin Liyana, setanding dengan produk jenama terbaik lain di rantau ini.
Tidak lokek berkongsi cabaran dan pengalaman bisnes. Kisah hebat 1Minute Mascara hingga digelar sebagai ‘maskara paling best di dunia’ membuktikan kemampuan Ain dalam dunia perniagaan.
Bukan sekadar publisiti, tapi setiap produk keluarannya diyakini pembeli kerana jaminan kualiti. Maklum sahaja, Ain cukup teliti soal pembuatan produk. Kilang mereka harus bertaraf GMP. Harus punya sijil ISO dan diperakui halal.
Rahsia pemasaran itu menjadi mukadimah bicara superwoman yang menerima pengiktirafan Nona Best Cosmetic Brand Award ini.
“Asalnya produk kami bermula dengan warna eksklusif iaitu hitam putih. Tapi selepas meninjau pasaran, kami dapati penampilan produk sebegitu kurang sesuai dan tidak menarik perhatian.
Jadi kami pun ubah, lancarkan packaging yang comel pada harga berpatutan dan mampu milik. Teknik ini berjaya kerana secara emosinya produk yang berwarna-warni menepati sasaran golongan B40 dan usia pelanggan kami iaitu 13 ke 45 tahun.” Ain Fatin Liyana
Berusia 32 tahun, wanita yang mempunyai kelulusan diploma dalam bidang seni bina ini rupa-rupanya memang minat berniaga.
“Sebelum ini kami suami isteri bekerja makan gaji. Suami sebagai jurutera JKR, sementara saya pula pembantu arkitek di sebuah firma swasta di Pulau Pinang.
Kami tekad menubuhkan perniagaan sendiri pada tahun 2013 kerana punya visi dan misi untuk membantu keluarga. Sambil itu dapat memberi manfaat kepada orang lain.”
Memulakan perniagaan pertama di bawah syarikat Aiefy Global Beauty, Ain dan suami, Nor Afifullah Bin Md Isa kemudiannya menukar nama bisnes mereka selepas foundation yang dikeluarkan meledak di pasaran.
“Produk pertama kami adalah foundation yang dicipta pada tahun 2014. Tapi disebabkan kami tidak mendapat formulasi yang tepat, proses R&D berlarutan sehingga tahun 2015.
Akhirnya lahirlah foundation 1Minute Miracle yang seterusnya memberi ilham untuk kami tubuhkan syarikat bernama 1Minute Miracle Sdn Bhd. Pada tahun 2015, kami cuma keluarkan foundation sebanyak 5,000 unit.
Tiba-tiba sambutan melonjak hingga menjadi 50,000 unit dan sekarang produk foundation yang sama masih kekal di pasaran dengan jualan 150,000 unit sebulan.
Ini diikuti dengan pelancaran 1MM Xtreme Mascara pada tahun 2017. Kehebatannya kekal sampai sekarang malah ia telah terjual sebanyak 1.2 juta sejak dilancarkan.” Ain Fatin Liyana
Tak percaya rasanya bila pengasas solekan viral ini bercerita, beliau sebenarnya belajar mekap selepas menjadi usahawan. Seperti wanita lain, Ain juga mahukan sesuatu yang cantik tapi ringkas dan cepat.
“Ramai orang merungut kalau terpaksa habiskan masa berjam-jam di depan cermin. Saya tak sanggup pakai bedak berlapis-lapis… Nak oles primer, calit concealer, kemudian bedak asas dan bedak tabur. Banyak sangat!
Maka dari situlah saya terfikir nak mencipta all-in-one foundation. Dalam tu semua telah diringkaskan. Senang, supaya orang yang tak pandai mekap macam saya pun boleh pakai.”
Ditanya kenapa memilih bidang kosmetik, tenang Ain menjawab kerana faktor strateginya yang lebih mudah dijual serta memberi instant result. Ia amat berbeza dengan usahawan daripada bidang penjagaan kulit atau suplemen.
Usahawan bidang itu harus berpengetahuan luas dalam bidang kesihatan kerana produk mereka melibatkan dalaman manusia.
MESRA PENGGUNA
Selain tampil sebagai wajah utama dan digelar ‘Makcik Pondesyen’ untuk jenama 1Minute Miracle, Ain juga turut menggunakan pengaruh influencer mekap terkenal seperti Muabellaz.
