Sebuah video memaparkan usahawan kosmetik terkemuka, Datuk Seri Vida menerima bungkusan menjadi bualan para netizen di laman Instagram hari ini.
Mana tidaknya, bingkisan yang dibungkus kemas bagaikan hantaran itu dibalut dengan sehelai kain songket tampak mewah dan eksklusif! Kelihatan usahawan tersebut seakan terkejut menerima bungkusan hadiah tersebut bila disogokkan dengan kata-kata berbau lamaran.
“Saya dilamar?Siapa yang lamar? Jangan main-main terkejut!. Bab lamar-lamar ni sensitif,”ujarnya sambil membuka bungkusan yamg diterimanya itu.
Melihat ruangan komen di video tersebut,rata-rata peminat menzahirkan rasa gembira andainya usahawan yang popular dengan lagu Ku Ikhlaskan itu menerima lamaran setelah melalui kegagalan dalam beberapa perkahwinan terdahulu.
Vida pernah menzahirkan hasrat untuk berkahwin lagi dan pernah memberi kenyataan pernah melakukan solat istiqarah dan berdoa untuk dipertemukan jodoh.
Malah usahawan terkenal itu pernah membuat kenyataan akan membuat ‘check up’ (pemeriksaan kesuburan) untuk memastikan dirinya boleh melahirkan zuriat sekiranya dipertemukan jodoh. Apa-apapun, segalanya masih menjadi tanda-tanya!
Luluh! Hati Tengok Kanak-Kanak Tiada Makanan, MILA JIRIN Lancar Kempen RM5 Juta Tunai Percuma
Siapa yang tidak terkesan melihat kesusahan masyarakat saat mendepani pandemik COVID-19 ini. Ramai yang kehilangan kerja, simpanan makin menyusut dan tak kurang juga yang tak ada duit nak beli makanan.
Sebagai seorang isteri dan juga ibu, Noorsyarmila Jirin atau lebih mesra disapa Mila Jirin tersentuh saat mengetahui ramai yang bergelut dengan pandemik COVID-19 ini.
Tidak mahu melihat kesusahan yang berpanjangan isteri kepada Pengarah Eksekutif Bizmilla, Ailis Mustapha ini mencari jalan untuk membantu orang ramai. Mila Jirin telah mengambil inisiatif dan bakal melancarkan Kempen RM5 Juta Tunai Percuma dengan kerjasama Malakat Mall mulai 31 Julai ini.
Ibu kepada seorang anak ini berharap dapat membantu mengurangkan beban masyarakat termasuk mereka yang berdepan kesukaran saat ini. Bahkan kempen itu juga dianggarkan mampu membantu lebih 100,000 keluarga di Malaysia.
“Memang besar harapan saya supaya kempen ini dapat membantu mengurangkan beban masyarakat kita. Cita-cita saya memang mahu membantu lebih 100,000 keluarga ini.
Saya bukan ahli politik, insan berpengaruh ataupun nak tunjuk hero. Tapi saya juga manusia biasa yang tahu kesukaran dilalui masyarakat ketika ini bukan sesuatu yang mudah. Saya juga seorang ibu, jadi tak sanggup melihat anak kecil tak ada makanan. Saya tak dapat membayangkan situasi sebegitu terjadi. Luluh hati.
Lalu, inisiatif kempen ini dijayakan Bizmilla bersama Malakat Mall diharap mampu menyuntik sedikit rasa bahagia buat mereka yang bergelut meneruskan kehidupan,” kata Juara Akademi Fantasia Musim 5 ini.
Menurut wanita yang berusia 34 tahun ini, Bizmilla dan Malakat Mall memperuntukkan RM5 juta dalam bentuk ‘Cash Back’ atau pulangan tunai kepada semua pelanggan.
“Peruntukan wang tunai RM5 juta itu diberikan kepada pelanggan yang membeli kredit tambah nilai untuk membeli barangan harian secara fizikal di kesemua lokasi Malakat Grocer di Selangor, KL dan Melaka.
Kempen ‘RM5 Juta Tunai Percuma’ ini akan dilancarkan di laman sesawang www.bizmillagrocer.com bermula jam 10 Pagi. Kesemua pelanggan yang membeli kredit beli belah akan mendapat 10 peratus tambahan tunai untuk berbelanja bila bila masa menggunakan E-wallet di Malakat Eco App,” kata wanita kecil-molek ini.
Kesemua pelanggan yang mendaftar sebagai VIP Members dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini di www.bizmillagrocer.com akan diberikan hadiah percuma baucar tunai berjumlah keseluruhan RM300.
