
Dunia hiburan dan fesyen antarabangsa dikejutkan dengan skandal seks penerbit Harvey Weinsten. Terbongkarnya perkara ini membawa kepada banyak perubahan dan juga pergerakan yang membela karyawan wanita dalam dunia fesyen, media dan hiburan.
Namun begitu dalam kekecohan yang berlaku, ada hati yang terluka. Individu tersebut ialah isteri Harvey, Georgina Chapman yang juga merupakan seorang pereka fesyen dan pengasas bersama jenama popular Marchesa.

Bayangkan dek kontroversi ini, dia terpaksa menunda pertunjukan fesyennya serta merta. Di samping itu dia juga dituduh menyembunyikan sikap buruk suaminya ini dan mengambil kesempatan di atas pengaruh suaminya untuk membangunkan jenamanya menerusi aktres-aktres wanita yang berlakon di bawah arahan Harvey agar memakai busana rekaannya.
Menafikan perkara tersebut, Georgina yang juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata cukup terkejut dan malu untuk berhadapan dengan orang sekeliling. Sebaik sahaja perangai buruk suaminya ini terbongkar dia terus mengeluarkan satu kenyataan kepada umum.
Luahnya, “My heart breaks for all the women who have suffered tremendous pain because of these unforgivable actions. I have chosen to leave my husband. Caring for my young children is my first priority and I ask the media for privacy at this time.”
Seiring dengan penceraiannya dengan Harvey, Georgina diberikan hak penjagaan penuh kedua-dua anak mereka yang maisng-masing berusia 10 dan 4 tahun. Mencapai persetujuan dalam penyelesaian kes perceraian, wanita berusia 41 tahun ini dijangka bakal menerima wang sebanyak $20 ke $25 juta selain itu dia juga bakal menerima elaun perumahan dan bonus tahunan.
Suami Melebihkan Isteri Atau Ibu, Kupasan Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar Yang Menyentuh Hati

Memang banyak terjadi dalam masyarakat apabila seorang anak lelaki berkahwin terus melupakan tanggungjawabnya terhadap ibu. Lebih-lebih lagi ibu yang sudah uzur dan tinggal di kampung.
Mungkin kadang-kadang bukan suami terlupa tetapi tenggelam dalam tanggungjawab di tempat kerja dan tanggungjawab keluarga kecil yang baru dibinanya. Namun, jika situasi ini terus berlarutan bimbang akan mengecilkan hati ibu yang mengandungkannya.
Sebaliknya, ada juga seorang suami yang melebihkan tanggungjawab terhadap ibunya sendiri sehingga mengabaikan isteri dan tidak mengendahkan perasaan isteri yang menjeruk rasa.
Ini adalah antara fenomena yang sering dihadapi oleh seorang suami apabila berhadapan dilema untuk memilih ibunya sendiri atau isteri tercinta. Kupasan Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar tentang isu ini ialah;

