Sedekah menjadi antara amalan yang paling berat dilakukan, khususnya manusia yang tidak suka berkongsi harta dengan orang lain. Namun, bagi orang beriman yang memahami konsep sedekah, ia merupakan amalan yang terpuji sebagai bekalan pahala dan sebahagian proses menyucikan diri dan harta, pasti tidak pernah gusar untuk mengeluarkan sebahagian pendapatan untuk insan lain.
Tahukah anda, amalan bersedekah merupakan amalan sunat yang banyak disebut dalam Islam.(AlQuran). Ia merupakan pemberian ikhlas yang sebenarnya menandakan tahap keimanan seseorang, selain bukti ketaatan kepada Allah SWT. Sepertimana yang diperintahkan di dalam surah Al-Baqarah ayat 254: Wahai orang-orang yang beriman! Sedekahkanlah sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datangnya hari ketika tiada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan dan tiada lagi syafaat (iaitu datangnya hari kiamat).
Tidak hairanlah mengapa potongan ayat Al Quran itu menjadi azimat buat Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana Dato Hj Rahmat JP. yang tidak pernah jemu menaburkan bakti dalam melakukan kerja-kerja amal sejak beberapa tahun yang lalu. Pengarah Urusan SRT Travel & Tours ini pernah dianugerahkan gelaran Mrs Malaysia Universe 2019 Charity Ambassador di atas kerja-kerja kebajikan yang dilakukan olehnya. Beliau juga dianugerahkan “First Lady Mrs International Global 2020 di atas kerja-kerja kebajikan dan infaq yang beliau lakukan di dalam mendidik dan memberikan pendedahan terhadap kerja-kerja amal dan kebajikan.
Keprihatinan Datuk Hajah Rozzana terhadap kebajikan golongan yang kurang bernasib baik samada di kalangan ibu tunggal, golongan asnaf, anak-anak yatim mahupun golongan fisabilillah bukan hanya dizahirkan tatkala tibanya bulan Ramadan dan Syawal semata-mata, malah wanita hebat ini sentiasa meluangkan masa dan wang ringgit membantu insan-insan yang memerlukan.
Penerima NONA BEST CHARITY AWARD, NONA SUPERWOMAN 2020 ini tidak pernah lokek membahagikan masa antara tuntutan kerjaya dan kerja kebajikan yang menjadi sebahagian dari darah dagingnya kini.
“Amalan sedekah tidak terhad kepada orang berharta sahaja, sebaliknya orang Islam yang tidak memiliki harta pun boleh bersedekah berdasarkan kemampuannya, asalkan lahir daripada hati yang ikhlas.
Sedekah juga tidak terhad kepada pemberian wang ringgit atau harta benda semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai aspek seperti mengajar ilmu baik dan memberi pertolongan, ” ujar Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana ketika ditemui baru-baru ini.
Ini tercatat di dalam Al Quran surah Al-Saff ayat 11 “Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui hakikat yang sebenarnya”. Ini merupakan tuntutan Allah supaya kita hambaNya berinfaq ke jalan Allah swt. Dalam ayat ini ada menerangkan yang infaq tidak semestinya hanya dari segi harta benda tetapi juga dengan “jiwa” bermakna diri kita sendiri.
Satu demi satu kejayaan ditempa oleh Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana Rahmat menerusi kerja-kerja amal yang dilakukannya. Kini beliau mahu terus menabur bakti untuk anak bangsa menerusi Yayasan yang ditubuhkan sejak tahun 2013. Melalui Program “My #InfaqIhsan” ramai golongan sasaran telah dikenalpasti untuk diberikan bantuan.
Ads
Mengambil inspirasi dari watak filem muzikal “Mary Poppins’ , ia melambangkan jiwa infaq yang sentiasa membantu kaum keluarga, sahabat handai, rakan taulan dan sesiapa sahaja yang datang meminta pertolongan dan nasihat darinya. Muzikal filem British yang popular Mary Poppins ini mempunyai ciri-ciri seorang yang kelakar atau good sense of humour, baik hati tetapi tegas yang sangat sinonim dengan keperibadian yang dimiliki oleh Datuk Hajah Rozzana.Dalam erti kata lain yang popular, “Jangan cakap akak tak payung !”Itulah kata-kata yang amat sinonim untuk Datuk Hajah Rozzana Dato’ Haji Rahmat yang dikenali ramai.
