Mencipta nama dalam sukan tarian ballet bukan laluan mudah buat Stephanie Kurlow. Namun atas minat yang mendalam serta semangat yang tak pernah menyerah kalah wanita yang berusia 20 tahun ini berjaya mengatasinya.
Berkat kesabaran dan kegigihan memperjuangkan bakat yang ada dalam dirinya serta dorongan keluarga benar-benar telah menyuntik inspirasi.
Malah, Stephanie Kurlow telah mendapat gelaran Ballerina Pertama Dunia yang berhijab. Gelaran istimewa yang diraih olehnya mendapat liputan yang meluas dan ramai yang mahu mengenali siapakah wanita ini dengan lebih lanjut.
Menurut wanita cantik ini penampilannya merupakan ekspresi cintanya terhadap Pencipta. Tambahnya lagi, keupayaan seseorang bukan bergantung kepada penampilan semata-mata.
Sebagaimana penari ballet lain, Stephanie Kurlow juga telah mula menceburi tarian ini sejak usia yang muda. Di usia 2 tahun lagi ballerina ini sudah mula beraksi di lantai ballet.
Walau bagaimanapun wanita yang berbakat besar ini mula menempuh cabaran dalam latihan apabila mengambil keputusan berhijab sejak usianya 11 tahun. Banyak studio tarian yang tidak menerima penampilannya yang berhijab.
Stephanie Kurlow mengikut jejak langkah ibu dan bapanya yang memeluk Islam ketika usianya 9 tahun. Tidak mahu menghampakan dirinya, ibu Stephanie telah membuka studio tarian bagi membolehkan wanita yang aktif ini terus berlatih.
Sememangnya kasih ibu tak bertepi serta sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya dan menyokong tanpa belah bagi. Malah Stephanie juga bercita-cita untuk membuka studio ballet sendiri yang memberi kebenaran kepada sesiapa sahaja untuk berlatih.
Stephanie bukan sahaja cemerlang dalam tarian ballet malah berbakat besar dalam industri kreatif. Wanita ini pernah mengambil cuti menari selama 3 tahun untuk menumpukan perhatian dalam bidang penulisan dan lukisan.
Stephanie turut terpilih menganggotai kumpulan muzik kanak-kanak di Australia, The Wiggles. Kumpulan ini telah menjelajah seluruh Australia dan memberi peluang kepadanya untuk menceduk ilmu baharu.
Selain itu, Stephanie juga pernah terlibat dengan beberapa buah kempen seperti bersama Converse dan Lenovo untuk menyuntik inspirasi kepada remaja untuk mengejar cita-cita walau terpaksa menempuh cabaran dan dugaan sebelum mengapainya.
Pada tahun 2016, jenama fesyen sukan Björn Borg telah menganugerahkan Stephanie biasiswa dek kerana kisah inspirasi yang dilaluinya sebelum bergelar ballerina berjaya.
Baca juga; Atlet Taekwondo Berhijab