“Hadis yang diriwayat oleh Imam Al-Tarmizi, nak bagitahu kepada kita bagaimana pula tanggungjawab suami untuk dapat reda Allah SWT dengan memberikan tanggungjawab yang cukup sempurna.
Ada sebuah kisah tentang sahabat yang dimuliakan oleh Allah SWT telah membelakangkan mentuanya. Mentua dalam adab keseluruhannya, peringkat atau bahagian adab kita dengan mentua itu selaras dengan kedua orang tua kita sendiri.
Maka ada orang dia bernikah bersama dengan anaknya semata-mata. Dia tidak bernikah bersama kedua orang tuanya. Maka sebab itulah kita mesti letakkan bahawa keutamaan ataupun khidmat kepada ibu dan ayah kita setanding juga kepada mentua kita.
Bagaimana pula kalau ada ibu yang berkecil hati dengan suami ketika mana mengutamakan isteri? Jadi pada hari ini apabila seorang suami keluarkan dana yang cukup besar kepada isteri tapi terlupa untuk berikan kepada ibunya.
Saya nak bagitahu kepada sahabat wanita di luar sana, seorang wanita yang solehah dia akan ingatkan kepada suaminya untuk berbakti kepada ibunya.
Dan itulah lantunan permintaan kata-kata seorang wanita yang minta kepada suami agar bukan sahaja dia seorang sahaja yang peroleh bahagia tapi suaminya itu juga memberi kebahagiaan kepada kedua orang tuanya.
Dalam satu kisah yang tidak berapa kuat riwayatnya iaitu kisah Iqamah yang ketika Iqamah ini mendukacitakan hati ibunya sehingga menyebabkan ringkasannya Iqamah ini jenazahnya tidak boleh mengucap, tak dapat dimandikan dan tak boleh pergi dengan elok.
Sedangkan Iqamah ini adalah seorang yang taat kepada perintah Allah SWT. Tetapi hatinya berpaling saat mempunyai isteri.
Isteri itu adalah madrasah dan madrasah kepada anak-anak juga madrasah kepada sang suami.
Walaupun seorang lelaki itu sudah menikah tapi tidak akan lepas daripada beberapa tanggungjawab iaitu;
- Yang pertama; lelaki itu tidak akan lepas tanggungjawab terhadap bapanya, sakit pening bapanya adik-beradik lelaki mesti bertanggungjawab maka sebab itu faraid (pembahagian harta) lebih kepada anak-anak lelaki. Sebab dia kena bantu keluarkan duit dahulu.
- Yang kedua; tanggungjawab terhadap mak dia. Apa pun seorang suami dia kena dahulukan ibunya.
- Yang ketiga; adik perempuannya. Walaupun dah menikah pada ketika itu, dia mesti tahu apa yang berlaku pada adik perempuannya. Sebab jika berlaku perceraian adik perempuannya abangnya ini yang menjadi wali kepadanya.
Sebab itu sahabat yang dimuliakan oleh Allah SWT perhatikan perkara ini, jangan sampai kita bahagiakan wanita yang dinamakan sebagai isteri tetapi lupa pada tiga tanggungjawab ini.
Sahabat sekalian, maaf bicara, isteri bila-bila boleh diganti tapi ibu itu hanya satu dan tiada gantinya. Doa isteri itu mungkin boleh berubah-ubah tetapi doa ibu itu tiada hijabnya.

Di saat kita membelakangkan ibu kita adalah saat kita kita sedang membelakangkan doa kita terhadap Allah SWT. Antara punca doa kita tak makbul, perniagaan kita tak maju, rezeki kita sempit adalah kerana kebiadapan kita kepada kedua orang tua. Paling halus adalah apabila kedua orang tua kita sudah tidak sudi untuk berdoa kepada kita, maka berhati-hatinya pada ketika itu,” kongsi Ustaz Ahmad Fuad.
Sumber: FB Kuliah Ustaz Fawwaz Mad Jan
Basikal Terpakai Hadiah Arwah Bapa Bawa Semangat Azizulhasni Raih Juara Dunia Keirin & Pingat Olimpik

Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mengharumkan nama negara dengan meraih kejayaan demi kejayaan di arena sukan basikal adalah suatu pengorbanan yang sukar dibalas.
Dalam persediaan memburu emas Olimpik sulung negara di Tokyo tak lama lagi, Juara Dunia Keirin 2017 ini terpaksa ‘meninggalkan’ sementara isteri tercinta dan anak-anak tersayang demi perjuangannya memburu pingat pertama untuk negara.



Besar sungguh pengorbanan ayah kepada dua anak puteri, Amna Mariam dan Amna Khadeeja dan suami kepada Athiah Ilyana Abdul Samat kepada negara.
Khabarnya, pemilik Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan di Universiti Deakin, Melbourne, Australia ini bukan saja menjadi tumpuan media tempatan. Malah turut diberi penghormatan oleh wartawan antarabangsa apabila disenaraikan antara 10 atlet yang harus diberi perhatian menjelang Sukan Olimpik Tokyo kelak.


THE POCKET ROCKETMAN
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini begitu terkenal seluruh dunia dengan gelaran The Pocket Rocketman.
Kemampuannya merakam kelajuan hampir mencecah 100 kilometer per jam (km/j) begitu luar biasa sehingga mendapat gelaran sebegitu. Kagum melihat kejayann anak ke-8 daripada 9 adik-beradik ini.


Azizul kini berada di tangga teratas dalam acara pecut individu berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 9 Februari 2021. Ranking pertama itu diperolehi kerana Azizul telah berjaya mengumpul 1,600 mata.
Imbas kisah antara Azizul dengan basikal apabila arwah bapanya yang memberi basikal terpakai sebagai ganjaran selepas dia mendapat 7A 1B dalam PMR. Ketika itu, Azizul banyak terima tawaran melanjutkan pelajaran di SBP dan MRSM tetapi memilih Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana minat yang mendalam bidang sukan.