“Hampir 30 tahun dalam dunia perniagaan, saya sudah banyak belajar tentang pentingnya mengamalkan sikap profesional dan juga jujur. Bukan sahaja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri. Usah pernah menipu dalam perniagaan kerana jika kita berjaya disebabkan sikap tidak jujur, nescaya suatu hari nanti kita akan jatuh terduduk.
Apabila COVID19 melanda, saya akui perniagaan turut terkesan. Tetapi ini adalah masanya untuk saya merangka strategi dan usaha untuk terus mengemudi perniagaan. Alhamdulillah saya masih lagi boleh bertahan hingga ke hari ini dengan Kerjasama kakitangan dan sokongan keluarga serta pihak-pihak yang terlibat di dalam mengendalikan perniagaan saya. Saya juga yakin dan sentiasa husnuzon dengan Allah. Berkat doa dan pertolongan daripada Allah, insya Allah kami akan dapat melalui ujian yang getir ini.
Ads
Menurut beliau lagi, Rezeki itu datang daripada Allah. Adalah penting mencari rezeki yang halal. Rezeki yang halal penuh dengan keberkatan. Ianya akan memberi kebahagiaan dan ketenangan di dalam kehidupan kita.
Tetapi pada masa yang sama, saya mahu berkongsi rezeki dan atas inisiatif itu tertubuhnya Yayasan sebagai platform membantu golongan asnaf dan mereka yang terkesan akibat wabak Covid 19,” ujar wanita yang pernah bertugas sebagai Pramugari di awan biru selama lima tahun sebelum mengambil alih perniagaan yang dimiliki keluarganya.
Menerusi amalan sedekah, seseorang akan dimurahkan rezeki, terhindar bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian buruk atau dalam keadaan tidak beriman (su’ul khotimah) kerana ia membawa rahmat, selain menghapuskan sifat sombong, takbur, ujub serta menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
Cabaran apabila kita berbuat kebaikan dan amal ma’aruf ialah akan wujud pandangan atau persepsi segelintir masyarakat yang mensalah tafsirkan tujuan dan matlamat. Semuanya itu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan sekadar perkongsian demi berdakwah untuk memotivasikan lebih ramai berinfaq ke jalan Allah.
Berbicara soal Yayasan, matlamat utama penubuhan Yayasan tersebut untuk memberikan bantuan dalam kadar segera atau ad-hoc merupakan cara Datuk Hajah Rozzana menghulurkan bantuan. Memahami desakan situasi semasa apabila kebanyakan masyarakat terkesan dengan COVID19, Datuk Hajah Rozzana lebih memberi tumpuan membantu golongan miskin, mereka yang terlibat dengan bencana alam ataupun mereka yang kurang berkemampuan yang mahukan bantuan segera sama ada dari segi keperluan asas, kewangan mahupun perubatan.
Ads
Malah, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana dan pasukannya memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuklah para petugas di barisan hadapan dan pesakit COVID19.
“Pada peringkat awal, disebabkan waktu tersebut kita tidak boleh turun sendiri, kita meminta “team #InfaqIhsan” yang berada di kawasan atau daerah negeri tersebut untuk sampaikan bantuan bagi pihak kami kepada golongan asnaf.
Antara negeri yang telah menerima bantuan adalah seperti di Kedah, Kelantan, Melaka, Selangor dan termasuk juga pihak misi kemanusiaan lain yang memerlukan sumbangan. Dan baru-baru ini tumpuan utama beliau ialah di negeri Sabah yang sangat terkesan di Gelombang ke-3 akibat wabak Covid-19. Menurut beliau, Sabah perlukan bantuan segera.
Turut turun padang menyantuni kerja-kerja amal yang dilakukannya menjadi rutin kehidupan Datuk Hajah Rozzana
“Kami juga telah berhubung dengan frontliner di Hospital Sungai Buloh untuk memberi bantuan kepada pesakit COVID-19. Malah, saya sendri telah turun padang ke Hospital Sungai Buloh dan melihat sendiri bagaimana para petugas barisan hadapan menjalankan tugas mereka dengan sepenuh jiwa dan raga bagi memastikan pandemik ini dapat dibendung,” ujar Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana yang memastikan sumbangan makanan untuk pesakit Covid disepanjang tempoh PKP Fasa 1 & Fasa 2 diuruskan sebaik mungkin di samping beberapa lagi sumbangan lain yang diperlukan oleh petugas barisan hadapan.