Pastinya ramai yang pernah melihat iklan-iklan 1Minute Miracle, khususnya 20 papan tanda utama yang berada di sepanjang lebuh raya serta bandar-bandar besar seluruh Malaysia.
Selain maskara, 1Minute Miracle turut memasarkan beberapa produk mekap lain yang hangat di pasaran. Antaranya 1MM Foundation, Eyebrow Have Have, Kitty Blush, Harum Maneh Sponge, StayGlow Face Spray, Xtreme Mascara dan sebagainya.
Seramai lebih 2,000 ejen turut dilantik bagi membantu mengembangkan lagi empayar syarikat.
“Jujur kami banyak belajar daripada kesilapan lalu. Saya yakin bahawa sehebat apapun sesuatu jenama itu, aktiviti promosi dan marketing tak boleh berhenti.
Kesilapan yang buat kami jatuh dulu pun kerana kami fikir dah cukup buat marketing. Tapi tidak. Justeru masa produk tengah naik pun sebenarnya marketing mesti diteruskan.”
Baca artikel perjuangan bisnes 1Minute Miracle bersama penerima Nona Best Cosmetic Brand Award, Ain Fatin Liyana ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Konsep: Azniza Aziz
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Azfarina Sulaiman
Nak RAMBUT SEGAR dan Subur, Kena Patuhi Langkah Trik Hebat Ini!
Umum sedia maklum, rambut sering diibaratkan mahkota yang perlu diberi penjagaan yang sebaiknya. Rambut yang sihat dan bersinar sememangnya bonus untuk seseorang jika pandai menjaga kesihatan rambut secara total.
Kini bukan saja wanita mempunyai kesedaran mengenai pentingnya penjagaan rambut, malah lelaki juga inginkan rambut mereka terus subur serta indah dipandang. Oleh itu, sebelum anda berhabis untuk membeli produk rawatan rambut, perkara asas yang perlu dilakukan ialah mencuci rambut. Pemilihan syampu sesuai untuk kulit kepala anda juga penting kerana syampu yang tepat adalah langkah pertama mendapatkan rambut sihat bersinar.
- Berapa kerap harus mencuci rambut?
Tidak salah mencuci rambut setiap hari, tetapi proses mencuci, mengering dan dandanan yang dibuat secara kerap akan menghilangkan kelembapan semula jadi rambut. Justeru, teliti jenis rambut dan lakukan mengikut tip yang diberikan.
- Cuci rambut setiap hari jika rambut anda jenis berminyak. Bekerja atau sentiasa berada di persekitaran berhabuk dan berdebu juga boleh menyebabkan rambut berminyak.
- Cuci rambut sekurang-kurangnya dua kali seminggu jika mempunyai rambut kering atau tinggal di kawasan tinggi kerana udara di kawasan itu terhindar daripada kelembapan atau pencemaran.
- Bolehkah syampu digunakan dalam kuantiti yang banyak?
Boleh. Bagaimanapun, pastikan selepas bersyampu, rambut dibersihkan sehingga ke akar rambut tanpa ada yang tertinggal. Malah, kuantiti syampu juga ditentukan oleh panjang dan ketebalan rambut. Bolehkah menggunakan air suam untuk membilas rambut? Adakah suhunya sesuai?
Air yang digunakan untuk membilas seelok-eloknya adalah air suam kerana ia dipercayai dapat membilas syampu dan kotoran lebih bersih. Bagaimanapun, air yang terlalu panas boleh menyebabkan rambut menjadi rapuh. Oleh itu, gunakan air dingin untuk cucian terakhir sebelum pelembap atau sebarang produk disapukan pada rambut bagi menghindarkan kandungan nutrien di dalam produk hilang. Ia juga dipercayai membuat rambut lebih bercahaya.