Daripada basikal terpakai, Azizul bakal menggunakan basikal istimewa di sukan Olimpik nanti berdasarkan laporan Berita Harian Online. Basikal tersebut dihasilkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd.
BURUAN PINGAT
Semoga Azizul mampu melakar sejarah besar berbanding di Rio 2016 selepas mengakhiri musim 2020 penuh bergaya dengan meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane, Disember lalu.
Dilahirkan pada 5 Januari 1988 atlet negara ini membuat penampilan pertama di sukan Olimpik pada 2008 di Beijing apabila menduduki tempat ke-10 selepas terkandas di separuh akhir dalam acara keirin.
Empat tahun kemudian di London Azizul berjaya mara ke final acara berkenaan tapi menduduki tempat keenam.
Di Rio 2016, Azizul sekali lagi mara ke saingan akhir dan kali ini berjaya membawa pulang gangsa selepas tumpas kepada Jason Kenny (Great Britain) yang meraih emas dan pemenang pingat perak dari Belanda, Matthijis Buchli.
Demi Anak, DATIN ARIANIE & DATO’ HATTAN Sanggup Upah USTAZ Datang Ke Rumah! Enggan Anak Ketinggalan Dalami Ilmu Agama

Setiap ibu bapa pasti ada cara didikan tersendiri buat anak-anak tersayang. Walau apa jua asuhan yang diterapkan kepada mereka, tujuan utamanya tetap sama.. Memohon keberkatan ilahi seterusnya memperoleh kesenangan dunia akhirat.
Dilahirkan sebagai anak selebriti sudah pasti mengundang cabaran buat Adam Eiman, satu-satunya cahaya mata tunggal Datin Arianie dan Dato’ Hattan. Sama seperti ibu bapa lain, baik Datin Arianie mahupun Dato’ Hattan kedua-duanya mengharapkan yang terbaik untuk Adam. Selain memberi penekanan dalam bidang akademik dan sahsiah diri, bekas ketua pramugari MAS ini turut tidak terkecuali membentuk peribadi Adam dengan ilmu agama.
Beliau percaya sejauh mana pun kesenangan yang diraih hari ini, agama tetap menjadi tunjang kehidupan. “Sehingga ke hari ini pun saya dan Dato’ Hattan masih minta Adam mengaji. Walau pun umur dia sudah 19 tahun sekarang, kami tetap panggil ustaz datang ke rumah untuk mengajar. Sebab kami rasa ia sangat perlu.
Iyalah, budak muda sekarang dugaan mereka macam-macam. Setiap kali kalau hendak keluar rumah saya akan pesan jangan balik lambat dan mesti tanya ke mana dia pergi. Bukan maksudnya tak percaya pada anak tapi penting untuk ibu bapa pantau. Dalam masa sama beri kebebasan dan tak lupa terapkan ilmu agama supaya dia tahu yang mana salah dan betul.
Sebagai emak, saya banyak nasihatkan Adam. Alhamdulillah, dia anak yang ikut cakap. Balik dari universiti pun, dia akan terus masuk bilik dan buat hal dia sendiri. Kalau keluar dengan kawan-kawan, dia akan maklumkan kepada saya dulu dan jenis yang suka bercerita tentang aktivitinya kepada kami berdua. Tapi biasalah, anak lelaki pasti ada sikap degil dan nakal. Paling penting jangan terlalu mengongkong anak,” terang Datin Arianie sambil mengakui kerap mengingatkan Adam tentang masa depan dan bijak mengatur hala tuju hidup.
Apabila ditanya tentang status VIP yang dibawanya hari ini dan isteri kepada selebriti, Datin Arianie nyata enggan menganggap pengiktirafan itu sebagai satu perbandingan dengan masyarakat sekeliling. Katanya, beliau dan Dato’ Hattan tetap selesa menjalani rutin hidup yang sama sebelum diberikan gelaran berkenaan.
“Jujurnya sama saja kehidupan kami dulu dan kini tak ada beza. Ia sesuatu yang subjektif dan bergantung pada individu berkenaan untuk bawa diri mereka sendiri. Ada yang selesa bawa body guard ke mana saja mereka pergi tapi untuk kami, tidak perlu. Memegang gelaran datin, saya pilih untuk tidak terlalu menjaga sampai timbul rasa kurang senang di kalangan orang sekeliling. Cara saya, biar orang yang ada di sekitar kita rasa selesa dan tak mahu buatkan diri kita berada terlalu di atas sangat.”