“Sepanjang berada di sana, saya dapat melihat bagaimana para petugas menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama, saya turut berkongsi pengalaman dengan pengikut di laman media sosial agar mereka lebih menghargai petugas kesihatan dan cabaran yang harus mereka lalui setiap hari menyelenggara pesakit di wad Covid 19.”
Ketika diajukan pertanyaan tentang insiden paling terkesan di hatinya sepanjang melakukan pelbagai kerja kebajikan, wanita cekal ini berkata banyak peristiwa yang terkesan di hati dan kesemuanya memberikan satu titik keinsafan buat dirinya. Melihat kepayahan hidup individu lain yang ditimpa musibah, penyakit dan sebagainya menjadikan dirinya lebih bersyukur dengan kurniaan rezeki oleh Allah S.W.T buat dirinya.
“Saya sentiasa mengamalkan sifat SYUKUR, SABAR, REDHA. Redha adalah satu perkataan yang ringkas namun besar maknanya. Dalam apa yang kita lakukan kita perlu reda dengan bagaimana pengakhiran atau keputusannya. Segala usaha telah dilakukan dan keringat telah diperah, jadi biarlah Allah yang memutuskannya dengan reda dan bertawakal. Jika kita reda, maka hati tidak akan mati dan akan terus memandang ke hadapan untuk menghadapi sesuatu yang lebih gemilang. Insya Allah”, katanya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jangan mudah menyerah! Allah sedang melatih kesabaranmu. Tetaplah bersyukur atas segala dugaan yang menimpamu. Jika kamu sedang diuji, itu bererti kamu sedang dipersiapkan untuk yang lebih baik. Sesungguhnya kemenangan itu beriringan dengan kesabaran. Jalan keluar beriringan dengan kesukaran. InsyaAllah, sesudah kesulitan pasti akan ada kemudahan. Azila Ahmad, 42 tahun, terus berdoa dan berusaha memperbaiki ruang-ruang kesulitan yang dilalui dalam hidupnya.
Pemegang Diploma Perakaunan dari UiTM ini pernah berkhidmat selama tiga tahun di sektor perbankan, dan 17 tahun di sektor anak syarikat kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (GOC). Pencapaian terbaiknya apabila menerima anugerah ‘High Potential Awards’ pada tahun 2016. Beliau kemudiannya menceburi bidang perniagaan dengan menjadi dropshipper separuh masa sejak tahun 2017 sehingga sekarang.
Beliau percaya di dalam hidup kita perlu berusaha dan berdoa kepada Tuhan dan hasilnya tergantung dengan apa yang telah kita lakukan. Semua yang dilakukan hanya kerana Allah dan keluarga tercinta.
“Saya perlu bekerja lebih masa demi mencari rezeki lebih bagi menampung kekurangan kewangan yang ada. Saya bermula dengan menjual tudung yang saya beli secara borong di Kuala Lumpur dan kemudian menjadikan tudung tersebut lebih menarik untuk dijual.
Saya meletakkan manik-manik dengan design saya sendiri. Harga tudung dijual serendah RM10 (tiada manik) dan di antara RM18 – 20 (manik). Tetapi perniagaan tudung tidak mendapat sambutan mungkin disebabkan terlalu banyak brand tudung di luar sana.
Lalu saya beralih kepada menjual makanan untuk sahabat-sahabat di tempat kerja. Seawal 4 pagi saya memasak, mengikut menu yang ditetapkan setiap hari dan pada musim perayaan ada juga saya menjual rendang ayam cili api nogori.
Pada satu hari, langit cerah membawa mendung yang sangat gelap dalam hidup saya. Suami diuji lumpuh separuh badan. Doktor memberitahu bahawa suami susah untuk sembuh seperti sediakala dan jika hayat dia panjang, dia tidak lagi dapat bercakap dan tidak boleh sembuh seperti sediakala.
Ketika itu suami baru berusia 40 tahun. Anak-anak kami pula masih kecil. Saya terpaksa mengharungi dugaan hebat ini berbekalkan keyakinan saya dengan Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengetahui segalanya. Tangisan saya mula menjadi teman hidup sehingga air mata jadi kering dan tidak bermakna lagi.
Saya terpaksa tinggal bersama keluarga mertua untuk meneruskan kehidupan. Suami sudah tidak bekerja dan saya perlu memikirkan perniagaan yang dapat dijalankan dalam keadaan kehidupan kami sekarang. Saya telah memilih untuk menjadi ejen dropship untuk AFA Design, ejen Consultant Norwex, ejen kuih-kuih raya dan juga ejen dropship Corelle dari USA sehingga sekarang.
Alhamdulillah, walaupun rezeki saya tidak mencecah keuntungan berpuluh ribu ringgit tapi saya berjaya mendapat jualan sehingga RM5000 dengan menjual baju kurung AFA design pada musim perayaan baru-baru ini. Saya amat bersyukur dengan rezeki ini,” ujar Azila cekal membesarkan dua orang anaknya.
“Pernah berlaku perkara yang amat menyentuh hati saya sebagai seorang ibu apabila anak saya yang berusia 8 tahun, Adelia menangis tersedu di hadapan saya pada malam raya. Saya tanya kenapa Adel, mengapa menangis? Jawabnya, ‘Terima kasih belikan Adel baju raya dan kasut raya.’ Dia peluk saya dan menangis. Luluhnya hati saya ketika itu, hanya dengan pemberian kasut raya Bata RM50 dan sepasang baju raya RM60 dah mampu membahagiakan anak saya. Duit keuntungan tidaklah banyak, namun saya dapat sediakan untuk anak-anak dan keluarga.
Sejak ayah mereka sakit, emosi anak-anak tidak stabil, trauma dan mereka juga sangat risaukan kesihatan mama mereka yang bekerja keras mencari rezeki. Saya faham anak-anak amat rindukan ayah mereka yang dulu, boleh bercakap dan melayan karenah mereka. Namun, semuanya tidak lagi seperti itu. Mentaliti saya memang saya letak 100% untuk jadi lebih kuat supaya anak-anak saya boleh teruskan hidup,” jelas Azila dengan nada sayu.
Ujian membuat beliau semakin hebat, diperkasakan dengan sokongan teman yang lain. “Sahabat di sekeliling saya selalu berkata, ‘Azila awak perlu jadi kuat.’ Ya, saya nampak kuat di luar. Saya mampu tersenyum dan ketawa di hadapan semua, namun di dalam hati kadang-kadang saya rasa sangat sesak dan ingin keluar dari rasa kesempitan ini.
Dalam menempuh dugaan besar ini, Allah SWT menguji saya sekali lagi apabila ibu pula pergi meninggalkan kami. Pada saat itu, hidup saya serasa sangat gelap. Terlalu gelap. Orang yang melahirkan saya, membesarkan saya dengan penuh kasih sayang, menjadikan saya insan yang cukup ilmu dunia akhirat, mendoakan saya setiap hari telah pergi untuk selamanya. Di mana saya ingin mencari kekuatan ketika itu? Hilang…”
Nyata musibah itu bagaikan air keruh, semakin kau aduk semakin keruh. Maka bersabar dan tenanglah dalam menghadapi masalah kerana insyaAllah tiba masanya ia akan jernih. “Ya! Saya tetap yakin dengan Allah SWT. Kemurungan selepas 4 bulan, saya tekad untuk ubah kehidupan saya. Kembali bangkit dengan kekuatan yang ada dan hanya bertawakal kepada Allah SWT.
Sekarang saya masih lagi terus memperkasakan diri saya untuk menjadi wanita, isteri dan ibu yang terbaik. Walaupun pulangan dalam perniagaan yang saya ceburi sedikit tetapi saya tetap bersyukur dengan rezeki ini.
Saya ingin memberitahu kepada semua wanita di luar sana yang mengalami nasib yang sama seperti saya, kuatkan semangat, cari jalan yang terbaik, jika tiada modal yang banyak untuk memulakan perniagaan, mulakan dengan menjadi ejen dropship. Jangan jadikan semangat kita terus jatuh dan terus menyalahkan apa yang terjadi dan mengapa ini terjadi.
Paling utama, apa saja yang kamu usahakan, yakin dengan Allah SWT. Keyakinan itu insyaAllah membuahkan hasil. Doa dan tawakal,” bicara Azila tenang mengenangkan keperitan hidup dan tanggungjawab kepada anak-anak yang dilalui dan menjadikan semua itu sebagai pendorong untuk memajukan diri.