“Baucar tunai itu dapat digunakan di Malakat Eco Mall Cyberjaya. Tak hanya itu saja, mereka yang menjadi VIP Members akan mendapat empat ekor ayam segar bernilai RM68 yang akan diberikan secara berperingkat setiap minggu apabila pelanggan membeli-belah di Malakat Grocer.
“Lima individu terawal yang mendaftar juga berpeluang memenangi hadiah istimewa termasuk baucer makan malam dan hadiah misteri lain,” katanya.
Mila menambah, Bizmilla juga sedang dalam fasa akhir menyiapkan Bizmilla Grocer iaitu pasaraya atas talian yang akan menjual pelbagai jenis keperluan asas dan barangan harian dengan harga yang berpatutan.
“Bizmilla Grocer ini akan dilancarkan pada awal Ogos depan. Inisiatif ini dilihat dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat di Semenanjung Malaysia kerana penghantaran percuma diberikan bagi pembelian 5 kilogram dan ke bawah melalui pembelian dari platform Shopee,” katanya.
Sementara itu, pemilik dan pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim atau lebih dikenali dengan nama Coach Fadzil, sangat teruja dengan kempen dianjurkan yang dijangka akan memanfaatkan lebih 100,000 keluarga.
Nak Berjimat? Cuba Kaji Jika Anda ‘Terjerat’ Dek Caj Tersembunyi
A small leak can sink an entire ship. Itu kata pepatah Inggeris yang amat tepat menerangkan bahayanya caj tersembunyi. Meskipun sedikit, namun jika dikumpulkan boleh membuat wang simpanan susut sekelip mata. Ya, misteri ‘kehilangan wang’ itu terjawab pabila kita menyemak semula perbelanjaan, yang mana kebanyakan daripadanya lesap kerana membayar caj-caj tersembunyi tanpa disedari.
Caj tersembunyi wujud dalam pelbagai bentuk dan terminologi. Contohnya untuk pembelian kereta, kos yang dikenakan mungkin merangkumi bayaran cukai, pendaftaran, pemeriksaan pra-penghantaran, tambang pengangkutan, insurans atau lain-lain yang disatukan dalam satu harga. Begitu juga dengan pakej langganan yang ditawarkan oleh para penyedia perkhidmatan, realitinya banyak kos tambahan yang tidak diterangkan dengan jelas menerusi iklan-iklan.
Tanpa mengetahui kos sebenar terhadap caj-caj ini, tidak mustahil dompet anda akan lebih kempis sebelum waktunya. Bagi pengguna talian telekomunikasi, broadband, kad kredit dan keahlian gimnasium, caj tersembunyi akan mengikat anda melalui apa yang digelar kontrak. Mahu atau tidak, ada kalanya itu sahaja pilihan yang ada! Begitu juga dengan senarai ‘kebocoran’ di bawah, awasinya demi keselamatan wang anda.
KADAR FAEDAH BANK ATAU CAJ KELEWATAN
Kelewatan membuat pembayaran mengikut tarikh yang dijanjikan akan membuat anda membayar lebih dari apa yang sepatutnya. Kadar faedah bagi baki kad kredit boleh mencecah ratusan ringgit jika lambat dilangsaikan. Cara terbaik adalah patuh dengan tarikh yang ditetapkan dan bayar penuh bagi mengelakkan caj tambahan.
Tip: Sekiranya anda berdepan masalah untuk melunaskan hutang bank, mengapa tidak memilih kemudahan ‘Pemindahan Baki’ untuk menjimatkan caj faedah? Kebanyakan bank menawarkan faedah 0% untuk kemudahan ini dan anda dapat berjimat banyak dengan membuat sedikit perubahan kecil.
PEMBAZIRAN TENAGA ELEKTRIK
Kebanyakan barangan elektronik di rumah masih menggunakan tenaga elektrik walaupun ketika ia tidak digunakan. Aneh tapi itulah realitinya. Penggunaan perkakas yang tidak diselenggarakan dengan baik, tiada fungsi penjimatan tenaga atau digunakan tanpa kawalan turut membuatkan bil mendadak naik.
Tip: Gunakan mentol yang menjimatkan tenaga dan baiki peralatan rosak dengan segera. Pastikan juga sebelum anda meninggalkan rumah, cabut plag perkakas daripada soket dinding untuk mengelakkan kebocoran elektrik.
KOS PENGHANTARAN
Sama ada memesan makanan atau membeli-belah secara online, anda mungkin akan dikenakan caj terhadap kos penghantaran yang tinggi. Sesetengah jenama menawarkan perkhidmatan kos penghantaran percuma tapi kebanyakan yang lainnya masih mengenakan caj kadar rata atau kos pengendalian.
