Gaya Hidup

Status Isteri & Ibu Bukan Halangan, HAJAH MASTURA Pelopori Sukan Selam Skuba MUSLIMAH DIVERS!

Wanita dan aktiviti lasak bukan lagi perkara baru. Salah satu aktiviti lasak yang semakin mendapat tempat di kalangan kaum Hawa ialah selam skuba. Kini dapat dilihat ramai yang menyertai aktiviti ini sebagai kesinambungan minat dan hobi.

Pun begitu, ada juga yang terpaksa menguburkan saja minat itu dek kerana tidak dapat mempelajarinya secara serius disebabkan kekangan batas pergaulan khususnta di kalangan wanita bertudung. Menyedari situasi inilah telah mencetuskan idea buat wanita berusia 45 tahun, Hajah Mastura Hj Abdul Manap untuk menubuhkan Muslimah Divers.

Siapa kata wanita yang sudah berkahwin tak boleh sertai aktiviti lasak? Hajah Mastura berjaya membuktikannya bahawa status sebagai isteri dan ibu bukan alasan untuk mengamalkan kehidupan aktif dengan menyertai selam skuba hanya selepas berkahwin.

PERMULAAN

“Tercetusnya Muslimah Divers ialah adalah kesinambungan minat dan hobi saya. Tetapi kini ia bertukar menjadi satu kerjaya yang memberi manfaat buat kaum wanita yang berminat dengan aktiviti selam skuba. Saya melihat ramai sebenarnya kaum wanita yang sangat berminat untuk melakukan aktiviti lasak ini tetapi setelah mereka mengetahui tenaga pengajar kebanyakannya terdiri daripada jurulatih lelaki maka hasrat itu pun terbantut.

Bertitik tolak daripada situlah terdetik di fikiran saya untuk membantu mereka merealisasikan hasrat tersebut. Maka, Muslimah Divers yang bersoperasi sejak tahun 2010 menjadi platform terbaik buat kaum wanita untuk melakukan aktiviti ini dengan lebih selesa. Saya turut mendapat pandangan daripada seorang kenalan ketika menjalankan projek bersama Islamic Tourism Centre. Saya ingin menggalakkan kaum wanita khususnya Muslimah untuk menjadi seorang yang berani dan tidak takut air dengan melibatkan diri dalam aktiviti selam skuba namun masih menepati syariat.

Nak dijadikan cerita, sebelum tertubuhnya Muslimah Divers saya dan anak-anak yang ketika itu masih kecil kerap menyertai suami pergi menyelam. Suamilah yang menjadi pendorong utama untuk kami menyertainya. Waktu itu saya masih bekerja di sebuah firma perunding kejuruteraan.

Suami merupakan ketua jurulatih selam skuba profesional. Kami sering ikut bila suami ada trip untuk latihan skuba. Secara tak langsung ia menjadi family trip kami,” kongsi anak kelahiran Negeri Sembilan ini yang menjadi pemilik kepada Scubatex Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menjual dan mengedar barangan serta perkhidmatan latihan selam skuba yang menawarkan aktiviti latihan menyelam.

Di Muslimah Divers, Hajah Mastura melatih wanita menjadi seorang jurulatih untuk mengajar lebih ramai wanita yang ingin memperoleh persijilan selam skuba. Muslimah Divers turut menerima permintaan daripada negara Brunei dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

CABARAN

“Saya bermula daripada zero. Tidak pernah ada pengalaman sebelum ini. Minat itu mulai muncul apabila sering ikut suami. Saya berusaha belajar teknik-teknik asas termasuk mengenali dan mengetahui cara penggunaan peralatan. Status sebagai seorang ibu dan isteri bukanlah penghalang kerana saya mendapat sokongan padu daripada suami dan anak-anak. Apa yang penting dalam aktiviti ini ialah patuh terhadap peraturannya, barulah terjamin keselamatan.

Jika seseorang itu tidak mematuhi arahan jurulatih dan mengabaikan aspek keselamatan kemungkinan dirinya akan terdedah kepada risiko. Selain itu, dari sudut mental dan fizikal juga haruslah kuat untuk mengharungi cabaran dalam aktiviti ini,” jelas Hajah Mastura.

PENGALAMAN

“Perasaan sewaktu berada dalam laut memang sukar diungkapkan. Jiwa terasa sangat tenang dan kerdil kerana di dalam laut suasananya sunyi. Percayalah, keunikan alam laut tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sangat indah dan menakjubkan! Kadang kala kita tidak dapat menjangka apa yang ada di dalam sana.

Saya berharap agar lebih ramai lagi golongan wanita menyertai aktiviti ekstrem seperti ini. Jika anda gemar berenang sekurang-kurangnya anda sudah pun mempunyai asas untuk menerokai alam dasar laut ciptaan Allah SWT,” akhiri Hajah Mastura.

 

Share
Published by
Amy Mohd