Lemon Untuk Rambut Beralun
Jika rambut anda jenis berminyak, ia akan kelihatan mudah leper dan tidak bermaya. Untuk mengembalikan sinaran rambut, perah dua biji lemon, dicampur dengan satu liter air. Gunakan jus berkenaan untuk membilas rambut selesai bersyampu. Kemudian bilas dengan air sehingga bersih
Jangan Abaikan Keindahan Rambut
Bertudung bukan alasan untuk anda mengabaikan kecantikan dan kebersihan diri. Seringkali juga ramai wanita yang bertudung tidak menitikberatkan aspek penjagaan rambut. Alasannya cukup mudah, tiada siapa mahu melihat dan tiada siapa yang tahu apa yang ada di sebalik tudung yang sentiasa melekat di kepala.Bagi yang bertudung, rambut merupakan anggota tubuh yang sering diabaikan. Sedangkan yang terselindung itu lebih indah jika dipelihara sebaik mungkin. Masalah seperti kegatalan kulit kepala, rambut berbau dan yang lebih serius berkelumumur sering dialami oleh wanita bertudung. Selain itu jika tidak dijaga dengan betul rambut juga akan menjadi cepat kering, rosak, kusam, kusut dan mudah putus.
- Pemilihan syampu yang sesuai dengan jenis rambut sangat penting. Oleh itu sebelum anda membeli syampu kenalpasti dahulu jenis rambut anda.
- Sekiranya anda hendak memakai tudung kepala, pastikan rambut anda betul-betul dalam keadaan kering sebelum memakai tudung. Rambut yang lembap atau basah boleh menyebabkan masalah kelumumur, rambut berbau hapak dan kepala terasa pening.
- Mungkin ramai di antara kita yang beranggapan rambut yang tidak terdedah kepada cahaya matahari akan mudah rosak. Tetapi tahukah anda bahawa rambut yang ditutupi dengan tudung kepala akan lebih terpelihara kerana ia terlindung daripada habuk yang berterbangan ketika anda berada di luar rumah
- Sewaktu mengeringkan rambut dengan tuala, pastikan anda tidak menggosok rambut dengan cara yang kasar. Sebaiknya lurutkan tuala secara perlahan-lahan dari atas hingga ke hujung rambut secara berulang kali dan biarkan ia kering sendiri.
- Pastikan anda sering menyikat rambut semasa tidak memakai tudung (di rumah) ini perlu supaya akar rambut dan kulit kepala mendapat udara yang secukupnya.
- Gunakan air sejuk sewaktu membasuh rambut supaya poripori kulit kepala mengecil.
- Amalkan pengambilan vitamin khusus untuk menstabilkan hormon dan membaiki akar rambut.
- Untuk rambut yang berkelumumur, ia boleh dihilangkan dengan cara menggosok kulit kepala dengan limau purut yang telah dihangatkan. Setelah kelemumur gugur, bersihkan rambut dan kulit kepala dengan syampu yang mengandungi bahan anti kelemumur ataupun syampu yang mempunyai campuran limau purut.
- Sementara bagi rambut yang berminyak pula, gunakan syampu yang boleh digunakan untuk cucian rambut setiap hari. Rambut berminyak mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti ketidakstabilan hormon yang mengakibatkan sebum dikeluarkan secara berlebihan, tekanan, cuaca yang panas atau banyak mengambil makanan yang berlemak.
- Perbuatan menyikat rambut yang terlalu kerap juga akan membuatkan kulit kepala menjadi panas dan boleh menyebabkan penghasilan minyak yang berlebihan. Oleh itu sikap rambut hanya apabila perlu sahaja dan jangan lakukannya dengan cara yang kasar.
- Sebaiknya elakkan daripada menggunakan alat pengering rambut kerana rambut mudah menjadi kusam. Tetapi jika anda tidak mempunyai masa dan ingin mengeringkannya dengan kadar yang segera, sebelum melakukan ‘blow’, letakkan ‘foam’, ‘setting lotion’ atau ‘volumizer’ pada rambut terlebih dahulu bagi memudahkan ia didandan. Bahan-bahan tersebut dapat menjadi penghadang antara rambut dan alat pengering rambut. Alat penghalang ini dapat mengelakkan rambut daripada mudah rosak akibat terkena bahang panas daripada alat pengering rambut tadi. Selain itu, ia juga membantu agar rambut mudah dibentuk.
- Gunakan pengering rambut pada suhu yang tinggi. Saranan agar menggunakan alat tersebut pada suhu yang rendah adalah salah kerana suhu yang rendah secara relatifnya mengambil masa yang lama untuk proses pengeringan sehingga menjadikan rambut lebih mudah rosak.
- Pastikan anak tudung atau cekak rambut yang anda pakai tidak terlalu ketat. Seeloknya pakailah jenis yang boleh membenarkan aliran udara masuk agar rambut tidak terlalu terperap. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH