Tahniah buat selebriti Nur Heliza Helmi yang kini bergiat aktif bergelar usahawan berjaya. Pernah mengeluarkan koleksi busana sebelum ini dan seleksi hijab indah dari label HelizaGuzelhive, 7 Disember lalu menjadi detik bermakna bagi Heliza apabila koleksi terbaru dan eksklusif Stella Collection dilancarkan secara rasmi.
Mengetengahkan rona pastel lembut seperti merah jambu dan lilac, istimewanya koleksi ini kerana menampilkan motif corak bunga-bungaan yang cukup sinonim dengan perwatakan wanita dan perincian HelizaGuzelhive rose gold charm. Didatangkan dalam dua pilihan iaitu Stella Collection Original berharga RM79 dan Stella Collection Crystal yang dihiasi dengan taburan kristal Swarovski bernilai RM139, koleksi ini nyata sesuai digayakan dalam apa jua keadaan, kasual mahupun formal.
https://www.instagram.com/p/Bcjhsn5BKb-/?hl=en&taken-by=helizaguzelhive
Sudah setahun menembusi pasaran muslimah negara, HelizaGuzelhive telah menghasilkan pelbagai koleksi hijab dan selendang menarik kepada para hijabi. Salah satu koleksi yang digemari ramai adalah Lubna Basic. Selain mementingkan soal kualiti dan material yang digunakan, setiap rekaan tudung inspirasi Heliza ini ditawarkan dengan harga yang berpatutan iaitu serendah RM49.
Pelancaran Stella Collection yang bertempat di Orchid Room, Majestic Hotel Kuala Lumpur turut dihadiri rakan media dan stokis terpilih. Moga perniagaan dan kerjaya Heliza terus cemerlang dan mampu menjadi inspirasi kepada seluruh wanita. Syabas diucapkan!
Tak Perlu Ke Korea, Kedai Serbaneka Popular emart24 Kini Di Malaysia!
Nampaknya emart24 bakal menyemarakkan lagi gelombang ‘Hallyu’ di Malaysia, dengan melancarkan kedai kelima di Bandar Sunway, sekaligus mengorak langkah menjadi kedai serbaneka Korea yang berkembang paling pantas di negara asalnya dan Malaysia!
Pelancaran ini menandakan lahirnya kedai ‘Reserve’ keduanya, dalam kurang daripada empat bulan sejak debutnya pada Jun 2021 yang lalu. Berpegang teguh pada janjinya, emart24 terus mentakrifkan semula pengalaman kedai serbaneka, dengan memberikan suntikan unik kepada rekaan dalaman setiap kedai ‘Reserve’ agar menampilkan ciri kelainan masing-masing.
Selain mengembangkan rangkaian makanan ringan Korea yang diimport dari pelbagai label peribadi popular seperti No Brand, I’m e, dan Minsaeng, emart24 terus memperkenalkan item baharu untuk menu makanan segar mereka. Antara ciri kelainan di Kedai ‘Reserve’ Bandar Sunway ialah konsep baharu stesen Cupmyeon bagi memenuhi keperluan komuniti pelajar di sekitarnya.
Ia membolehkan pelanggan mencipta versi mi cawan Korea mereka yang tersendiri dengan pelbagai jenis topping hebat. Sos Ghost Pepper telah diterapkan ke dalam pilihan makanan segar yang utama, seperti Cupbap, Cupdak dan Tteokbokki, yang boleh didapati di semua kedai emart24 untuk masa terhad.
Turut membuat penampilan sulung dan eksklusif di kedai ‘Reserve’ berkenaan ialah rangkaian Kek Bento, iaitu pencuci mulut yang semakin popular dalam kalangan generasi muda. emart24 berazam menjadi peneraju gaya hidup dengan menyediakan barangan berpemintaan tinggi, namun tanpa lari daripada pengalaman peruncitan Korea.
Dari segi keselamatan dan kualiti makanan, emart24 komited untuk memastikan semua bahan yang digunakan untuk makanan segar dan makanan siap makan bersumberkan pembekal-pembekal yang diiktiraf Halal. Selain makanan, pelanggan juga dapat menikmati pelbagai produk kecantikan Korea (K-beauty) ditawarkan menerusi kerjasama dengan OnlyKorea, iaitu pengedar sah produk kecantikan Korea yang dikenali sebagai antara kumpulan peruncit kecantikan Korea yang terkemuka di Asia.
Susulan kejayaan kedai-kedai awal serta gelombang ‘Hallyu’ yang terus rancak di Malaysia, emart24 dikatakan sedang merancang untuk membuka 12 kedai pada akhir tahun, selari sasarannya untuk melancarkan 300 kedai dalam 5 tahun akan datang. Pelanggan kini boleh mengunjungi emart24 di Bangsar South, Desa Sri Hartamas, Kota Kemuning, Sentul dan Bandar Sunway dari jam 8 pagi hingga 10 malam, setiap hari!
Inisiatif ‘Green Beauty’ Pupuk Generasi Cinta Alam Sekitar Melalui Pendidikan
Garnier Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran program pendidikan sekolah di seluruh negara sebagai sebahagian daripada inisiatif hijaunya di bawah kempen ‘Green Beauty’. Pelancaran tersebut diadakan di SMK Darul Ehsan di Selayang Baru dan dihadiri oleh Hajah Marpuaton Sastero, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan I.S.Shanmugaraj Subramaniam, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen Garnier Malaysia untuk memupuk generasi Hero Hijau yang seterusnya melalui pendidikan.
Green Beauty adalah inisiatif global Garnier melibatkan pendekatan menyeluruh ke arah kelestarian. Komitmen ini mempunyai sasaran besar menjelang 2025 untuk mengurangkan impak keseluruhan Garnier terhadap alam sekitar secara menyeluruh. Matlamat kelestarian 2025 termasuklah memastikan produk tidak dihasilkan daripada plastik baharu, dan menukar bungkusan bagi memastikan semua bahan boleh diguna semula, dikitar semula dan boleh dikompos.
Dengan mengambil langkah-langkah hijau dalam setiap perjalanan operasi jenamanya, Garnier juga komited memastikan tapak industrinya adalah neutral karbon menjelang 2025. Garnier juga berhasrat memperkasa 1,000 komuniti melalui program Penyumberan Perpaduan (Solidarity Sourcing).
Bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan inisiatif ini di peringkat tempatan, Garnier Malaysia bekerjasama dengan MNS untuk menjalankan program pendidikan sekolah yang bermatlamat mendidik 1,000 guru dan beribu-ribu lagi pelajar tentang kitar semula, guna semula dan cara-cara untuk menangani pencemaran plastik. Para pelajar juga turut diperkasa untuk mengamalkan pengetahuan kitar semula yang dipelajari melalui tong sampah kitar semula yang disediakan oleh Garnier.
Inisiatif ini dimulakan dengan pameran bergerak jelajah yang interaktif, dipenuhi pelbagai aktiviti dan bengkel pendidikan yang menyeronokkan di SK Subang Bestari 2 dan SMK Seksyen 4, Bandar Kinrara. Acara ini menerima banyak maklum balas positif daripada pelajar dan guru.
Chris Chan selaku pemimpin Garnier Malaysia berkata, “Pencemaran plastik terus menjadi isu di Malaysia. Melalui inisiatif Green Beauty, kami ingin memainkan peranan sebagai sebuah jenama kecantikan yang lestari dalam mewujudkan impak, tidak kiralah kecil atau besar, ke arah kesejahteraan alam sekitar dalam jangka masa panjang. Kami percaya terhadap kuasa pendidikan dan program pendidikan sekolah ini akan memupuk pencinta alam sekitar yang akan menjadi generasi Hero Hijau yang seterusnya demi Malaysia yang lebih bersih dan lebih hijau.”
“Garnier sangat berbesar hati dapat berganding bahu dengan MNS untuk melaksanakan inisiatif ini memandangkan mereka mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang meluas bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan dan kesan inisiatif, sekaligus membolehkan kami sama-sama mencapai keseluruhan matlamat yang ditetapkan,” tambah Chan.
SMK Darul Ehsan telah dipilih untuk pelancaran ini memandangkan sekolah tersebut cukup dikenali dengan pelaksanaan inisiatif hijau yang pelbagai di kalangan pelajar dan komuniti.
Antara inisiatif hijau yang dilaksanakan di sekolah ini termasuklah membina rumah hijau, sistem tadahan air hujan, menyediakan kelas agrikultur dan hortikultur, dan juga hab pengumpulan untuk minyak masak dan fabrik terpakai. Sekolah tersebut juga dikenali dengan pelaksanaan ‘Eco-Brick’, dimana botol plastik diisi padat dengan sisa buangan plastik untuk digunakan sebagai bahan binaan bagi menghasilkan dinding penebat atau perabot luar.
I.S.Shanmugaraj Subramaniam, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia berkata, “Program pendidikan sekolah di seluruh negara ini bertepatan dengan matlamat dan tujuan kami ke arah mendidik pelajar bagi mewujudkan minat mereka terhadap kitar semula dan pengurusan sisa buangan plastik.”
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Green Beauty oleh Garnier, layari www.garnier.com.my/green-beauty
Terpaksa Tinggalkan Anak Baru Dibedah Demi Panggilan Haji, Allah Duga FOUZIAH GOUS!
Dalam keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri selepas dibedah, Datin Hajjah Fouziah Gous dan suami, Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof terpaksa meninggalkan cahaya mata kedua mereka di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bukan kerana tidak sayangkan anak… sebaliknya pasangan suami isteri ini yakin urusan ‘jemputan ke rumah Allah’ waktu itu lebih penting daripada segala-galanya dan percaya ia adalah keputusan terbaik mereka. Menyerahkan hidup dan mati serta nasib keluarganya kepada Allah Yang Maha Esa.. Hajjah Fouziah dan suami selamat tiba di Tanah Suci pada saat-saat akhir selepas berdepan pelbagai halangan.
Mengakui lebih selesa disapa Hajjah kerana mahu menghargai kesukaran yang dilalui untuk mendapatkan ‘gelaran’ tersebut, penampilan aktres berusia 35 tahun ini tampak lebih manis sejak dia memutuskan untuk berhijab. Menyimpan kemas semua pengalaman pahit dan manis sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu Ogos lalu.. Hajjah Fouziah secara terbuka membuat pendedahan eksklusif kepada Nona.
“Dua hari sebelum pergi haji anak saya, Zaheen Yusof tak sihat. Bawa pergi ke klinik dan check tapi tak demam pula. Malam tu lepas balik dari klinik saya jadi nervous bila tengok pampers dia ada darah. Bagi minum air atau susu, dia muntah. Call doktor tapi esok pagi baru doktor akan datang untuk periksa usus anak kami. Memang saya tak tidur langsung sampai ke pagi. Keesokan hari, doktor buat ultrasound. Setelah puas diperiksa, doktor kata semuanya ok dan tak jumpa apa-apa yang meragukan.
Kebetulan masa doktor suruh balik ke wad, Zaheen menjerit. Reaksi sama yang saya nampak bila dia rasa sakit. Terus doktor buat ultrasound dan nampak usus besar dan kecil dia tersangkut jadi kena dibedah. Memang besar dugaan Allah bagi tapi saya bersyukur sebab kebetulan waktu itu ada pakar bedah kanak-kanak yang bertugas dan boleh terus buat operation pada hari sama pukul 5 petang. Sampai Maghrib kami tunggu.. anak tak keluar lagi dari bilik pembedahan. Jujurnya, kami suami isteri dah mula tak tentu arah. Segala baju dan kelengkapan haji pun kami tak sempat buat apa-apa lagi.
Ikutkan esok dah nak pegi haji dan kumpulan kami kena berkumpul di KLIA pukul 4 pagi untuk transit di Filipina sebelum bertolak ke Mekah. Tapi sebab anak kena pembedahan kecemasan ni, kami tak jadi ikut kumpulan jemaah seramai 36 orang tu. Walaupun risau dengan keadaan anak, sedikit pun tak timbul niat untuk batalkan hasrat pergi haji. Jadi, sementara tunggu anak keluar dari operation theatre suami sempat beli tiket penerbangan ke Filipina yang dijangka bertolak waktu Subuh.”
