Rambut yang lembut beralun pastinya menjadi igauan setiap wanita. Apatah lagi jika kilatannya memantulkan cahaya, ringan dan menggoda kala ditiup bayu. Namun gaya hidup dan faktor cuaca di Malaysia tidak sewenangnya menganugerahkan tekstur rambut yang dipuja. Malah acapkali terjadi wanita di negara ini mengeluh mengenai kondisi rambut rosak mengerbang, kasar dan putus-putus.
Benar! Keadaan rambut yang sihat berseri bukan sahaja mencerminkan kecantikan, malahan pakar melihatnya sebagai kayu penanda yang mengukur tahap kesihatan anda, samada memuaskan atau tidak. Rambut rosak tidak wajar disamakan dengan jenis rambut kering, walaupun pada dasarnya ia juga kering dan berketak. Formulasi perawatan kepada dua jenis rambut ini cukup berbeza, justeru kenal pasti masalah anda dan dapatkan produk penjagaan rambut yang bersesuaian.
FAKTOR PEROSAK
Keadaan persekitaran yang tidak menentu seperti panahan UV, amalan mewarna, mencelup, melurus atau mengerintingkan rambut secara berlebihan berkemungkinan besar menyebabkan kekeringan kepada akar rambut dan kutikel rambut yang disaluti sel-sel protein juga turut terdedah kepada risiko keguguran. Lebih bahaya lagi seandainya teras rambut anda telah rosak, menjadikannya poros dan seterusnya gagal membias cahaya dengan baik.
MENGAPA RAMBUT JADI ROSAK?
- Kekurangan zat-zat makanan.
- Masalah tiroid dan penurunan berat badan disebabkan amalan diet yang keterlaluan.
- Kegelisahan yang berterusan, tekanan perasaan serta tidur yang tidak mencukupi.
- Ketegangan di sekitar kepala dan leher.
- Tubuh badan yang lemah akibat kemalangan.
- Pengambilan ubat-ubatan.
- Rawatan kemoterapi dan radioterapi.
NAK SUBURKAN RAMBUT?
Ikut cara ini
- Gunakan pelindung terma ketika mengeringkan rambut.
- Jangan biarkan rambut terlalu kering apabila menggunakan pengering rambut. Pastikan terdapat sedikit kelembapan.
- Pastikan tetapan pada pengering rambut tidak terlalu panas ketika mengeringkan rambut.
- Gunakan syampu yang mengandungi pelindung UV.
- Gunakan pewarna rambut yang tidak mengandungi ammonia.
- Jangan sesekali menggunakan sikat biasa pada rambut yang lembap.
- Pastikan rambut anda dicuci setiap kali selepas aktiviti berenang.
- Makan makanan yang benar-benar berkhasiat dan perbanyakkan meminum air. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH