Allahu, meremang bulu roma dengar pendedahan Shima sewaktu pemergiannya ke Tanah Suci pada Januari 2018. Walaupun sudah dua tahun berlalu, namun insiden mendirikan solat di depan Kaabah dalam keadaan hujan lebat cukup terkesan di hati pelantun lagu Teringin ini. Kelu melihat kejadian berkenaan, Shima rasa terpanggil untuk berkongsi detik-detik yang dilaluinya saat itu dengan harapan ia mampu meningkatkan lagi ketakwaan kita semua sebagai hamba Allah SWT.
Ditemui ketika sesi fotografi bersama Nona, pemilik nama Ku Nazatul Shima Ku Kamaruzzaman ini membuka bicara. “Saya ingat lagi waktu itu di Mekah dan hari Jumaat. Saya dan Raja Nurfatimah Mawar dapat solat betul-betul di depan Kaabah. Punyalah lebat hujan, tapi dalam basah pun kami tetap solat. Lepas solat, saya bangun tengok semua kering je. Terus terdetik rasa, eh.. macam tak ada apa-apa berlaku. Kuasa Allah, ” kongsi Shima sambil tersenyum manis.
Memang seronok dengar pengalaman Shima ketika mengerjakan umrah di Mekah tajaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 26 Januari 2018. Mengulas lanjut memori indah sepanjang berada di sana, penyanyi berusia 51 tahun ini berkata salah satu peristiwa manis dan tidak dapat dilupakan adalah ketika dia ingin menunaikan solat di Raudah.
“Masa masuk Raudah saya terus berdoa, ‘Ya Allah Ya Tuhanku, izinkan aku solat di sini’. Habis je doa saya tengok daripada suasana ramai orang yang bertolak-tolak di dalam tu, seolah-olah ada satu bulatan kecil untuk saya. Macam semua orang ke tepi dan ada laluan kecil di situ yang membolehkan saya bersolat. MashaAllah, memang ajaib.”
Kongsinya lagi, “Di Madinah waktu tu sejuk tapi di Mekah dah panas. Peliknya, saya tak terasa panas pun dan tak ada berpeluh-peluh sampai sekarang walaupun dah bertudung.
Saya memang dah lama teringin berhijab dan simpan niat dalam hati. Pernah juga terdetik kalaulah dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci, aku akan terus berhijab. Kuasa Allah, tak lama lepas tu saya dapat tawaran mengerjakan umrah dari Jabatan Perdana Menteri dengan beberapa rakan artis.
Setibanya di sana saya rasa tenang sangat. Saya cakap dengan mutawif, balik nanti saya nak bertudung terus. Alhamdulillah, sampai sekarang saya makin selesa berhijab.”
Tambahnya lagi, “Masa first time nampak Kaabah, perasaan tu memang sukar nak ungkap. Dari KL saya dah mula rasa takut sebab kita rasa dosa kita tu dah banyak sangat. Dalam hati cakap, janganlah sampai tak nampak Kaabah nanti.
Masa buat umrah pertama, mutawif tunjuk ke arah Kaabah. Saya nampak je terus menitik air mata. Terus ter’flashback’ apa yang kita buat muda-muda dulu. Perkataan pertama, MashaAllah. Tersergam indah di tengah-tengah tu. Terasa tenang sangat. Masa dapat peluang masuk Raudah, macam-macam saya berdoa. Hijir Ismail pun saya dapat masuk. Rezeki.”
Disebabkan kurang tawaran menyanyi dan keadaan Shima yang menderita sakit slip disc, isteri Abdullah Rusli ini akhirnya membuka warong makan Teringin di perkarangan rumahnya untuk menampung hidup.
Walaupun keuntungan yang diterima tidak semewah mana, namun sekurang-kurangnya ia mencukupi untuk perbelanjaan mereka suami isteri di samping keperluan ubat-ubatannya setiap bulan.
“Saya dah rasa dunia glamor ini.. cukuplah. Dah rasa semua. Kita ni macam roda ada masa di atas, ada masa di bawah dan jatuh terduduk. Kena kuat, bangun dan berusaha. Alhamdulillah, suami banyak beri sokongan juga dari keluarga dan ibu. Tidak kira sesiapa pun walau bukan artis misalnya suri rumah tangga, kena kuat dan bangun. InshaAllah rezeki tak akan salah alamat.”
This website uses cookies.