Dugaan Hajjah Fouziah tidak hanya terhenti di situ. Meskipun pembedahan berjalan lancar namun Zaheen terpaksa diletakkan di ICU kerana keadaan dirinya yang masih kecil dan belum sedarkan diri. Waktu menatap wajah anak kecilnya itulah Hajjah Fouziah teringat perbualan mereka suami isteri yang secara tak sengaja mengkaji situasi pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sehari sebelum dijadual berangkat ke Tanah Suci. Sungguh, ia seolah-olah menggambarkan perkara sama yang sedang dilalui Hajjah Fouziah dan suami saat itu.
“Seperti mana Nabi Ibrahim meletakkan Allah dahulu daripada anak kandungnya sendiri, seperti itu jugalah yang harus kami lakukan. Setelah bertanya kepada ustaz, semua ini adalah dugaan dan kena percaya kepada Allah. Sebab itu kami memutuskan untuk pergi mengerjakan haji walau apa cara sekalipun. Saya rasa Allah betul-betul bagi satu kekuatan yang luar biasa. Kami masing-masing macam tahu tanggungjawab nak pergi haji.
Walhal bila saya ada di pejabat pun, saya akan tetap bawa anak sebab tak mampu berenggang dengan mereka. Tengah malam lepas selesai packing baju semua, kami datang balik ke hospital nak tengok Zaheen tapi dia masih belum buka mata lagi. I try to be strong. Balik rumah, memang tak boleh tidur. Subuh tu, kami bersiap-siap untuk berangkat ke Filipina.
Bila kita tahu maksud reda yang sebenar, apa saja yang berlaku bukan lagi benda besar. Dah sampai Filipina kami akhirnya dapat bertemu dengan kumpulan jemaah kami. Mereka sedang tunggu di dalam bas sebab penerbangan kami ditunda. Lepas makan, kami balik semula ke airport sebab waktu penerbangan dalam pukul 12 tengah malam. Bayangkan keadaan kami suami isteri yang dua hari tak tidur. Memang lesu. Walaupun flight ditunda tapi Alhamdulilah, saya dapat facetime.. chat dengan anak. Ada hikmah tersendiri yang susah nak diungkapkan. Saya percaya Allah bagi benda yang Dia dah rancang yang terbaik untuk kita.”
Ujian datang menimpa lagi ketika mereka dijadual berlepas ke Mekah. Sebaik saja semua penumpang sudah berada di dalam pesawat, mereka kemudian diarahkan keluar atas sebab teknikal. Berbekalkan beg bimbit yang hanya membawa Al-Quran dan telekung serta persalinan yang dipakainya, Hajjah Fouziah dan kumpulan jemaahnya ditempatkan di sebuah hotel di Manila buat sementara waktu. Diam tak diam, mereka terkandas di Filipina selama tiga hari dua malam.
“Masa tu 15 haribulan Ogos.. ikutkan 17 haribulan dah tak boleh masuk Mekah sebab dah nak wukuf. Nasib baik kami naik Saudia Airlines dan diberi keistimewaan kerajaan Arab Saudi, jadi tak terlepas wukuf. Kelebihan Allah nak bagi, saya dapat tidur puas-puas. Daripada nak buat haji tamattu.. dapat pula buat haji ifrad. Walaupun makanan, hotel dan segala keperluan kami sepanjang terkandas tu sangat best dan hebat tapi selagi tak dapat pergi Mekah, rasa kosong. Kalau tengok sudut positif pula ketika terkandas ni, saya dapat communicate dengan anak-anak saya very well. Alhamdulillah.
Sampai je malam tu kami semua terus ke Arafah. Masa dekat Muzdalifah, Arafah dan Mina pun kami terkandas. Dengan pakai baju yang sama lagi.. tapi syukur, akhirnya kami dapat mengerjakan haji dengan baik walau berdepan dengan macam-macam dugaan. Bila dikenang kembali semua kenangan ini, saya dapat rasa betapa besarnya cabaran dan sukarnya to get my ‘Hajjah’,” akhiri Datin Hajjah Fouziah.
Perkongsian Datin Hajjah Fouziah ini jelas menunjukkan betapa besar ‘kuasa’ yakin terhadap Allah SWT. Andai kita reda dengan ketentuanNya, yakinlah Dia ada perancangan yang lebih hebat. Moga impian kita semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti dimakbulkan. InshaAllah.