Bicara akhir Azila, “Ramai di luar sana, jatuh berkali-kali. Kejatuhan yang berkali-kali itulah membuka jalan kepada kejayaan diri kita. Jangan mengalah. Jika tiada hujan mana timbulnya pelangi. Jika tiada suria, terangkah bulan di dalam kegelapan? Teruskan melangkah, usaha, tawakal, insyaAllah ada kejayaan menunggu di hujung perjalanan itu,” ujar Azila yang sentiasa menghargai semua pelanggan yang turut menjadi tulang belakang rezekinya hari ini, alhamdulillah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita hebat ini tidak perlu lagi diperkenalkan, terutama dalam bidang korporat dan perbankan. Memiliki pengalaman lebih dari 20 tahun dalam kepimpinan di syarikat multinasional dan organisasi besar, memerentasi beberapa sektor termasuk akademik, telekomunikasi, tekonologi dan perkhidmatan kewangan, Datuk Nora Manaf adalah definisi seorang wanita yang cekal dan profesional.
Datuk Nora Manaf, 58 tahun, figura berprofil tinggi ini merupakan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank sejak dari tahun 2008 dan merupakan seorang ahli Lembaga Pengarah Yayasan Khazanah. Datuk Nora merupakan seorang Akauntan Bertauliah dan berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA). Beliau memegang Sijil pasca siswazah dalam pembangunan sumber manusia dari Universiti Cornell dan juga jurulatih, ‘Gallup Strength’ Tahap II. Datuk Nora turut mempengerusikan beberapa jawatankuasa peringkat kebangsaan dan memegang beberapa keahlian Lembaga Pengarah termasuk Lembaga Pengarah Etiqa General Insurance Berhad dan MBB Labs Private Limited, Bangalore.
PENCAPAIAN DEMI PENCAPAIAN
Di Maybank, tanggungjawab Datuk Nora adalah merangka strategi modal insan di seluruh Kumpulan termasuk membentuk dan melaksanakan strategi perniagaan yang diselaraskan dengan aspirasi dan objektif Kumpulan. Beliau juga bertanggungjawab untuk semua aspek kakitangan, iklim tempat kerja dan prestasi.
“Saya bermula sebagai seorang akauntan bertauliah. Kemudian berkhidmat dengan beberapa syarikat multinasional dan organisasi tempatan yang besar di beberapa sektor termasuk sektor telekomunikasi di Maxis dan separa konduktor di Intel, serta terlibat dalam sektor pendidikan dan rundingan.
Ketika itulah saya dipelawa untuk menyertai Standard Chattered dan berkhidmat selama 9 tahun dalam peranan pengurusan termasuk Ketua Sumber Manusia, Scope International (subsidiari milik penuh Standard Chartered UK Plc) serta jawatan pembangunan kepimpinan di London dan dalam kerja integrasi di Hong Kong pasca pengambilalihan SCB terhadap Chase Retail Bank. Dari situlah bermulanya perjalanan saya dalam industri perbankan,” jelas Datuk Nora Manaf khabarnya cukup handal memasak Beriyani Udang dan seringkali memasaknya untuk warga kerja Maybank tatkala setiap Aidilfitri.
Dan benarlah kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan. Selama 9 tahun bertugas bersama Standard Chattered, Datuk Nora Manaf sudah berpengkalan hampir ke serata dunia bermula dari Hong Kong, London, Filipina dan Indonesia.
Dan akhirnya hatinya terdetik untuk pulang semula ke Malaysia selepas menerima panggilan dari seorang individu yang cukup dikaguminya. “Suatu hari dirinya menerima panggilan daripada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar yang pada ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank mempelawa saya untuk menyertai Kumpulan Maybank pada Oktober 2008,” imbas Datuk Nora.
Hasil berkat reputasi, kelayakan dan usaha keras wanita besi ini beliau bersyukur dirinya diberikan tanggungjawab tersebut menyertai Maybank, salah sebuah bank tersohor dan diyakini di Malaysia. Bayangkan, ini merupakan jawatan keempat belas yang disandangnya dan hampir kesemua amanah ditawarkan khas buatnya.
“Ramai beranggapan wanita tidak ramai dalam perbankan. Salah anggapan itu. Di Maybank sendiri kini sudah mencatatkan 48% pembabitan wanita dalam pengurusan dan profesional. Jadi dalam mana-mana industri sekalipun, walaupun wanita seringkali dipandang sebelah mata bila sesuatu industri mulai diperkatakan, tetapi wanita zaman kini bukan seperti zaman dahulu. Wanita sekarang boleh dikatakan lebih bijak, cekal dan punya kelebihan tersendiri. Yang pasti, semua ada peluang untu berjaya.”