Tip: Seboleh-bolehnya, cuba jimatkan kos penghantaran dengan berkongsi membelinya dengan rakan atau ahli keluarga bagi meringankan sedikit beban.
KAD UCAPAN
Kerap kali kita membeli kad ucapan dan hadiah buat orang tersayang. Mungkin sewaktu sambutan hari jadi, ulang tahun perkahwinan atau hari graduasi mereka. Namun harga sekeping kad ucapan boleh mencecah puluhan ringgit, lebih-lebih lagi kad yang diimport atau direka eksklusif. Persoalannya, adakah pembelian anda berbaloi dan dihargai kelak?
Tip: Untuk mengelak daripada pembaziran, apa kata anda buat kad ucapan dengan kreativiti sendiri? Ia pastinya lebih istimewa dan mempunyai sentuhan peribadi.
BOTOL AIR MINUMAN
Kita sering melihat orang membeli botol air minuman di pasar raya atau kedai serbaneka untuk menghilangkan dahaga. Ia merupakan minuman yang mudah didapati pada harga yang murah. Namun jika terpaksa mengira jumlahnya, anda akan sedar bahawa banyak belanja yang digunakan untuk membeli minuman ini. Sebagai contoh, anggaran sebotol air minuman ialah RM1.50 x 30 hari, bersamaan RM45/bulan. Bagaimana jika dalam sehari, anda beli lebih dari sebotol air?
Tip: Untuk menghilangkan dahaga, jadikan tabiat untuk membawa bekal air minuman sendiri dari rumah. Dengan cara ini anda dapat berjimat daripada membelinya di luar.
TAMBAHAN DI RESTORAN
Ketika mengunjungi restoran, pelayan bertugas tentu sekali mendorong anda untuk menambah pesanan seperti pencuci mulut. Tambahan sebegini akan menyebabkan bil meningkat tanpa disedari. Anda harus sedar bahawa kebanyakan menu di restoran mengenakan caj yang tinggi terhadap minuman, pencuci mulut dan makanan sampingan.
Tip: Pesan minuman yang boleh dikongsi dengan pasangan atau keluarga, pilih kombo hidangan yang lebih menjimatkan serta carilah restoran yang menawarkan pilihan makanan percuma kepada kanak-kanak kerana mereka jarang makan dengan banyak.
Hari ini 5 tahun yang lalu, Putera Harry Mengahwini Cinta Hatinya, Orang Biasa MEGHAN MARKLE
Harry merupakan anak kedua Raja Charles III (ketika itu Prince of Wales) dengan Diana, Princess of Wales. Beliau dengan Meghan, seorang pelakon A.S. yang terkenal menerusi siri drama TV “Suits,” mula menjalin cinta pada pertengahan 2016.
Harry melamar Meghan di taman Istana Kensington, London & kemudian bertunang pada 2017. Pada November tahun itu, Clarence House mengumumkan bahawa mereka akan melangsungkan perkahwinan pada musim bunga 2018.
Upacara perkahwinan gilang-gemilang penuh istiadat berlangsung pada Sabtu, 19 Mei 2018 di Gereja St. George’s, Istana Windsor. Beberapa jam sebelum upacara bermula, Harry dikurniakan gelaran Duke of Sussex oleh nendanya, Ratu Elizabeth II.
Tengah hari itu, Meghan berjalan masuk bersama pengiring sebelum disambut Charles mengiringinya menuju ke altar. Disaksikan kira-kira 600 ahli keluarga & tetamu jemputan, Harry, di usia 33 tahun & Meghan, 36 tahun, bertukar janji & sah sebagai suami isteri.
Untuk upacara tersebut, Meghan memilih gaun rekaan Claire Waight Keller oleh Givenchy, sementara Harry mengenakan pakaian seragam Blues & Royals, mengikut tradisi diraja & sebagai penghormatan kepada perkhidmatannya bersama rejimen itu.
Meghan menjadi warga A.S. ke-2 & orang berdarah campuran pertama yang mengahwini kerabat Diraja British. Sekali gus, perkahwinan ini menandakan episod baharu dalam monarki British apabila menonjolkan penerimaannya terhadap kepelbagaian budaya.
Antara kelainan yang turut dibawa dalam perkahwinan ini adalah Harry & Meghan meminta supaya segala sumbangan disalurkan kepada badan-badan kebajikan pilihan mereka, sebagai ganti kepada tradisi pemberian hadiah perkahwinan.
Perkahwinan Harry & Meghan dianggar menelan kos sekitar £32 juta. Pada masa sama, ia juga menjana pendapatan sebanyak £1 bilion kepada ekonomi British, dibawa oleh para pelancong & penjualan cenderahati.
Sumber: ASTRO AWANI