Skirt Pendek, Baju Ketat Tak Selamat, Syarikat Penerbangan Patut Tukar Uniform Rasmi Dengan PPE!

Dada langit terbentang luas. Sayap burung berkibar bebas. Bumi bernafas semula, dan penghuni udara pun kembali berkicau, menari dan menyanyi di alamnya.

Ruang angkasa sunyi sepi sejak COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik global. Bagaikan kaca yang terhempas, begitulah operasi penerbangan dunia yang terjejas apabila majoriti negara mengunci pintu masuk demi mengawal penularan wabak.

Mungkinkah norma baru ini bakal mengubah landskap dan saiz industri penerbangan antarabangsa? Sejauh mana pula tahap perlindungan krew udara yang bertugas, apakah persiapan untuk para frontliners ini mendepani kemungkinan?

UNIFORM BARU

All set, Allstars!
Anak kapal bertugas dalam uniform PPE

Terbaru, syarikat penerbangan tambah rendah AirAsia Filipina tampil dengan pembaharuan. Demi melindungi anak-anak kapal dalam penerbangan, uniform PPE (Personal Protective Equipment) ini dilancarkan sempena operasi penyelamatan dari Bangkok ke Manila di tengah ancaman COVID-19.

Uniform PPE dengan warna korporat merah dan putih itu direka oleh pereka fesyen Filipina yang bertapak di Los Angeles, Puey Quinones. PPE ini bukan saja mementingkan keselesaan dan keselamatan anak kapal, malah semua penumpang yang memilih AirAsia.

“Ini adalah usaha kita semua untuk membantu mendatarkan keluk wabak COVID-19. Saya hanya memilih material PPE yang diluluskan oleh Kementerian untuk melindungi Allstars kami.

Pemakaian PPE ini dapat menonjolkan tenaga AirAsia yang mahu bangkit semula. Ia juga boleh menyuntik keyakinan agar anak kapal kembali bertugas dengan cemerlang seperti dulu,” kata Timbalan Pengerusi dan pemegang saham majoriti AirAsia Filipina, Sheila Romero.

Sheila Romero
Puey Quinones
PPE bakal jadi uniform rasmi krew udara?

Material PPE itu telah diuji melalui beberapa stress test bagi menjamin daya ketahanannya. Ia tidak terlalu berat atau tebal, nampak chic dan lasak seperti pakaian pemandu kereta lumba F1.

Apa yang jelas, uniform PPE ini adalah gabungan fesyen dan keselamatan, yang menjadi standard utama dunia penerbangan hari ini.

PPE UNTUK ANAK KAPAL MALAYSIA

Walau bagaimanapun, AirAsia Malaysia masih belum memberi kenyataan rasmi sama ada bakal menghasilkan PPE serupa. Menerusi posting terkini di Facebook, AirAsia berkongsi video tentang kaedah pembersihan dan sanitasi harian dalam kapal terbang ini sebagai langkah pencegahan COVID-19.

Sejak PKP bermula, AirAsia Malaysia sebenarnya telah banyak melakukan misi penyelamatan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di seluruh dunia.

Mungkinkah inisiatif AirAsia Filipina yang mereka uniform PPE ini, boleh diguna pakai untuk keselamatan petugas AirAsia Malaysia?

Semoga bala musibah ini akan segera berakhir dan kita semua dapat kembali terbang dan meneroka keindahan bumi Tuhan ini sekali lagi.

Share
Published by
Norzalina