Malah Datuk Nora sendiri adalah seorang wanita yang tidak lepas dari misinya dalam memperkasakan wanita lain. Beliau merupakan Penaja Eksekutif untuk Majlis Mentor Wanita Wanita Maybank yang ditubuhkan pada 2013 di mana organisasi ini berfungsi dalam struktur semasa Bank untuk menyokong pembangunan wanita serta menjadi Mentor untuk Program Kepimpinan Wanita ICAEW-TalentCorp.
Pada 2016, Datuk Nora telah dianugerahkan anugerah “Beacon of Light” di Sidang Kemuncak Kepimpinan Wanita Kebangsaan anjuran Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Datuk Nora turut berucap pada seminar Wanita dalam Kepimpinan di Universiti Oxford pada 2016. Universiti Pengurusan Singapura (SMU) turut menerbitkan Kajian Kes, bertajuk “Maybank: Transformasi Organisasi melalui Sumber Manusia” dengan kerjasama Datuk Nora pada 2019. Pada 31 Mac 2021, Datuk Nora dianugerahkan Anugerah Top 50 Impact Lifetime Achievement Awards untuk Kecemerlangan Wanita oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.
Sepanjang terlibat dalam dunia korporat dan perbankan, kehebatan beliau dalam memimpin, merencana dan menguruskan turut diperakui dengan pelbagai pengiktirafan, antara beliau pernah dinobatkan Global Top 50 Human Resource Professional serta dilantik ke Talent Compact 4.0, Panel Penasihat Bakat Industri Talent Corporation Malaysia Berhad. Pada tahun 2018, beliau telah dilantik ke Kumpulan Penasihat Menteri Sumber Manusia Malaysia. Pada Februari 2020, beliau telah dianugerahkan sebagai Banker Bertauliah oleh Chartered Banker Institute, yang beribu pejabat di Edinburgh, Scotland, United Kingdom.
WANITA JUGA MAMPU MEMIMPIN
Hebatnya Datuk Nora Manaf bukan hanya terletak pada keperibadian, jati diri dan kepintarannya, namun kebijaksanaan strategi beliau menguruskan sesebuah pasukan dan jabatan dengan profesional sekali. Melihat pada rekod prestasi, sudah semestinya Datuk Nora Manaf mempunyai corak kepimpinannya sendiri.
Untuk bacaan penuh, dapatkan edisi Nona Superwoman 2023 yang kini sudah berada di pasaran.
Baca artikel penuh penerima NONA Profession Award – Datuk Nora A Manaf di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Saksikan video temubual eksklusif NONA bersama Datuk Nora A Manaf menerusi pautan di bawah:
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nur Hati mula berdepan dengan gelombang rumah tangga, “Saya akui dalam keghairahan saya buat bisnes dan demi mengejar cita-cita memiliki wisma sendiri, saya makin sibuk hingga mengabaikan perhatian pada suami. Saya sibuk dengan pelbagai event pengantin, saya perlu fokus sebab orang bayar mahal dan hasil juga wajib memuaskan pelanggan saya. Kesibukan saya itu membuatkan hubungan suami isteri semakin jauh.
Dipendekkan cerita, berlakulah pergolakan dalam perkahwinan kami. Apa yang berlaku biarlah ia menjadi rahsia. Saya minta dilepaskan namun dia tidak mahu lepaskan sehingga saya turun naik Mahkamah bertahun-tahun perjuangkan kebahagiaan saya.
Saya bertekad tak akan lagi hidup dengan orang yang melukakan hati saya, sehinggakan saya terpaksa bersetuju dilepaskan tetapi anak-anak akan berada di bawah penjagaannya. Peguam nasihatkan saya untuk failkan semula hak penjagaan anak. Tapi saya tak failkan kerana terlalu letih dengan segala proses dan kekangan keadaan yang merumitkan. Namun akhirnya, bekas suami kembalikan tiga orang anak-anak saya.
Saya tak pernah tuntut harta sepencarian nafkah anak sehingga sekarang. Dipendekkan cerita, musnahlah semua yang saya bina sehingga umur 26 tahun. Seperti jatuh terduduk keadaannya. Dan yang lebih parah lagi ketika saya mendapat tawaran kerja di sebuah bank.
