Dialah sebaik-baik perancang. PemberianNya juga adalah yang terbaik, tepat pada masanya. Usahawan kewangan Dr Siti Zainab Mohd Zaini, 47, bertemu jodoh kali kedua dengan seorang kontraktor, Muhammad Majidee Rajhan berusia 28 tahun.
Dr Siti Zainab yang juga mesra digelar Bochi ini amat bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang, matang dan bertanggungjawab biarpun jarak usia mereka 19 tahun.
Lebih mengharukan, hadirnya jodoh kedua ini adalah pada waktu yang sangat tepat. Ibu kepada 2 anak ini mengakui bahawa kehadiran suami adalah sebagai peneman dan pelindung di saat dirinya diuji dengan kanser.
PERTEMUAN PERTAMA
“Saya mengenali suami pada March 2018. Ketika itu suami datang ke kelas saya untuk belajar bagaimana untuk menguruskan kewangan.
Dalam masa 4 bulan perkenalan suami sudah melamar. Memang sangat cepat dan berani. Tapi sebab jarak umur kami yang jauh, saya minta dia beri masa untuk kami saling mengenali hati budi masing-masing.
Allah sebaik-baik Perancang. Bulan Oktober 2018 saya didiagnos kanser payudara tahap awal (early stage). Waktu itu memang sukar untuk membuat keputusan tentang perhubungan kami. Saya ada memintanya agar tak meneruskan perhubungan sebab saya tidak mahu susahkannya.
Saya tahu saya akan menerima pelbagai prosedur rawatan. Tetapi suami sangat penyayang, dia tetap berkeras untuk terus berada di sisi. Begitulah perancangan Allah, bersama dugaan yang Dia beri. Satu hikmah yang sangat besar. Saya percaya kepada qada’ dan qadar. Akhirnya saya terima lamaran suami.
Terdetik di hati, bila Allah duga dengan perpisahan dahulu kemudian ‘dijodohkan’ dengan lelaki lebih muda, Allah nak saya merasai perjalanan usia dengan minda dan semangat muda. Sangat dahsyat ketentuanNya!
Saya juga bersyukur kerana keluarga dan anak-anak sangat sayangkan suami. Mereka mulanya terkejut juga kerana beza usia kami. Tapi suami bersungguh-sungguh ambil hati anak-anak sebagai kawan. Akhirnya mereka dapat menerima suami dan melihat kesungguhannya menjaga saya ketika sakit.
Sampai hari ini, suami dan anak sulung saya, Iskandar macam best friend. Bila berbual pun macam kawan-kawan. Panggilan anak-anak kepada suami ialah Daddee (Dad + Majidee) sangat sweet..
Suami juga menjadi guru dan ustaz mengaji kepada anak perempuan saya, Natasha. Jika ada sebarang masalah mengenai pelajaran Natasha akan rujuk suami. Setiap hari selepas solat Maghrib suami akan ajar mengaji. Ibu dan bapa saya juga memang sangat suka dengan sikap suami yang gentleman.
Ibu mertua saya pula lembut orangnya. Patutlah suami seorang yang penyayang. Saya memanggil ibu mertua Mama. Beliau memang tekankan agama dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupan. Saya dan Mama ada minat yang sama iaitu memasak. Maka mudah untuk kami mesra.
SUAMI SENTIASA DI SISI
Kami diijab kabul pada April 2019 iaitu setelah saya selesai menjalani rawatan kimoterapi yang ke-6 dan sebelum pembedahan. Sepanjang kimoterapi memang saya lemah. Saya banyak berehat di rumah. Kadang-kadang alahan seperti muntah yang agak teruk.
Suami seorang yang sangat caring. Sebelum berkahwin, suami sanggup mencari rumah yang berdekatan dengan rumah saya yang jaraknya dalam beberapa minit saja agar dapat menjenguk saya pada waktu pagi sebelum dia pergi kerja. Dan memastikan saya sudah makan dan saya OK.
Dia juga pernah tak tidur 3 hari ketika pergi tengok site di Pantai Timur, Kedah kemudian balik semula ke Kuala Lumpur. Sampai Kuala Lumpur dia sempat jenguk saya dulu.
Dia jugalah yang sering menghantar saya untuk ke setiap rawatan termasuk menunggu dan berurusan dengan doktor serta pihak hospital. Suami banyak memberi nasihat dan kata-kata semangat agar saya terus berjuang dan kembali sihat.
PESANAN BUAT WANITA
“Nasihat saya, semoga wanita-wanita di luar sana percaya kepada jodoh. Jangan melihat dugaan dengan kesakitan. Lihatlah dengan mata rahmat. Minta padaNya, nescaya Dia akan beri jawapan.
Bagi mereka yang berkahwin dengan pasangan lebih muda, janganlah terlalu hendak menjadi ‘cikgu’ semata-mata nak perbetulkan semua perkara. Biar pasangan melalui pengalaman hidupnya. Jika perkahwinan itu yang kedua jangan banding-bandingkan. Fokus kepada kebaikan.
Satu lagi, kena work life balance. Curahkan masa dan kasih sayang di rumah. Itu paling utama. Perlu usahakan masa walau saya dan suami ada bisnes. Suami juga banyak outstation atas tuntutan kerja.
Untuk kesihatan, perlu bijak mengurus diri termasuk menyayangi diri dan keluarga. Bila Allah duga, Allah nak naikkan martabat kita dengan cara mencari ilmu untuk menangani dugaan. Kemudia ajar dan didik orang lain pula untuk kongsi manfaat.”
Kredit Foto: Instagram @drsitibochi.skillmentor
This website uses cookies.