Dalam penataan gaya yang sempurna ketika meningkat usia selalunya kita harus mengambil kira beberapa faktor penting seperti bentuk dan jenis badan, pemilihan warna, pemilihan fesyen pakaian, faktor budaya dan sensitiviti masyarakat sekeliling.
Bentuk dan jenis badan:
Lazimnya kita wanita akan melalui perubahan bentuk badan apabila meningkat usia menjangkau lewat 40 an. Antara bahagian tubuh yang akan ketara mengalami perubahan adalah di bahagian, lengan ,perut, pinggul dan peha dimana ia akan menggelebeh sedikit dan kurang anjal jika tidak melakukan senaman untuk ‘me-maintainnya’. Namun perubahan ini berbeza dalam setiap individu mengikut corak kehidupan dan tabiat mereka.
Maka jika anda mengalami perubahan ini maka gaya yang lebih tepat bagi anda ialah memastikan bahagian yang mengalami ‘perubahan’ ini tidak ditonjolkan dan disorokkan dengan cara yang bijak dan kreatif serta masih bergaya.
Gunakan teknik ‘pensamaran’ atau ‘camouflage system’ yang mana anda boleh menggunakan corak dan garisan dalam fabrik pakaian untuk mengalih perhatian dari bahagian yang bermasaalah tadi.
Lengan:
Misalnya jika lengan menggelebeh – gunakan lengan panjang samada longgar atau ketat. Jangan pakai blous tanpa lengan atau lengan pendek.
Perut:
Untuk menutupi bahagian perut yang buncit pula- Memakai skirt adalah lebih baik daripada memakai seluar, elakkan daripada memakai pakaian tebal dan ketat serta fabrik yang licin. Jangan memasukkan blaus ke dalam skirt /seluar yang ketat. Guna corak garisan serong yang kecil dalam skirt /seluar untuk nampak langsing. Jangan pakai tali pinggang besar kerana ia akan memfokuskan bahagian perut sebaliknya cuba pakai aksesori berdekatan bahagian muka supaya perhatian dapat dialihkan.
Pinggul dan peha:
Pilih seluar/skirt yang berwarna gelap dibahagian bermasalah ini dan guna warna lebih cerah di bahagian atas, pilih potongan yang lurus dan terlalu ketat, pilih jaket atau blous yang labuhnya sampai ke atas atau bawah bahagian pinggul yang paling lebar.
Warna:
Apabila usia kita meningkat lebih matang maka dengan semulajadinya warna kulit akan bertukar gelap sedikit secara semulajadi samada lebih tahap kemerahannya atau kekuningannya. Maka pilihan warna dalam pakaian juga perlu diubah mengikut warna semulajadi kulit. Disyorkan supaya memilih warna yang sederhana terang atau cerah supaya kita tampil lebih bertenaga dan ceria seperti warna jingga muda, merah cair, kuning cerah atau hijau cerah.
Pemilihan fesyen pakaian:
Adalah sebaik-baiknya memilih pakaian yang tidak terlalu mendedahkan aurat dan menampakkan kulit atau fesyen yang keterlaluan seperti skirt pendek yang menampakkan lutut, pembukaan baju yang luas yang menampakkan separuh buah dada, atau pakaian yang terlalu ketat. Pilih pakaian jenis klasik yang selamat digunakan di dalam semua situasi sambil ia akan menampakkan anda lebih sofistikated dan elegan.
Fesyen pakaian yang terkini tidak bererti sesuai lagi bagi anda serta elakkan fesyen yang terlalu banyak ‘detailing’ seperti terlalu banyak zip, poket, berlapis-lapisan atau ropolan serta manik-manik dan kerawang. Ingat kesederhanaan adalah lebih baik daripada keterlaluan.
Ada juga di kalangan wanita yang baru masuk era 30an tetapi memilih fesyen yang begitu matang sehingga nampak tua sebelum waktunya. Di usia 30an adalah era yang dianggap pertengahan dimana kita masih lagi boleh bereksperimentasi dengan jenis skirt yang pelbagai tetapi bawah sikit paras lutut. Seluar jenis Capri atau keloggs atau separa betis masih lagi sesuai untuk digunakan mengikut stail yang berbeza. Potongan blous atau dress yang mengikut bentuk tubuh masih lagi dibenarkan asalkan tidak terlalu ketat.
Faktor budaya & sensitiviti:
Sebagai masyarakat yang beragama Islam amnya, samada bertudung atau tidak ,kita masih terikat dengan adat resam, tertib dan tatasusila budaya kita. Maka kita perlu menghormati dan memelihara budaya kita sendiri. Dalam aspek pemakaian, kita perlulah sentiasa sopan terutama sekali apabila kita berada dalam situasi di khalayak ramai.
Apabila kita bergaul dengan masyarakat sekeliling, dalam konteks pakaian- ia melambangkan peribadi kita. Pakaian adalah satu medium perhubungan dimana ia bercakap tentang diri kita. Maka apa yang anda pakai akan menentukan persepsi masyarakat mengenai maksud sebenar tentang apa yang anda cuba sampaikan mengenai diri anda. Misalnya jika anda berpakaian terlalu seksi pada usia 40 an ke atas ia akan menyampaikan maksud, anda inginkan perhatian orang ramai atau kaum lelaki dan jika jawapannya ‘ya’ maka untuk apa? Ia akan menimbulkan syak wasangka terhadap diri anda.
Gaya tak mengikut usia public figure:
Jika anda tergolong dalam ‘public figure’ samada selebriti terkenal atau orang kenamaan maka anda perlu sedar bahawa gerak geri dan penampilan anda sentiasa diperhatikan dan menjadi ikutan. Maka dengan itu anda perlulah berhati-hati dalam memilih pakaian yang sesuai.
Terutama sekali apabila kita mempunyai taraf kewangan yang kukuh maka kita akan sentiasa terdorong untuk berbelanja dan membeli belah lebih dan hanya inginkan yang bermutu. Namun anda perlu ingat bahawa yang bermutu tidak semestinya yang mahal.
Antara kesilapan yang sering dilakukan oleh public figure ketika berpenampilan ialah menggunakan terlalu sarat aksesori dipadankan dengan pakaian yang sudah bermanik dan berlabuci dan aplikasi dandanan serta solekan yang kurang sesuai dengan tempat dan situasi yang dituju. Ada juga yang berdandan seolah-olah keliru dan memakai sahaja baju tajaan tanpa mengambilkira kesesuaianya dengan personality diri dan majlis yang dituju.
Jika anda tidak selesa maka orang lain pun tidak akan selesa melihat anda. Kita perlu selesa dengan diri sendiri untuk tampil lebih berkeyakinan dan bergaya.
Walau secantik mana pun baju dress yang anda baru beli tetapi jika anda harus berjalan tersekat-sekat ketika memakainya maka ia akan kelihatan canggung dan akan mencacatkan keseluruhan penampilan anda.
Kesimpulannya fesyen untuk 30,40 dan 50 an adalah mengambil prinsip ‘kesederhanaan, tertib dan sopan’!
Info: Syarifah Shawati
This website uses cookies.