Sewaktu perjalanan ingin memohon pertukaran cawangan tempat kerja, berlaku kemalangan di mana kereta saya hampir jatuh ke gaung. Dalam kemalangan tersebut, salah seorang pekerja kedai andaman saya ketika itu cedera ringan. Tapi saya mengalami kecederaan teruk, patah kaki kiri dan sebelah kanan hancur. Tangan kiri saya juga patah.
Tapi alhamdulillah, dengan kuasa Allah saya masih hidup. Ketika kemalangan itu, datang dua orang untuk membantu keluarkan saya tapi habis barang berharga saya diambil setelah membantu. Saya hanya mampu melihat kerana tidak boleh bergerak sehinggalah lalu sebuah trak askar membantu dan menghubungi ambulan.
Maka bermulalah lagi cerita sedih apabila saya cacat sementara, terpaksa duduk di kerusi roda beberapa tahun…” bicara Nur Hati mengimbas kenangan tragis dalam hidupnya.
“Sewaktu saya di Hospital Pakar Batu Pahat, doktor telah mencantumkan tulang saya sehabis baik. Saya ambil risiko walaupun tahu mungkin ada komplikasi di sebalik pembedahan itu. Pembedahan itu mengambil masa yang panjang dari biasa kerana tulang paha kanan saya hancur. Namun kuasa Allah itu mengatasi segalanya, pembedahan selamat akhirnya dan esok pagi saya sedar dengan muka bengkak sebesar belon. Alhamdulillah untuk ujian ini, Ya Allah.
Ketika dalam keadaan menerima rawatan di hospital, saya bertemu jodoh kedua. Bermula dengan hanya tersalah nombor telefon sehingga membawa kepada fasa dia ingin mengenali saya dengan lebih dekat lagi. Berkali-kali dia hubungi saya, namun masa itu saya sangat garang kerana merasakan bekas suami yang suruh orang ganggu saya. Rupa-rupanya tidak! Itulah jodoh kedua saya.
Saya tak pernah tahu siapa dia, kemampuan dia. Saya tahu status dia sebagai suami orang dan saya amat benci suami orang kerana saya tahu betapa sakitnya hati mengambil hak orang lain. Namun, pengajaran di sini jangan terlalu membenci sesuatu kerana yang selalunya kita benci itu akan menjadi ujian dalam hidup kita. Sewaktu saya dirawat di hospital, beliau datang melamar di hadapan ayah saya. Dalam keadaan saya yang terbaring lesu, sebenarnya ayah saya pun rasa tiada siapa yang mampu menerima saya lagi.
Maka menikahlah kami setelah beberapa bulan dalam keadaan saya di atas kerusi roda. Menurut doktor, saya tidak boleh mengandung kerana kaki saya hancur sampai ke tulang paha dan berisiko untuk mengandung. Bila berkahwin saya berhijrah ke utara. Barulah saya tahu status suami masa tu. Dengan memegang status isteri kedua, ia bukanlah seindah yang disangka dengan keadaan saya ketika itu. Saya terpaksa rela menerima perjalanan takdir.
Duduk di rumah, segala keperluan asas dihantar oleh pembantu dan saya tidak ke mana-mana sehinggalah pulih. Alhamdulillah, dapat juga seorang zuriat lelaki bersamanya. Sepanjang cacat dan berstatus isteri kedua, hanya Allah yang tahu hati dan perasaan saya ketika itu. Saya hanya menjauhkan diri dalam keadaan yang paling buruk, sehinggalah saya perlu bangkit kembali dalam keadaan zero di tempat orang. Tiada saudara, tiada keluarga. Hanya ada jiran dan pembantu rumah. Saya hanya menunggu kepulangan suami saya yang hanya balik mungkin seminggu sekali, sebulan sekali atau setahun sekali.
Dan akhirnya, kami berpisah… Ini pengalaman yang tidak dapat saya lupakan,” bicara Nur Hati. Ikuti sambungan kisah Nur Hati di bahagian 3…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terinspirasi dengan kesungguhan Hazlin Hussain dalam menimba ilmu dan berusaha menjadi hambaNya yang lebih baik. Nama wanita serba boleh ini dikenali ramai selepas dia menyertai pencarian bakat ‘Gadis Melayu’ Musim Kedua pada tahun 2009 dan kemudian ...