Gaya Hidup

#StayAtHome Masa Untuk Deko Rumah Biar Nampak Mewah!

Masuk dapur masak empat kali satu hari, sampai dah tepu idea nak masak menu apa. Sekarang masa untuk makeover kediaman anda agar nampak premium dan mewah!

Tidak kisah kategori rumah apa sekalipun yang penting bila kita berada di dalamnya terasa tenang, cantik dan elegan sepertinya berada di hotel. Sebenarnya kita tidak perlu berbelanja mahal pun untuk nampak mewah. Paling penting kreativiti, cita rasa dan usaha anda untuk mengemas. Kami kongsi tip deko untuk anda lakukan di masa terluang ini.

(1) Kreatif dengan penggunaan lampu

Pencahayaan bagi setiap ruang itu sangat penting dan mungkin ada sebahagian daripada kita terlepas pandang tentang perkara ini. Kalau ada lampu meja atau table lamp

yang tak digunakan, cuba keluarkan letak di ruang tamu.

Hiaskan lampu di sudut kerusi atau di tepi meja kecil. Sesekali jangan nyalakan lampu putih cerah satu rumah, memadai dengan suasana lampu kuning yang romantis, classy dan elegan. Anda juga boleh mencipta suasana dramatik dengan hamparan skarf bercorak moden menutupi bahagian atas lampu meja tersebut.

Bermain dengan lilin juga boleh memberi impak hiasan menarik. Letakkan dalam bekas kristal atau gelas kaca dan hias di atas kabinet atau di atas almari hiasan.

(2) Bermain dengan tekstil

Bagi menampakkan kesan elegan dan classy, bantal kecil sangat penting untuk diletakkan di atas sofa atau kerusi sandar anda. Inilah masanya jika anda rajin dan punya mesin jahit sendiri, buat sarung bantal menggunakan kain polos atau bercorak.

Tiada zip bukan masalah besar. Anda boleh buat sarung bantal tersebut tanpa zip seperti sarung bantal tidur. Terbaik jika gabungan corak sarung bantal tersebut print

dan polos.

(3) Table setting

Memang benar tidak ada tetamu datang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Tapi anda boleh sahaja mengeluarkan pinggan, gelas, sudu atau garfu yang cantik untuk menghias meja.

Jika anda punya cita rasa moden, corak geometri pasti menjadi pilihan dan jangan takut untuk gabungkan pelbagai coral asalkan dalam DNA yang sama. Bagi anda yang classy, pilih set pinggan mangkuk polos putih dan sedikit sentuhan keemasan.

Biarkan hiasan table setting itu di atas meja untuk kesan mewah, sepertinya anda bakal mengadakan majlis makan malam eksklusif.

(4) Simpan barang dekorasi kecil atau perhiasan souvenirs

Jangan serabutkan keadaan ruang tamu yang kecil dengan barang hiasan seperti anak patung, pasu bunga kecil, cenderamata dan sebagainya. Simpan semua barang tersebut di dalam bilik tidur atau study room.

Biarkan ruang tamu kelihatan leboh polos, praktikal, moden dan minimalis kerana di situlah anda akan menerima ramai tetamu dan bersantai. Kurangkan benda yang kecil-kecil ini, supaya mudah untuk dikemas setiap hari. Hiaskan ruang tamu dengan hiasan bersaiz besar seperti lampu, cermin, pasu bunga atau lukisan.

(5) Cat Rumah

Kalau ada lebihan cat di stor, boleh gunakan sekarang. Kalau sebelum ini warna dinding  rumah anda merah, hijau, kuning atau berwarna terang, cuba kembali pilih warna asas seperti putih, kelabu atau low tone. Ini memberi ilusi ruang lebih besar pada ruang dan mudah untuk disuai padankan dengan sebarang hiasan. Kiffy Razak

Share
Published by
Norzalina